30 Pesan Cantik Mak Andam Untuk Bakal Pengantin.

 

Selain rawatan dan produk moden, tak salah jika bakal pengantin mengamalkan juga petua dan tip tradisional nenek moyang dulu-dulu untuk menambah seri kecantikan dan kecergasan tubuh badan mereka sebagai raja sehari. Berikut 30 pesan cantik mak andam untuk bakal pengantin :



1. Elak berpanas.

Elakkan berpanas di tengah terik matahari untuk elak kulit gelap, terbakar dan kusam. Pastikan kamu memakai tabir suria setiap hari sebelum keluar rumah.

2. Cukup tidur.

Mata yang segar penting untuk wajah terlihat berseri. Jadi, cukupkan tidur semaksimum mungkin. Elakkan berjaga hingga larut malam terutamanya pada minggu- minggu terakhir.

3. Hirisan timun.

Tempekkan hirisan timun pada kelopak mata sebelum atau selepas bangun tidur untuk menyegarkannya. Lakukannya sebelum bersolek pada hari sanding nanti.



4. Jaga kebersihan mulut.

Mula jauhi ulam-ulaman atau makanan yang berbau tidak menyenangkan seperti petai, jering, bawang putih, durian dan sebagainya. Jaga kebersihan mulut dan nafas.

5. Jaga adab makan.

Jaga adab dan etika makan dan minum. Makan dengan kunyahan paling lumat sebelum ditelan dan duduk ketika mahu minum. Selain galakan dari ajaran agama, menurut saintis juga, minum secara duduk membantu usus ‘bekerja’ dengan baik.

6. Naik seri wajah.

Beberapa bulan sebelum bergelar pengantin, amalkan memakan kelopak bunga mawar setiap hari untuk menaikkan seri wajah.

7. Cuci wajah.

Cuci wajah dengan air kelapa tua beberapa kali dalam seminggu. Biarkan selama 30 minit sebelum dibilas bersih dengan air suam. Ia mampu membantu menyeri dan melembapkan wajah.



8. Minum air putih.

Minum segelas air putih sebaik bangun pagi sebelum menggosok gigi. Mulakan dengan selawat dan mohon diberikan kesihatan dan keserian wajah.

9. Lakukan senaman.

Lakukan senaman secara tetap dan sederhana beberapa bulan sebelum untuk meningkatkan stamina diri dan membentuk berat badan ideal.

10. Elak makanan sejuk.

Elakkan makan dan minum yang sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu, air kelapa dan sebagainya agar kamu tidak tewas sebelum ‘bertempur’.

11. Makan telur.

Amalkan makan telur ayam kampung dicampur madu dan lada hitam dua kali seminggu. Bertujuan menambah tenaga.

12. Kurang makanan laut.

Kurangkan makan makanan laut kerana makanan laut mengandungi toksik yang tinggi. Hadkan pada porsi minimum supaya badan sihat dan kuat untuk menjengah alam rumahtangga.

13. Rebusan air kurma.

Rebus kurma cina dan minum airnya. Amalan ini dipercayai mampu memulihkan pH darah dan menaikkan seri wajah.

14. Jangan makan bersulam air.

Usah makan bersulam air kerana ia menyebabkan buncit perut. Sebaiknya, selepas makan, berjalan beberapa tapak barulah disusuli dengan minum air.

15. Elak minum soya.

Elakkan minum air soya kerana ia bersifat sejuk dan tidak bagus untuk alat kelamin.

16. Minum air halia.

Jika bakal pengantin mempunyai angin dalam badan amalkan minum air halia setiap hari untuk meringankan badan.

17. Bangun sebelum subuh.

Bangun sebelum azan Subuh. Kemudian, baca selawat tiga kali ke tapak tangan dan raut tangan itu ke seluruh muka.

18. Minum air kunyit.

Kunyit hidup juga dikatakan mampu menaikkan seri wajah. Amalkan minum air kunyit beberapa bulan sebelum berkahwin, dua kali seminggu.

19. Elak meniarap.

Agar payudara kelihatan montok, subur dan tegang, ketika mandi amalkan memancurkan air pancur ke kedua-dua belah payudara. Elakkan juga posisi meniarap ketika tidur.

20. Elak keluar malam.

Elakkan keluar malam atau orang tua panggil berembun. Sewajarnya, sebagai anak dara sebelum Maghrib sudah ada di rumah. Darah manis kata orang untuk elak unsur jahat datang mengganggu.



21. Elak makan kuah berlinang.

Orang tua juga ada menasihati bakal pengantin agar elakkan makan nasi berlaukkan kuah berlinang untuk elak perut buncit.

22. Cuci bahagian sulit.

Paling penting, jaga kebersihan bahagian sulit sebaik mungkin. Ketika mandi, cuci bahagian sulit dengan pencuci intim yang mengandungi ramuan sirih.

23. Rawatan urut badan

Tidak salah untuk melakukan rawatan urut badan beberapa hari sebelum majlis langsung. Urut badan dapat melancarkan darah sambil merehatkan otot.

24. Ambil jamu.

Untuk penjagaan dalaman, digalakkan pengambilan jamu, bukan setakat untuk ‘malam pertama’ itu tetapi bagi menyegarkan tubuh yang lesu akibat sibuk dengan persiapan.

25. Kurang pamer depan khalayak.

Kurangkan mempamer diri depan khalayak terutamanya kepada bakal suami dan bakal keluarga mentua. Selain menjaga adab, ia juga bertujuan menjadikan dirimu sangat eksklusif untuk diraikan pada hari bahagia nanti.

26. Kurangkan gula dan garam.

Kurangkan pengambilan makanan dan minuman tinggi gula dan garam.

27. Kurang bersolek tebal.

Kurangkan bersolek tebal beberapa minggu atau bulan sebelum menjadi pengantin.

28. Kurangkan kerja berat.

Kurangkan melakukan kerja-kerja berat kerana selain menyebabkan keletihan, ia juga mengganggu emosi dan menyebabkan stres.

29. Mandi bunga.

Jangan lupa, sehari sebelum hari besar itu, buat mandi bunga. Namun jangan masukkan amalan khurafat yang dikaitkan dengan apa-apa mantera. Aura bunga yang wangi dan berwarna-warni mampu menjana pesona positif dalam diri bakal ratu sehari.

30. Kurangkan bercermin.

Kurangkan bercermin atau dalam erti kata lain mengadap cermin lama-lama untuk berdandan. Kepercayaan orang tua; penyebab hilang seri wajah. Ia juga menjadi larangan keras untuk mengadap cermin ketika wajah disolekkan mak andam.

Kesimpulan.

Petua tradisional nenek moyang dulu-dulu diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Selalunya mudah untuk diikuti kerana banyak menggunakan bahan-bahan alami yang banyak terdapat di sekeliling kita. Selain itu ia juga terhindar dari bahan-bahan kimia yang selalu dikaitkan dengan produk kecantikan dan kesihatan moden.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 314,487 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen