Fungsi Tepak Sirih & Sirih Junjung.

 

Singgah sejenak di pinggir kota,

Kami bawa sirih tersusun,

Sudilah sepiak pembuka kata.

Pantun empat kerat di atas menterjemahkan betapa tingginya budi bahasa orang Melayu sebelum berkata-kata menyampaikan hasrat hati. Masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan sifat sopan santunnya yang disusuli dengan adat istiadat budaya, lahir sebagai memenuhi keperluan masyarakat. Suatu ketika dahulu, adat begitu diutamakan lebih-lebih lagi penggunaan sirih dalam upacara perkahwinan Melayu. Lama-kelamaan, penggunaannya semakin hilang maksud dan anak-anak muda langsung tidak mengetahui fungsi dan perlambangan yang ingin disampaikan.



Sebagai pembuka kata.

Mengikut adat tradisional, bagi mendahului upacara merisik, meminang, dan bertunang, masyarakat Melayu menggunakan tepak sirih sebagai pembuka kata dan sirih junjung sebagai ‘kepala’ hantaran yang melambangkan kasih sayang bertingkat yang dibawa rombongan pengantin. Kini, jika adapun yang masih ‘mewajibkan’ kehadirannya, hanya sekadar memenuhi kelengkapan upacara berbanding menyampaikan maksud sebenar melalui penggunaannya.



Sebagai tujuan meminang.

Budayawan, Zubaidah Sual berkata, sebelum meneruskan majlis perkahwinan, terlebih dulu tepak sirih dibawa ke rumah mempelai perempuan untuk tujuan meminang. Penuh dengan santun dan budi bahasa, tepak sirih lengkap dengan isi dibalut dalam kain untuk diserahkan kepada keluarga perempuan. “Sebelum hajat disampaikan, pihak perempuan menyorongkan tepak sirih penyambut yang dibalas oleh pihak lelaki dengan menyorongkan tepak sirih pengantar. Kedua-dua pihak akan membuka balutan dan mula memakan daun sirih bersama pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur yang diisi di dalam cembul tepak sirih yang kemudiannya disusuli dengan bayangan hendak mengajukan hajat.

Sebagai menolak pinangan.

“Bagaimanapun, tepak sirih turut berfungsi untuk menolak pinangan. Caranya, keluarga perempuan akan menterbalikkan isi kandungan dalam kain di atas tepak sirih maka apabila dibuka, pihak keluarga perempuan sudah mengetahui apa yang berlaku. “Begitulah adatnya, sirih tidak pernah lekang dalam upacara perkahwinan dan jika diperhalusi maksudnya, betapa masyarakat Melayu mempunyai nilai budi bahasa yang tinggi dalam menyampaikan sesuatu hajat,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Zubaidah yang merupakan bekas Penolong Kurator di Muzium Negara menambah, jarang sekali boleh dilihat dalam mana-mana rombongan merisik yang masih mengamalkan adat ini. Kebanyakannya hanya menyerahkan sebentuk cincin sebagai tanda dan langsung tidak mengetahui tentang adanya adat berhajat. Ujarnya, sirih juga berperanan sebagai salah satu kelengkapan rombongan. Sirih junjung akan dibawa sebagai hantaran utama atau dipanggil sebagai ‘kepala’ hantaran oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.



Melambangkan kasih sayang bakal mempelai.

Selain pelengkap adat, sirih junjung dianggap sebagai objek perlambangan kasih sayang antara mempelai yang bakal disatukan. Daun sirih dicucuk pada keseluruhan tiang secara bertingkat-tingkat untuk membentuk kelopak bunga yang menarik. Bagi menyerikan sirih junjung, kuntuman bunga yang disertakan dengan pinang, gambir, dan kapur lazimnya diletakkan di celahan susunan daun sirih. Lebih menarik, helaian daun sirih daripada sirih junjung akan diagihkan kepada saudara-mara apabila selesai majlis dan orang tua-tua dahulu pernah memberi petua jika sirih diberi kepada anak gadis, jodohnya akan dipercepatkan.

“Gubahan sirih sepatutnya ringkas sahaja asalkan bertingkat dan tinggi tetapi sekarang kebanyakan sirih junjung digubah moden. Ada yang berbentuk jambangan bunga, digubah bersama pasu, malah hanya menggunakan daun plastik berbanding daun hidup,” katanya. Tambahnya, situasi itu tidak boleh disalahkan kerana anak-anak muda tiada pendedahan tentang adat resam, bahkan urusan penyediaan hantaran pula diserahkan kepada perancang perkahwinan. Jika dahulu, ibu bapa akan memberikan tanggungjawab kepada mak andam untuk menjaga segala tertib dan adat yang akan dilakukan untuk sesuatu majlis perkahwinan termasuklah solekan pengantin, namun kini tugasnya terhad untuk menyolek semata-mata. “Adat ini boleh dikatakan semakin hilang dan dilupakan oleh generasi baharu. Ibu bapa pada zaman ini juga semakin moden dan tidak mahu menerima tradisi ini, hanya mereka yang mengetahui betapa bernilainya seni warisan bangsa ini untuk disimpan untuk generasi akan datang akan berusaha untuk meneruskannya.



“Tepak sirih dan sirih junjung yang menjadi barang kebanggaan masyarakat Melayu ini tidak akan lapuk dek zaman cuma ianya hanya dianggap sebagai kelengkapan majlis sahaja tanpa mempunyai maksud,” katanya. Ada pula yang beranggapan kebanyakan adat tradisi Melayu banyak dipengaruhi oleh agama lain menyebabkan ia tidak dapat diteruskan. Namun demikian, selama mana adat tidak dikaitkan dengan pemikiran syirik atau khurafat, maka ia termasuk dalam adat istiadat yang tidak bercanggah dengan Islam. Bahkan falsafah yang terkandung dalam penggunaan sirih itu sendiri penuh dengan adab yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim. Akibat daripada angin perubahan moden hari ini, adat tradisi dalam majlis perkahwinan tidak terkecuali menerima tempiasnya. Di sinilah peranan orang yang lebih tua dan kerajaan memainkan peranan untuk memastikan amalan ini terus dikekalkan.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 453,901 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen