Tradisi Pemberian Bunga Telur Yang Kian Dilupakan.

 

SAYA ni sentimental sikit...," seorang kenalan berbisik kepada penulis sebelum bergegas mendapatkan tuan rumah majlis perkahwinan yang kami hadiri. Dia kembali dengan tersenyum lebar sambil memegang setangkai bunga telur cantik. "Awak boleh anggap saya konservatif, tapi saya tidak puas hati kalau ke majlis kenduri kahwin tak ada bunga telur," katanya sambil mengeluh banyak majlis perkahwinan sekarang tidak memberikan bunga telur sebagai cendera hati atau hadiah kepada tetamu. Bunga telur yang dimintanya daripada tuan rumah itu pun ialah daripada bunga pahar di pelamin. Memang benar, dalam 10 majlis perkahwinan yang penulis hadiri sepanjang musim cuti penghujung tahun lepas, hanya dua rumah yang menyediakan bunga telur kepada tetamu. Kenalan ini bercerita lagi, semasa dia kanak-kanak, dia suka menunggu ibunya pulang daripada menghadiri kenduri kahwin kerana dia akan menyambut bunga telur yang dibawa ibunya dan akan dikupas untuk dibelah empat dan dikongsi bersama tiga adiknya.



"Rasa telur daripada rumah pengantin lebih sedap daripada telur rebus biasa," katanya sambil ketawa. Pemberian bunga telur pada majlis perkahwinan orang Melayu dikatakan sebagai simbol kesuburan. Tetamu yang menerima, diharapkan akan bersama-sama mendoakan pasangan pengantin dikurniakan zuriat, memandangkan kehidupan manusia bermula daripada persenyawaan benih telur. Kira-kira sedekad yang lalu, majlis kenduri kahwin masih mengutamakan tradisi membeli beratus-ratus telur ayam untuk direbus di dalam periuk besar dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas untuk diagihkan kepada tetamu. Acara merebus telur ini juga ditetapkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum majlis kenduri kahwin. Anggota keluarga, jiran dan kawan-kawan bakal pengantin akan duduk beramai-ramai bergotong-royong mengisi telur ke dalam bekas. Sebanyak 90 hingga 150 biji telur rebus biasanya akan diasingkan untuk dipasang pada bunga telur bertangkai yang disusun menjadi bunga pahar yang, diletakkan di sebelah kiri dan kanan pelamin.



Tradisi 'menanam'.

Acara wajib merebus telur ini menyebabkan menjadi amalan suatu ketika dulu, jiran dan penduduk kampung menyumbang berpuluh-puluh biji telur untuk direbus tuan rumah, sebagai ganti hadiah kepada pasangan pengantin atau ganti sumbangan wang tunai untuk tuan rumah. Sumbangan itu dinamakan 'menanam' selain gula, kopi dan bahan-bahan kenduri yang lain. Tuan rumah biasanya akan menyediakan buku rekod yang mencatatkan sumbangan jiran dan saudara mara itu. Jika 100 biji telur yang disumbang, ia akan 'dibayar' tuan rumah sebanyak itu juga bila tiba hari penyumbang mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya pula. Kalau tuan rumah memilih untuk menyediakan telur pindang pula, masa merebus lagi lama dan prosesnya sedikit rumit. Telur akan diisi padat di dalam bekas tetapi diselang seli dengan pelbagai daun seperti daun serai, daun pandan, daun jambu,daun kunyit dan dicampur jintan, untuk direbus sekurang-kurangnya dua hari.

Cenderahati ganti bunga telur.

Kini keindahan bertukar-tukar sumbangan telur itu sudah terhapus kerana majlis perkahwinan hari ini banyak yang menggantikan telur dengan cenderahati lain untuk hadiah kepada tetamu. Pada mulanya kek atau mufin menjadi pilihan popular tuan rumah, ataupun buah-buahan seperti epal dan limau. Kanak-kanak pula diberikan gula-gula dan coklat di dalam kotak atau bekas menarik. Antara alasannya ialah - telur dan bekas telur mahal, membazir kalau merebus banyak yang pecah, telur rebus tidak tahan lama dan tiada tempat atau orang yang sanggup tolong merebusnya. Pada hal jika dikira kos sebiji cupcake atau mufin, 80 sen hingga RM1 sudah jauh melebihi harga sebiji telur 30 atau 35 sen. Jika dikira harga bekas pun begitu. Harga sebuah bekas telur seramik, masih ada yang di bawah harga RM3 atau dalam bentuk kotak comel, harganya di bawah RM2. Untuk bekas mufin atau kek pun lebih kurang sama modalnya, atau lebih mahal.



Kini mufin dan gula-gula juga dirasakan tidak memadai dan tuan rumah mempelbagaikan hadiah tetamu pada majlis perkahwinan dalam bentuk manisan (coklat, kismis, gula-gula, halwa, dodol), makanan ringan (cupcake, mufin, kek buah, kerepek, kuih manis), buah-buahan (epal, oren, pear) makanan berat (nasi dan lauk pauk atau dipanggil "berkat" dalam masyarakat Jawa). Kedai-kedai menjual peralatan atau kelengkapan majlis perkahwinan mengambil kesempatan daripada trend pemberian pelbagai rupa barang kepada tetamu ini dengan menawarkan bermacam-macam jenis cenderahati, lengkap dengan bekas yang cantik dan istimewa. Ada pengusaha aktif mempromosi cendera hati hasil kreativiti syarikatnya menerusi lawan web atau blog di Internet.



Pada satu majlis perkahwinan baru-baru ini, seorang ibu yang berpengalaman menganjurkan kenduri kahwin anaknya, Siti Zabedah Sidek, berkata, cenderahati sebagai hadiah kepada tetamu sekarang sudah jauh lebih mahal daripada bunga telur. Tidak cukup satu, kini tuan rumah menyediakan pula dua hingga tiga barang yang dimasukkan ke dalam beg khas, katanya. Harga beg kertas bimbit bersaiz sederhana kecil dalam pelbagai corak, dijual paling murah, 80 sen, di kedai-kedai kelengkapan pengantin. Tetapi banyak beg cenderahati kini ditempah khas lengkap dengan gambar pasangan pengantin. Di dalamnya diisi manisan seperti dodol, buah, bahulu, gula-gula, cupcake, bunga rampai dan sejenis barang kecil seperti tuala muka. "Bukan saja majlis hari lahir yang ada party pack, majlis kenduri kahwin pun sudah mengikut trend itu," katanya berjenaka. Kalau bernasib baik, masih ada tuan rumah yang tidak lupa untuk turut mengisi beg cenderahati itu dengan bunga telur di dalam bekas cantik.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 471,490 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen