7 Perkara Baru Mempelai Bakal Tempuhi.

 

Bertahun lamanya anda menantikan saat disatukan bersama pasangan tercinta. Majlis pernikahan yang cukup syahdu disambut dengan seribu manfaat oleh kedua-dua belah keluarga. Bahkan, ketika majlis berlangsung, anda melihat pasangan dengan perasaan penuh kesyukuran ke hadrat yang Maha Esa di atas kelancaran majlis yang diadakan cukup sempurna dengan hadirin tetamu yang tidak putus-putus menzahirkan kesyukuran dan tahniah. Namun selepas majlis selamat dilangsungkan, ada beberapa perkara penting yang harus kedua-dua mempelai bersedia dalam menghadapi cabaran dan onak ranjau sepanjang melayari kehidupan berumah tangga.



1. Pergaduhan kecil dalam hubungan.

Walaupun sudah bertahun lamanya anda dan suami saling mengenali, namun selepas tinggal sebumbung barulah kalian nampak belang dan sikap masing-masing yang sebenar. Perempuan memang sejak azali sudah dilahirkan suka berleter sekiranya ada perkara yang dilakukan oleh suami tidak senang di matanya. Sebagai contoh, pulang dari pejabat suami tidak menyusun kasut di rak dengan baik. Walaupun perkara ini nampak remeh, akan tetapi perkara kecil ini boleh mencetuskan pertelingkahan di dalam rumah tangga. Begitu juga perkara lain seperti masalah kewangan, perhubungan kelamin, campur tangan keluarga dan sebagainya. Semua ini adalah benda baru yang bakal ditempuhi oleh raja sehari.

Cara mengatasi: Sekiranya anda bergaduh dengan pasangan, ada cara yang boleh dilakukan. Paling penting, jangan cepat melenting, naik tangan ataupun membesarkan mata kepada pasangan. Cara terbaik, carilah masa yang sesuai untuk berbincang dan belajar untuk berhujah dengan baik. Selain itu, masing-masing harus mengambil masa untuk berehat dan menenangkan fikiran. Selepas keadaan kembali pulih, luahkan kepada pasangan bahawa anda benar-benar mencintainya dan memohon maaf atas kesilapan yang telah anda lakukan.



2. Pembelian aset harta.

Semasa bujang, tentu anda tidak pernah terfikir untuk menghabiskan wang ke arah harta benda seperti rumah, tanah, kereta dan sebagainya. Namun selepas berkahwin, perkara tersebut akan sentiasa menghantui diri di mana anda perlu bekerja keras agar dapat memenuhi kehendak diri seperti yang telah diimpikan dalam kehidupan berumah tangga. Ketika ini, anda harus bijak mengawal peruntukan kewangan agar tidak berbelanja daripada kemampuan.

Cara mengatasi: Sebelum membeli atau memulakan satu projek yang besar, misalnya membeli rumah, anda dan pasangan seharusnya mempunyai 100 peratus kedudukan kewangan yang stabil. Berbincang dengan baik antara satu sama lain sama ada aset harta tersebut dibeli sekarang atau di kemudian hari sehingga kewangan betul-betul dalam keadaan baik. Sebabnya, selepas anda membeli rumah, banyak juga wang yang diperlukan untuk membeli set barangan dapur dan lain-lain. Ini merupakan perkara baru yang harus dihadapi oleh pasangan yang baru bergelar suami isteri.

3. Campur tangan keluarga.

Dalam kancah kehidupan berumah tangga, pasti akan ada sedikit campur tangan keluarga sama ada di sebelah suami atau isteri. Kemungkinan keluarga di sebelah isteri tidak menyukai pasangan anda atau sebaliknya. Biar apa pun sebabnya, anda pasti akan terluka dengan komen-komen jahat mereka setiap kali berkata-kata perihal pasangan anda.

Cara mengatasi: Walaupun banyak masalah yang dihadapi ketika baru berumah tangga terutama sekali jika ia membabitkan keluarga, seelok-eloknya carilah jalan penyelesaian yang terbaik. Misalnya belajar untuk menghilangkan kritikan yang menguasai diri. Mengelak untuk bertembung atau berjumpa dengan keluarga pasangan adalah langkah yang kurang bijak. Ini kerana mereka akan beranggapan bahawa anda bersikap biadab atau tidak boleh menerima keluarga pasangan. Sebaiknya ketika bertemu, beritahu keluarga pasangan bahawa anda inginkan hubungan yang rapat dengan keluarga mertua.



4. Kehamilan.

Pertanyaan berbentuk kehamilan pasti kerap kali terdengar apabila pasangan sudah berkahwin. Mungkin soalan-soalan ini akan merimaskan sesetengah pihak terutamanya yang menginginkan anak segera, tapi masih belum hamil. Sekiranya ia hanya ditanya dalam keadaan yang biasa-biasa tentu anda tidak akan berasa hati dan boleh menjawabnya dengan baik. Tapi sekiranya ia ditanya oleh sepupu, mak saudara atau adik beradik yang sudah mempunyai bilangan anak yang ramai dan seolah-olah merendahkan kemampuan anda dan suami, pasti ia akan membuatkan anda berkecil hati dan marah dengan soalan yang diajukan.

Cara mengatasi: Pertamanya, fikirkan bahawa mereka yang bertanyakan itu sebenarnya sedang mendoakan agar anda dan suami mendapat rahmat dan kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga. Keduanya, sentiasalah berfikiran matang dan positif saat soalan berkaitan kehamilan diajukan kepada anda. Mungkin mereka yang bertanya soalan ini beranggapan yang anda mampu menjadi ibu bapa yang hebat. Elakkan sebarang tekanan pada diri dan pasangan ketika menerima soalan-soalan sebegini. Ketiga, jika anda ditanya, berilah jawapan dengan baik seperti “Saya belum ada tanda-tanda hamil” atau “Belum punya rezeki untuk menimang cahaya mata”.

5. Perubahan budaya.

Selepas berkahwin, pasti wujud perubahan budaya sekiranya pasangan yang dikahwini berlainan budaya, agama dan sebagainya. Misalnya, anda berkahwin dengan pasangan Cina dan sudah tentunya sebelum pasangan memeluk Islam dia telah menganuti agama lain. Oleh itu, hormatilah budaya, pergaulan, makanan dan adat resam yang diwarisi daripada keluarga pasangan. Daripada perkahwinan juga, budaya ini dapat dikongsi bersama-sama.

Cara mengatasi: Sebaiknya, hormatilah budaya yang diamalkan oleh pasangan tidak kira walau apa sekalipun. Kemudian wujudkan tradisi baru tersebut dalam diri anda. Jika boleh, jangan memberikan kata-kata nista yang menjengkelkan tentang adat yang diwarisi oleh pasangan.



6. Rakan-rakan berjauhan hati.

Ada segelintir pasangan yang sudah berkahwin mula mengetepikan rakan-rakan hingga tidak menghiraukan mereka untuk keluar berkumpul seperti sewaktu bujang. Anda lebih banyak menghabiskan masa bersama suami dan keluarga sehingga tidak ada masa bersama rakan-rakan yang pernah bersusah payah bersama sewaktu dahulu.

Cara mengatasi: Mungkin anda merupakan rakan pertama yang berkahwin. Oleh itu, tidak ada salahnya jika sesekali anda keluar untuk berjumpa rakan-rakan tetapi pastikan anda meminta izin daripada suami atau membawanya bersama. Pujuk rakan-rakan dengan baik sekiranya mereka mula berjauh hati. Beritahu kepada mereka yang anda kini sibuk membina keluarga dan mohon doa daripada rakan-rakan atas kesejahteraan anda dan pasangan.

7. Percutian keluarga.

Selepas berkahwin anda haruslah bijak membahagikan masa bersama keluarga suami dan keluarga sendiri. Ketika itu, pasti anda dan pasangan akan melebihkan keluarga sendiri daripada keluarga mertua hingga menimbulkan kata-kata nista seperti tidak bertanggungjawab, perubahan tingkah laku, mementingkan diri dan sebagainya.

Cara mengatasi: Seharusnya tanamkan dalam diri bahawa anda kini sudah mempunyai dua buah keluarga besar yang harus dijaga dengan baik. Sekiranya anda sudah membuat jadual percutian bersama keluarga sendiri pada bulan Mac, maka tidak ada salahnya pada penghujung tahun Disember anda meluangkan sedikit masa dengan mengajak keluarga di sebelah mertua pula untuk bercuti. Dari situ, tidak akan ada timbul masalah berat sebelah ataupun pilih kasih.

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 461,546 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen