Dah Sedia Nak Jadi Suami Atau Isteri? Sebelum Berkahwin, Ini Korang Kena Tahu.

 

Bila bercakap mengenai perkahwinan ini, sudah tentu yang bujang-bujang akan berfikir bahawa ia adalah kebahagiaan hidup yang indah. Malah dengan melalui perkahwinan ini juga, hidup akan terasa lengkap dengan teman pendamping yang setia di sisi.

Indah, bahagia, penuh dengan kasih sayang, itulah yang selalu kita katakan mengenai perkahwinan. Orang yang berkahwin ini dikatakan telah menyempurnakan separuh agamanya.

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.”
— Hadis riwayat al-Baihaqi



Lihat betapa hebatnya kesan perkahwinan ini sebenarnya. Namun begitu, perkahwinan ini tidak hanya kasih sayang sahaja, tapi ia perlu dilengkapi dengan tanggungjawab antara suami dan isteri. Jangan culas atau berkira dalam tanggungjawab ini, kerana setiap suami isteri yang tahu akan tanggungjawab sudah tentu diberi kebahagiaan dalam perkahwinan.



Perkahwinan ialah amanah untuk memikul tanggungjawab membentuk keluarga yang lebih besar.

Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri & Keluarga

Untuk menjamin keharmonian rumah tangga, Islam telah menetapkan tugas dan tanggungjawab suami dan isteri. Suami sebagai ketua keluarga khususnya bertanggungjawab terhadap kesejahteraan isteri dan anak-anaknya.

Antara tanggungjawab suami yang wajib adalah:

• Memberi sara hidup kepada isteri seperti pemberian makanan dan tempat tinggal.

• Memberi nafkah batin termasuklah menggauli isteri dengan baik.

• Menyara anak-anak

• Melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan kesihatan

• Melindungi maruah keluarga dan harta benda

• Sentiasa membimbing isteri dengan ajaran Islam menuju keredhaan Allah

• Bertanggungjawab mendidik akhlak anak-anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan Islam yang sempurna

• Menjadi penasihat dalam menyelesaikan masalah isteri, anak-anak dan jiran tetangga.

• Suami hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan isteri, anak-anak dan orang lain.

• Mempunyai sifat bertolak ansur, pengasih, penyabar, pemaaf dan bertimbang rasa.

Tanggungjawab Seorang Isteri

Selain dari suami, isteri juga mempunyai tanggungjawabnya dalam sesebuah keluarga.



Antara tanggungjawab isteri adalah:

• Menjaga kehormatan diri terutama apabila suami tiada di rumah. Misalnya tidak membenarkan lelaki yang bukan mahram atau yang dibenci suami masuk ke dalam rumah.

• Patuh terhadap suruhan suami (selagi bukan perkara maksiat) dan sentiasa suka melayan suami zahir dan batin.

• Menumpukan sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak.

• Menjaga kebersihan rumah tangga dan kesihatan diri serta anak-anak.

• Menjaga amanah dan harta suami.

• Sentiasa menyimpan rahsia pergaulan suami isteri.

• Tidak meninggalkan rumah tanpa izin suami (kecuali dalam situasi darurat)

• Berhias diri hanya untuk tatapan suami sahaja dan tidak untuk orang lain khususnya apabila berada di luar rumah.

Ketika berada di khalayak ramai, si isteri harus pandai menjaga kesopanan dan sentiasa menutup aurat.

Disebalik kemanisan yang kita lihat dalam perkahwinan ini, sebenarnya terdapat rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

Antara rahsia dan hikmah perkahwinan:

1. Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunnah para nabi dan rasul.

Firman Allah SWT maksudnya:
Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan beberapa rasul sebelum kamu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.
— Surah ar-Ra’di ayat ke 38

2. Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah SWT.

3. Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengan dia bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredhai.

Al-Baihaqi RA meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang maksud:
Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.
— Hadis riwayat ath-Thabarani (7643)



4. Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin.

Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.

Ini diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW maksudnya:
Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku
— Hadis riwayat al-Iraqi (2/29)

5. Sebaik-sebaik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang ialah melalui perkahwinan.

Rasulullah SAW bersabda:
Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu bersetubuh/berumahtangga, hendaklah dia berkahwin, kerana ia paling menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah pemelihara (dapat mengekang keinginan nafsu syahwat) baginya
— Hadis riwayat al-Bukhari

6. Dapat menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak.

7. Melalui perkahwinan, wujud disiplin rumah tangga melalui pengagihan tugas suami isteri, ibu dan bapa yang membawa kepada disiplin dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat.

Dalam perkahwinan ini jangan hanya bayang yang manis-manis sahaja. Sekali sekala itu kita cuba juga bayangkan apa cabaran yang bakal diuji malah bagaimana untuk menanganinya. Berkahwin itu seronok tapi lagi seronok kalau kita miliki pasangan yang tahu apa itu erti tanggungjawab.

“Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya.”
— HR Bukhari

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 466,449 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen