Bila Putus Tunang, Boleh Tuntut Ganti Rugi Tapi Tak Boleh Saman Malu Jelas Peguam Ini.

 

Bila dah bertunang ini kita yakin bahawa dia adalah yang terbaik, tetapi itulah harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Sememangnya tempoh bertunang ini ada banyak dugaannya, malah dengan bertunang ini belum tentu ia menjadi suami atau isteri kita nanti.

Apabila pertunangan tidak berpanjangan, akan tetapi segala persiapan perkahwinan telah dilakukan, namun itu tidak bermakna salah satu pihak terpaksa menanggung kerugian serta rasa malu akibat majlis perkahwinan yang tidak menjadi.



Ramai yang tak tahu bahawa pertunangan yang terputus ini boleh dituntut dari segi undang-undang. Nak-nak lagi dituntut oleh pihak yang diputuskan pertunangan. Mari kita baca perkongsian Peguam Syarie, Fahmi Ramli ini.

Berani Putus Berani Tanggung

Viral seorang artis terkenal yang putus pertunangannya juga dengan seorang artis. Siapa-siapa pun kalau bertunang tak mahu hal ini terjadi. Lebih perit pulak pertunangan yang diputuskan ini ada isu yang besar sehingga melibatkan pihak polis.

Saya tak mahu ulas tentang isu yang timbul antara artis tersebut. Biarkan pihak polis lakukan tugas mereka. Cuma, ada soalan daripada netizen, Aisyah tu tak boleh tuntut apa-apa ke di Mahkamah Syariah? Insya allah saya akan ulaskan sedikit supaya menjadi panduan semua.

Boleh Ke Tuntut Gantirugi di Mahkamah Syariah?

• Pertunangan adalah suatu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk berkahwin. Pada ketika bertunang, haram untuk orang lain mengikat pertunangan dengan perempuan itu. Dalam undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan tuntutan Gantirugi Perkahwinan.

• Mana-mana pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu, adalah bertanggungjawab untuk pulangkan:

1. Pemberian pertunangan (jika ada)

2. Memulangkan nilainya

3. Membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

• Jadi, dalam kes ni, pihak yang diputuskan pertunangan boleh membuat tuntutan gantirugi yang dia telah tanggung untuk membuat sebarang persediaan kearah perkahwinan tersebut. Ini termasuk dengan persiapan yang dilakukan bagi Majlis Pertunangan.



Boleh ke Tuntut Saman Malu?

Tidak boleh. Di dalam Mahkamah Syariah, hanya gantirugi perkahwinan yang berbentuk perbelanjaan kearah persediaan untuk Majlis Perkahwinan sahaja boleh dituntut.

• Jika tuntutan itu bersifat gantirugi am kerana keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan, ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil).

• Ini berdasarkan kepada kes Salbiah Bt Othman vs Haji Ahmad B Abdul Ghani (JHXXI/I 1427H) yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak tuntutan Gantirugi Keaiban berjumlah RM200,000.00 yang dituntut oleh pihak Plaintif.



Apa Yang Aisyah Boleh Tuntut di Mahkamah Syariah?

• Di dalam kes Aisyah ni, dia boleh membuat tuntutan :

i. Belanja kenduri kecil-kecilan semasa hari pertunangan seperti jamuan makan dan khemah-khemah luar rumah

ii. Baju pengantin yang telah dibayar penuh olehnya termasuk dengan make up kepada butik

iii. Bayaran duit catering

iv. Kad-kad jemputan

v. Pengubahsuaian rumah (bilik tidur, bilik air, cat rumah dll)

vi. Pembelian katil pengantin

vii. Tempahan langsir dan cadar

viii. Deposit photographer

Ok, faham kan apa yang boleh dituntut untuk gantirugi putus tunang. Pertunangan bukan hal yang boleh dibuat main-main. Ia dah melibatkan dengan perundangan serta hukum syarak. Jadi, pihak yang memutuskan pertunangan perlu bertanggungjawab atas pemutusan pertunangan tersebut melainkan pihak satu lagi tu redha.

Moga kita semua dilindungi dengan rahmat Allah. Tapi kalau dah tiada jodoh, mungkin ada hikmah disebalik insiden ni. Ada hikmah juga bila tahu sesuatu sebelum berkahwin, kan? Follow dan Like Fahmi Ramli untuk terus mendapat info perundangan syariah.

Berani Putus Berani Tanggung
Fahmi Ramli

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 447,010 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen