Isteri Berhak Tuntut Nafkah Yang Tidak Diberi Oleh Suami Di Mahkamah.

 

Ramai isteri dan bekas isteri kadang kala hanya akan memejamkan mata sahaja apabila para suami atau bekas suami tidak memberi nafkah kepada mereka. Mungkin sesetengah mereka ini mempunyai pendapatan sendiri, akan tetapi boleh jadi juga pada suami dan bekas suami ini sendiri yang liat untuk membayar nafkah itu.

Sering kali kita lihat ibu-ibu tunggal akan turun naik mahkamah untuk menuntut hak mereka namun, ia bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi kalau tidak dapat kerjasama yang baik dari si suami. Bukan mudah untuk ibu-ibu ini menuntut hak mereka anak beranak, sehingga kadang kala dipandang serong oleh masyarakat.



Namun begitu, hukum syarak dan undang-undang telah menjamin kemaslahatan wanita untuk menuntut hak mendapatkan nafkah termasuk yang tertunggak ketika mereka bergelar isteri kepada seorang lelaki.

Peguam syarie, Syafiqah Abdul Razak berkata, isteri berhak menuntut nafkah yang tidak diberi oleh suami di mahkamah.

Merujuk kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, kata beliau, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

"Ia berdasarkan Seksyen 59(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang tertakluk kepada hukum syarak," katanya.

Selain itu, Syafiqah berkata, Seksyen 69 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga memperuntukkan tuntutan tunggakan nafkah.

"Nafkah zahir boleh diminta daripada suami secara baik semasa dalam pernikahan. Jika suami gagal memberi nafkah, maka isteri berhak menuntut nafkah di Mahkamah Syariah," katanya.



Jelas beliau, pemberian nafkah merupakan antara tanggungjawab suami yang perlu dipenuhi dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat jika gagal dilunaskan dengan sempurna.

ALLAH SWT berfirman: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka..." (Surah al-Nisa, ayat 34)

Merujuk Kitab Al fiqh Al-manhaji, Syafiqah berkata, antara nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isterinya ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal.

"Bagaimanapun, kadar nafkah yang perlu diberikan berdasarkan kemampuan seorang suami berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Talaq, ayat 7.

"Penting bagi suami dan isteri memahami tanggungjawab masing-masing supaya pernikahan yang dibina dipenuhi mawaddah, sakinah dan rahmah," jelas beliau.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 466,449 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen