Menjadi Isteri Kepada Suami Ini Ibarat Pekerja Dengan Majikan, Ada SOP Untuk Kita Patuhi.

 

Kita sebagai isteri mudah sangat tak puas hati, mudah melenting dengan suami kita. Sampai kadang-kadang suami nak dekat pun takut dengan kita. Mana tidaknya kalau dekat nanti kena marah.

Dengan suami kita tunjuk muka bengis kita, tapi kalau dengan orang lain kita tunjuk muka kita yang manis. Haa, macam mana ni, sedangkan suami kita itu adalah lombong pahala kita. Kita nak pahala tapi kita sendiri tak jaga lombong pahala kita, macam mana tu?



Nak jadi isteri yang taat pada suami, tetapi guna alasan tak mampu kawal marah dan letih sebagai alasan nak bermasam muka dengan suami, macam mana tu?

Meh kita baca perkongsian daripada Puan Nur Farhana Fizal ini, nak taat dengan suami, cuba baca apa yang beliau kongsikan ini.

Menjadi isteri kepada suami ini, ibarat pekerja dengan majikan.

Mohon baca dengan hati yang berlapang dada ya para sahabat saya wanita solehah semua.

Mungkin ada isi yang kawan-kawan akan rasa tidak setuju, sebab memang tak kena dengan kemahuan kita.
Begini, apa maksud saya dengan pernyataan di atas sekali?

Cuba bayangkan, bila kita di tempat kerja. Yang tak kerja pun bayangkan ya.



Jika majikan atau penyelia kita meletakkan sesuatu SOP (standard operation procedure) untuk setiap skop kerja yang kita perlu lakukan, adakah kita boleh sesuka hati mengubah dan mengikut kehendak kita?

Adakah kita boleh sesuka hati membantah, dan berkata, “Bos, saya tak suka cara Bos buat ni. Menyusahkan.” Boleh ke kita cakap macam tu?

Kita boleh dikatakan, mesti mengikut hampir keseluruhan SOP yang telah disediakan tanpa bantahan. Tak boleh sesuka hati nak ikut kepala kita.

Sebagai isteri, siapa yang sediakan SOP kita untuk taat suami? Suami ke? Mertua kita ke? Ipar duai kita ke? Atau mak ayah kita ke?

SOP untuk taat suami, Allah yang buat, dan Rasulullah yang ajar. Allahu. Hebatnya Pembuat SOP yang kita kena guna pakai ni. Jadi, macam mana pula sepatutnya kita mesti mengikut SOP ini?

Isteri, simpanlah wajah bengis kita tu daripada pandangan suami. Simpanlah dengus nafas marah kita tu daripada telinga suami. Simpanlah bicara pahit lidah kita daripada menyakiti hati suami. Simpanlah bentak perangai kita tu daripada melukakan suami.

Bukan sekali, bukan dua kali, malah berkali-kali. Berlaku depan mata, isteri memperlakukan suami begini. Bukan di dalam bilik tanpa manusia lain, tetapi di depan keluarga malah kawan-kawan sendiri. Sama lah diri sendiri yang menulis ni pun.

Allahu. Kita lupa agaknya kan. SOP taat suami, Allah yang buat. Rasulullah yang ajar. Berani betul kita langgar SOP Allah. Sedangkan SOP tempat kerja yang manusia buat pun kita takut nak langgar.

Allahu. Ampunkan kami Tuhan. Taubatkan kami Tuhan.



Ya. Kadangkala, kita penat sampai sukar bendung marah. Acapkali pula kita geram, sampai payah nak simpan bengis. Namun, fikirlah seketika. Renunglah sejenak. Apa kita dapat?

Adakah kita bahagia lepas membentak? Adakah kita rasa lapang setelah berteriak? Adalah bertambah tenang lepas kita mendengus dan melempar barang?

Sungguh tidak. Malah kita semakin bertambah parah emosi dan perasaan. Sebab kita dah langgar SOP Tuhan. Nak dapat hati tenang dan lapang itu, semakin Allah jauhkan.

Jadi bagaimana?

Rasulullah anjurkan, bila marah kita diam. Dan bilamana berdiri, duduklah. Bilamana duduk, berbaringlah. Dan berwudhulah untuk menyimbah air pada api ammarah yang sedang menyerang.

Yang sedang berdiri di telinga kita, beribu ekor syaitan. Dan yang ada di hati dan fikiran, SOP yang Tuhan dah sediakan. Istighfar, berwudhu dan berdiam seketika. Sehingga sejuk hati dan jiwa, bangunlah dan mulakan bicara.

Waktu itu, pegang tangan suami, ucap maaf dulu. Kemudian baru cakap apa nak cakap masa kita marah tadi. Tapi masa ni, insyaAllah kita boleh bercakap dengan lebih baik tanpa emosi dan marah didepan.

Kita tak dapat bahagia pun lepas sakitkan hati suami. Dapat dosa ada lagi. Dapat sakit jiwa kita pun iya juga. Kenapa kita nak rosakkan diri kita? Sayangilah diri kita, cintailah diri kita. Kita je yang mampu buat semua tu untuk diri kita.

Kawan-kawan, insyaAllah nanti saya cuba kongsi lagi, bagaimana kita nak berdamai dengan hati. Bagaimana kita nak hadapi tekanan dalam diri. Sebab marah dan meluahkan tanpa arah, bukan cara isteri solehah.

Ampun maaf dari hati daripada saya,
Isteri yang juga punyai seribu satu kelemahan diri yang wajib dibaiki.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 461,218 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen