Terima Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ) Atau Lebih Baik ‘Single’?

 

Perhubungan jarak jauh sememangnya adalah perkara yang kurang disenangi oleh beberapa pasangan, sehingga anda yang menyatakan bahawa jika berkahwin dan tidak tinggal sebumbung adalah lebih baik jika hidup membujang. Ini kerana risiko perkahwinan jarak jauh (PJJ) ini sememangnya tinggi.

Buat yang masih bujang, mereka ini akan sentiasa dimomokkan bahawa PJJ ini sukar untuk mencapai kebahagiaan dan kata sepakat malah bagi mereka yang sudah berkahwin PJJ ini akan membuat pasangan lupa akan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri.

Jika anda beruntung mungkin anda tidak akan terlibat dengan perkahwinan jarak jauh ini, jika sebaliknya sudah tentu perlu dihadapinya bukan?



Jadi lebih baik single atau terima sahaja perkahwinan jarak jauh ini?

Sejak kebelakangan ini, ramai kawan saya yang sudah membina bahtera rumah tangga di usia 20-an. Pada perkiraan saya, boleh dikatakan mereka berkahwin pada usia yang muda.

Namun begitu, saya memahami semua orang mempunyai tafsiran ‘muda’ masing-masing lebih-lebih lagi dalam isu perkahwinan.

Saya cukup hormat pada remaja di luar sana yang membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga seawal usia mereka yang baru mencecah angka 20. Bagi saya, isu kematangan dan layak berkahwin bukan tertakluk kepada umur seseorang.



Malah, dalam fail perceraian juga ramai yang terkandas bahtera rumah tangga mereka walaupun usia mereka ketika itu sudah hampir menjangkau 40 tahun. Inilah ragam rumah tangga.

Namun begitu, dalam isu kali ini saya lebih menekankan soal perkahwinan jarak jauh oleh pasangan yang baru mendirikan rumah tangga lebih-lebih lagi pasangan muda.

Kini sudah tidak hairan lagi, ramai pasangan di luar sana dan dalam masyarakat kita khususnya yang mengamalkan perkahwinan jarak jauh. Malah, ada pasangan yang lebih selesa dengan perkahwinan yang dibina dengan jarak jauh.

Persoalannya, sejauh mana keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan dengan perkahwinan jarak jauh ataupun lebih baik tidak perlu berkahwin jika perlaksanaan selepas pernikahan itu dengan cara PJJ?

Penyumbang Faktor Perceraian?

Saya yakin ada suara-suara yang menyatakan pendapat mereka mengenai topik ini daripada pasangan yang mengamalkan PJJ dan daripada pasangan yang tidak PJJ.

Hal ini terlalu umum untuk menyatakan cara perkahwinan yang mana betul dan mana yang salah. Saya yakin perkahwinan yang baik adalah kebijaksanaan setiap pasangan dalam mengendalikan rumah tangga masing-masing.

Namun begitu, penekanan dalam topik ini adalah tidak lain hanyalah untuk memberi secebis nasihat agar pasangan yang belum berkahwin atau yang sedang melayari perkahwinan mereka dengan PJJ dapat memberi sedikit panduan dan persediaan bagi mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang dibina.



Apabila pasangan berkahwin yang mengamalkan cara PJJ, hal ini wajib dipandang serius kerana ada perkara yang perlu diambil perhatian. Perkahwinan itu sangat memerlukan komitmen yang bersama. Bukan komitmen perseorangan.

Jika salah seorang pasangan tidak bertolak ansur dan berlepas tangan. Hal ini yang menjadi pencetus berlakunya salah faham dan perselisihan dalam rumah tangga kerana tidak merasakan kebersamaan itu.

Saya sendiri mendengar pesanan dan nasihat daripada kaunselor perkahwinan ketika beliau memberi ceramah dalam sebuah kursus perkahwinan, beliau menasihati bahawa jika perkahwinan itu berisiko untuk menjadi perkahwinan jarak jauh maka jangan biarkan tempohnya terlalu lama sehingga mencapai bertahun-tahun. Hal ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada kebahagiaan rumah tangga.

Risiko untuk rasa hidup bersendiri itu sangat tinggi kerana terbiasa melaksanakan tanggungjawab rumah tangga tanpa suami atau isteri.

‘Cliche’nya! Istilah Susah Senang Bersama?

Saya tidak rasa perkara ini sesuatu yang ‘cliche’ atau perkara biasa yang selalu kita dengar tanpa diberi perhatian yang serius. Inilah rumah tangga yang ingin kita bina dari zero kepada bravo!

Menjaga kebajikan suami dan isteri bukan tanggungjawab sebelah pihak sahaja dan bukan tanggungjawab ahli keluarga kita. Tapi diri kita dan pasangan. Memberi nafkah zahir dan batin bukan hal sepele yang boleh dipandang enteng.

Memang inilah hakikat rumah tangga. Penuh dengan komitmen, toleransi, give and take, sabar dan ikhlas menerima amanah. Saya terlalu hairan dengan orang yang berkahwin tetapi dia tidak merasai makna perkahwinan sebenar.

Orang sebeginilah yang menyumbang peratusan perceraian dan keruntuhan dalam perkahwinan. Sekaligus memberi impak yang negatif kepada individu di luar sana yang masih belum berkahwin.

Jadi, fikirkan sampai faham. Bukan sekadar mengetahui anda mahu berkahwin namun tidak memahami akan perlaksanaannya.

PJJ Atau ‘Single’?

Rasulullah S.A.W sangat gembira apabila umatnya ramai di muka bumi ini. Apatah lagi umatnya yang berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan melakukan sunnah Baginda S.A.W. Perkahwinan semestinya sunnah yang besar yang sangat mulia.

Suka saya mengingatkan diri saya dan semua bahawa perkahwinan bukan sebuah sifir kehidupan yang mudah seperti 2×5=10.



Ia tidak tertumpu pada jawapan yang itu sahaja. Ia boleh jadi jawapan kehidupan yang bermacam-macam namun tetaplah menuju pada matlamat yang satu. Iaitu mengejar redha Allah.

Oleh itu, sama ada pasangan itu memilih untuk perkahwinan tinggal bersama ataupun jarak jauh semuanya berbalik kepada diri setiap pasangan. Saya hormati sahaja pilihan mereka.

Namun, saya berharap agar semua orang dapat membina rumah tangga yang mandiri dan bahagia bukan sekadar di luaran sahaja, yang utamanya gembira pada hati sendiri dan pasangan masing-masing. Insya-Allah.

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 454,488 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen