Bolehkah Kita Berdoa Perkara Remeh Kepada Allah SWT?

 

Sebagai insan yang bergantung kepada Allah SWT, pasti kita akan sering berdoa dan meminta pertolongan daripada-Nya. Berdoa daripada perkara-perkara yang besar, sehinggalah perkara yang kecil, kerana semuanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Tetapi, pasti kita akan tertanya-tanya, adakah doa tentang perkara kecil tersebut akan didengari oleh Allah SWT?

Seperti…

Dipermudahkan urusan temuduga….

Mahu beratur cepat membeli makanan kerana takut terlewat….

Tidak terjatuh di tangga dan sebagainya…

Sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”” [Surah Ghafir (60)]

Ayat ini merupakan jaminan daripada Allah SWT, bahawa Dia akan mengabulkan setiap permintaan hamba-Nya yang berdoa.

Doa Perkara Kecil Dan Remeh?

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus." [Jami’ Tirmizi (3604)]

Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa milik Allah SWT adalah seluruh khazanah kekayaan, dan tiada Pemberi Selain-Nya. Jadi, kita sebagai manusia yang perlu sentiasa berdoa, mintalah apa sahaja dari-Nya termasuk perkara-perkata yang ringan, kecil dan remeh. Sesungguhnya jika Allah SWT tidak memudahkan suatu urusan, nescaya ia tidak akan menjadi mudah untuk kita mendapatkannya.

Hakikatnya, segala apa yang kita perolehi di dunia ini datangnya daripada Allah SWT.

Sebagaimana dalam sebuah hadits qudsi, Allah SWT berfirman:

“Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan kepadaku, niscaya aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang aku berikan pakaian, Maka mintalah pakaian kepada-Ku, niscaya akan aku berikan.” [Sahih Muslim (2577)]

Dimana hadith di atas, diperjelaskan bahawa Allah SWT suka akan hamba-Nya yang meminta daripada-Nya segala permintaan yang berkaitan dengan maslahah ukhrawi dan duniawi, sama ada makanan, minuman, pakaian dan lain-lainya, sebagaimana dia berdoa supaya dikurniakan hidayah dan petunjuk.

Kerana itu, sewaktu berdoa, kita sebenarnya sedang menzahirkan rasa kebergantungan dan betapa perlunya kita kepada Allah SWT.

Sebagaimana pesanan daripada Rasulullah SAW kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

“Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah….

Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu….

Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu….” [Jami’ Tirmizi (2516)]

Dan, kita juga perlu mengetahu bahawasanya Allah SWT sebagai Pencipta Alam, Dia-lah yang mencipta dan memberikan rezeki, jadi kepada siapa lagi yang berhak kita meminta segala hajat dan keperluan?

Sebagaimana Allah SWT terlah berfirman;

“Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu” [Surah al-Rum (40)]

Oleh yang sedemikian, berdoa perkara-perkara kecil dan remeh kepada Allah SWT bukan setakat dibolehkan, bahkan ia adalah satu anjuran yang dipesan oleh Nabi SAW kepada umat Baginda. Malah ini menunjukkan kepada Dia kita bergantung, kepada Dia juga kita meminta pertolongan, dan tiada yang lain.

Sebagaimana Allah berfirman;

“Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (6) Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (7) (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan)… (8)” [Surah al-‘Alaq (6-8)]

Semoga Bermanfaat Dan Bersungguh-Sungguhlah Kita Ketika Berdoa!

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 391,397 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen