Bila Kebahagiaan Itu Sudah Di Depan Mata, Jangan Sibuk Kejar Yang lain Cuma Perlu Dijaga Sahaja Biar Bersinar.

 

Hargai sesuatu yang sememangnya sudah menjadi milik kita dan sudah kita genggam, jangan terlalu berangan-angan dengan sesuatu yang bukan milik kita. Ini kerana, apabila kita menghargai sesuatu yang sememangnya milik kita, hidup akan lebih bahagia sebenarnya.

Jangan nanti bila kita sudah tidak memilikinya dan kehilangannya barulah kita ini mula tercari-cari kebahagiaan yang telah meninggalkan kita. Ramai yang menganggap perkara ini remeh sahaja, sedangkan ramai pasangan yang mengalami masalah ini.

Bila lihat pasangan lain lebih bahagia, selalu cakap begini pada pasangan kita.

“Kan bagus kalau awak macam Milah depan itu.”

“Kan bagus kalau abang macam Kassim itu.”

Kita cuma lihat kebahagiaan orang lain bukan kebahagiaan kita yang sudah ada depan mata ini. Mari sama-sama kita baca perkongsian dari saudara Akhtar Syamirini.



Kebahagiaan Di Depan Mata.

Kalau kita terlalu fokus kepada apa yang kita tidak ada, kita tidak akan hargai apa yang kita ada.

Kebahagiaan yang kita cari sebenarnya ada di hadapan mata. Tapi kita terlalu sibuk mengejar kebahagiaan itu di tempat lain sehingga kita tak sedar, mempunyai perhubungan yang terhebat bermula dengan melayan pasangan kita dengan layanan yang terhebat.

Raikanlah pencapaian dia, iktiraf usaha dia, hargai apa yang dia buat, berikan hadiah sebagai kejutan, dan puji dia.

Seperti bunga dan tanaman yang memerlukan air untuk terus cantik dan mekar, manusia memerlukan cinta, kejujuran, rasa hormat, semangat dan tenaga untuk mereka terus segak dan cantik. Sejurus selepas kita beri semua ini, orang yang tercantik, orang yang paling segak yang sentiasa kita cari itu rupanya berada di depan mata kita sahaja selama ini.



Lihat pasangan anda, adakah mereka semakin mekar, atau semakin malap? Nak tahu mudah sahaja. Rujuk kembali gambar anda dan pasangan beberapa tahun yang lepas.

Suami anda masa tu segak macam sekarang atau makin tidak terurus? Bagaimana pula dengan isteri anda? Lebih cantik dari dulu atau semakin hari, semakin hilang sinar di wajahnya?

Jika perubahannya ke arah kebaikan, anda sedang membuat perkara yang betul. Ini bermakna, pasangan anda semakin gembira, semakin sayang, semakin menghargai anda.

Namun, jika pasangan anda tidak setampan dulu atau tidak secantik dahulu, tidak ada orang lain yang perlu dipersalahkan melainkan anda sendiri.

Suami dan isteri umpama simbiosis di mana dua entiti saling memerlukan di antara satu sama lain. Jika satu entiti itu sedang mati, itu kerana dia tidak mendapat apa yang diperlukan untuk terus hidup. Manusia bukan hanya perlukan makanan dan air untuk terus hidup. Semangat jika sudah tiada, hati jika sudah tiada, tiadalah ertinya kehidupan itu. Inilah antara sebabnya pasangan anda tidak lagi mahu menjaga dirinya sendiri.

Berhenti melihat ke kiri dan ke kanan. Kebahagiaan itu berada di depan mata anda. Pulihkan ia. Itu amanah anda sebagai suami atau isteri. Beri dia semangat, beri dia sebab untuk terus hidup. Jika pasangan anda telah rasa yang dia tidak boleh hidup tanpa anda, di saat itulah anda berjaya memberikannya nyawa.



Secara ringkasnya, sekali lagi.

1. Raikanlah pencapaian dia.

- Apa juga kejayaan dia tak kira di mana, sama ada di rumah atau di tempat kerja, sama ada sebagai isteri, suami atau sebagai ibu, bapa, raikan. Mulakan dengan sekecil-kecil perkara seperti berjaya tidurkan anak atau berjaya gantung frame gambar dengan kemas, RAIKAN. Ya Allah, percayalah kesannya amat baik. Tak kira suami atau isteri, pasti berkobar-kobar semangatnya selepas itu.

2. Iktiraf usaha dia

- Jika dia sedang cuba belajar memasak, beri sokongan. Jika dia sedang cuba untuk menurunkan berat badan, beri dia semangat. Jika dia sedang belajar untuk bersolek atau mendeko rumah, tunjuk yang anda mengambil berat terhadap apa yang sedang dia CUBA lakukan. Jangan dipotong usaha pasangan dengan perkara yang negatif. Sekali anda lakukan, sampai bila-bila dia akan mengingatinya dengan penuh kebencian.

3. Hargai apa yang dia buat.

- Terima kasih, terima kasih dan terima kasih. Cara yang paling mudah untuk menghargai apa yang telah pasangan lakukan adalah dengan mengucapkan terima kasih. Tak kiralah besar atau kecil apa yang dilakukan itu, berterima kasihlah. Dua perkataan sahaja. Terima kasih ini bukan benda romantik, tiada alasan "saya tidak romantik" untuk tidak mengucapkan terima kasih kepada pasangan.

4. Berikan hadiah sebagai kejutan.

- Hadiah ini subjektif. Lelaki ni bila sebut hadiah terus ingat benda yang mahal, benda yang sudah nak dapat atau bunga sahaja. Tolong ambil, bawa keluar otak tu dan bersihkan dari tanggapan kolot ini. Hadiah tu dalam bentuk apa pun boleh. Coklat RM3 tu pun kira hadiah, jajan yang suami atau isteri suka atau teringin nak makan tu pun boleh jadi hadiah juga. Buat kejutan, tak perlu semua benda perlukan perancangan atau kebenaran. Kita ni manusia. Manusia penuh dengan kejutan. Apa yang jadi selepas itu tak perlulah kita risaukan. Suka atau tidak, belakang kira. Buat sahaja bahagian kita.

5. Berikan Pujian

- "Sedap masakan sayang", "Terima kasih tolong basuhkan pinggan", "Cantik sayang mekap", "Abang macam The Rock dah sekarang" dan macam-macam lagi. Pujilah selagi boleh. Bangun pagi, cakap muka suami hensem, walaupun ada air liur basi, muka isteri cantik, walaupun ada taik mata. Puji je, jangan tunggu bila dah buat salah baru nak puji. Itu sebabnya pujian itu sering menjadi tiada nilai. Kerana ianya diberi pada waktu yang tidak kena atau negatif.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 383,722 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen