Apa Hukum Keluar Dengan Bekas Isteri Bersama Anak Kecil?

 

Selepas berlakunya penceraian selalunya kita beranggapan bahawa bekas suami isteri tersebut tidak perlu berjumpa antara satu sama lain, bahkan jika salah seorang sudah berkahwin maka lagi tidak sesuai untuk berjumpa. Namun jika memiliki anak, biasanya bekas suami ini sudah tentu akan berjumpa untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan anak.

Ataupun, biasanya si bapa akan mempunyai waktu-waktu tertentu untuk meluangkan masa bersama anak tetapi pasti perkara sebegini akan membuat orang lain berasa senang terutama jika salah seorang sudah berkahwin lain.

Apakah hukum mereka berjumpa walaupun niat untuk meluangkan masa bersama anak tanpa ditemani orang dewasa? Mari sama-sama kita fahami penjelasan ini.



Hukum Bekas Pasangan Suami Isteri Berjumpa

Pada asalnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa. Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan. Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat, dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Nur: 30)

Berkata Imam Ibn Jarir al-Tobari berkenaan tafsir ayat ini: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka daripada apa yang mendatangkan syahwat pada padangan terhadapnya, daripada jenis perkara yang dilarang Allah untuk memandang kepadanya… maka itu lebih suci bagi diri mereka di sisi Allah dan lebih banyak kelebihan.”
Rujuk Jami` al-Bayan (19/154)

Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang:


• Meminang
• Belajar
• Berubat
• Bermuamalat
• Kesaksian dalam kes mahkamah
• Hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)

Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok-seronok, maka diharamkan. Sebahagian ulama berpendapat harus lelaki memandang wanita pada wajah dan dua tapak tangannya jika aman daripada fitnah dan tidak disertai dengan syahwat. Ini dipersetujui oleh Imam al-Bajuri. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 205)

Berdasarkan fakta dan hukum di atas, kami berpendapat hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. Ini kerana suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak yang berusia empat tahun itu daripada sudut memberikan nafkah dan pendidikan. Pastinya, itu akan membawa kepada hubungan muamalat yang melibatkan perjumpaan dan perbualan dengan bekas isteri yang merupakan penjaga bagi kanak-kanak tersebut.

Justeru, berjumpa dan berbuat dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan.

Adapun berkenaan dengan khalwat, maka tidak boleh mereka berkhalwat atau bersendirian kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani mereka sama ada mahram bagi wanita atau wanita Muslim yang terpercaya yang diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan. Tidak disyaratkan orang tengah tersebut adalah isteri kedua tersebut. Boleh juga sesi perjumpaan itu dibuat di khalayak ramai dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah. Hukum ini berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Jangan sekali-kali seorang lelaki itu bersendirian dengan seorang perempuan melainkan terdapat bersamanya mahram.”
Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)

Nasihat Kepada Mereka

Berdasarkan jawapan bagi soalan pertama, kami mencadangkan agar mereka sentiasa menjaga maruah diri mereka masing-masing.

• Hendaklah mereka menjaga pergaulan mereka semata-mata untuk maslahat anak dan bukan untuk tujuan maksiat.
• Hendaklah mereka mendapatkan khidmat orang tengah yang boleh menegah mereka daripada melakukan maksiat, atau berjumpa di khalayak ramai.
• Menasihati suami agar menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang ayah dengan menyediakan nafkah dan pendidikan sempurna kepada anaknya.
• Menasihati suami agar sentiasa berlaku jujur dan adil dalam setiap tindakan yang akan memberikan kesan kepada kedua-dua keluarga.
• Berdoa agar setiap pihak mendapat kebaikan dan hidup dalam kasih sayang dengan Allah ﷻ sekalipun selepas bercerai.


Mudah-mudahan, pesanan ini akan memberikan manfaat kepada semua.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,882 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen