Sebelum Lakukan Perjalanan Pulang Ke Kampung, Ibu-Ibu Hamil Perlu Bersedia Ini Dahulu.

 

Siapa sahaja yang tidak seronok pulang beraya dan berkumpul bersama ahli keluarga di kampung. Bukan sehari dua duduk di kampung, kadang-kadang sampai seminggu kita habiskan masa dengan keluarga kita itu. Baik yang muda, ataupun tua pasti akan tetap merasa keseronokkan menyambut Hari Raya ini.

Tidak ketinggalan buat ibu-ibu yang sedang hamil sekarang ini, walaupun terasa penat namun mereka ini juga tidak ketinggalan untuk merasai kemeriahan pulang ke kampung berhari Raya.



Namun begitu, kaum ibu perlu beringat yang mereka sedang mengandung dan tidak boleh berjalan jauh terutama wanita yang sedang menunggu hari atau sudah melepasi usia kandungan 36 minggu.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Wan Norizah Wan Musa secara umumnya ibu hamil yang tidak mempunyai sebarang komplikasi serius boleh memulakan perjalanan jauh sama ada darat atau udara ketika trimester kedua iaitu pada usia kandungan 13 hingga 28 minggu.



“Namun jika kandungan sudah memasuki 36 minggu atau lebih, mereka tidak digalakkan pulang ke kampung kerana dalam tempoh ini mereka sudah boleh melahirkan bayi pada bila-bila masa sahaja. Ini kerana menurut kajian sebanyak 70 hingga 80 peratus wanita melahirkan bayi pada usia kandungan 36 minggu,” katanya.

Selain berada pada trimester ketiga, terdapat juga golongan yang tidak digalakkan menempuh perjalanan yang panjang terutama jika melebihi lima hingga enam jam ke atas antaranya:

1. Ibu yang mempunyai darah tinggi yang tidak terkawal.

2. Mempunyai masalah jantung. Kesesakan jalan raya akan menyebabkan aliran darah menjadi tidak stabil dan jantung mengepam lebih cepat.

3. Masalah plasenta previa atau uri di bawah menyebabkan pendarahan berlaku pada bila-bila masa.

4. Sejarah kelahiran pramatang. Mereka yang mempunyai sejarah kelahiran pramatang dan kelahiran kembar turut berdepan komplikasi kelahiran yang tidak dijangka. Jadi golongan ini tidak digalakkan pulang ke kampung.

5. Ibu hamil yang mempunyai masalah praeklampsia (tekanan darah tinggi ketika hamil) atau hampir sawan.

6. Ibu hamil yang pecah air ketuban awal boleh menyebabkan kelahiran pramatang.

Dr Norizah turut menjelaskan, bonggol dan jalan raya yang tidak rata atau bengkang-bengkok tidak menyebabkan kelahiran menjadi lebih cepat. Ini kerana bayi berada selamat di dalam rahim ibu kerana dilindungi air ketuban.

“Ada sesetengah ibu berpendapat bonggol atau jalan yang tidak rata menyebabkan kelahiran menjadi lebih cepat. Sebenarnya ia langsung tiada kaitan. Proses kelahiran sebenarnya disebabkan oleh faktor badan ibu itu sendiri,” katanya.

AWASI SEBARANG TANDA KELAHIRAN

Ketika dalam perjalanan, ibu hamil harus peka terhadap sebarang tanda kelahiran dan membawa isteri segera ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut sekiranya keluar tanda seperti:

1. Pendarahan dari vagina. Sama ada sedikit atau banyak.

2. Kontraksi atau sakit perut yang berlarutan atau kerap.

3. Pecah air ketuban.

4. Tanda-tanda praeklampsia seperti sakit kepala berterusan, kabur penglihatan secara tiba-tiba, sesak nafas, bengkak kaki dan tangan.

5. Muntah-muntah dan cirit-birit yang teruk.

6. Sakit atau lenguh pada kaki terutama di kawasan betis, bengkak dan panas serta kemerahan kerana ia adalah anda-tanda pembekuan darah pada salur darah.

7. Pergerakan janin yang tidak aktif.



Sebeleum melakukan perjalanan jauh, anda perlu mendapatkan nasihat daripada doktor yang merawat anda terlebih dahulu. Lakukan sedikit pemeriksaan untuk memastikan anak dan ibu dalam keadaan yang sihat.

Tidak dilupakan untuk membawa buku rawatan kehamilan ke mana sahaja anda pergi terutama bagi mereka yang sudah semakin hampir tarikh bersalin. Sediakan juga ubat-ubatan, vitamin dan kit kecemasan di dalam beg sebagai persiapan sepanjang tempoh perjalanan.

“Paling penting adalah menyediakan kelengkapan ibu dan anak ketika bersalin dan proses berpantang. Ini bagi memastikan ibu bersedia sekiranya risiko kelahiran awal berlaku,” katanya.

Di pihak suami pula, mereka boleh mengenal pasti lokasi klinik kesihatan dan hospital terdekat di sepanjang perjalanan agar memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Pastikan juga laluan sama ada ingin menempuh lebuh raya atau jalan biasa. Kira juga sekiranya berlaku kesesakan jalan raya yang teruk berapa lama anda perlu berada di dalam kereta.

“Bagi saya perjalanan paling selamat wajar diutamakan. Sebagai contoh menggunakan lebuh raya adalah lebih baik berbanding jalan biasa walaupun ia lebih jauh sedikit. Begitu juga menaiki kenderaan sendiri adalah lebih baik berbanding kenderaan awam.



Ini kerana anda tidak berupaya bergerak bebas kerana tempat duduk yang disediakan agak sempit. Keadaan ini tentunya kurang selesa, apatah lagi kebanyakan bas berhenti sekali sahaja sepanjang perjalanan bagi membolehkan penumpang berehat,” jelasnya.

Pakai tali pinggang keledar dengan betul iaitu dengan meletakkan tali pinggang di bawah perut. Ini bagi mengelak memberikan tekanan terhadap kandungan anda akibat tali yang ketat.

Bagi wanita yang sudah memasuki trimester ketiga, menaiki pesawat dianggap tidak selamat disebabkan faktor logistik. Apatah lagi, kebanyakan pesawat tidak dilengkapi peralatan khusus untuk menyambut kelahiran bayi. Keadaan akan bertambah buruk seandainya berlaku komplikasi atau kecemasan ketika di udara.

“Bagi yang masih berkeinginan menaiki kapal terbang, anda perlu mendapatkan surat rujukan doktor yang menyatakan kandungan anda sihat dan sesuai untuk melalui perjalanan itu. Bagi memudahkan pergerakan, anda dinasihatkan memohon tempat duduk berdekatan laluan dan bukannya di tepi tingkap,” katanya.

KETIKA DALAM PERJALANAN

1. Sekiranya anda tidak berpuasa, pastikan minum air mencukupi. Ini kerana perjalanan jauh amat memenatkan jadi pengambilan air yang banyak boleh mengelak dehidrasi.

2. Sentiasa melakukan regangan kaki dan tangan ketika di dalam kenderaan bagi membantu pengaliran darah lebih lancar.

3. Berehat setiap dua jam selepas menempuh perjalanan jauh. Guna masa rehat ini untuk bangun dari kereta, berjalan dan meregangkan badan supaya aliran darah terutama pada kaki berjalan lancar.

4. Pakai pakaian longgar dan selesa ketika dalam kenderaan. Begitu juga dengan kasut bagi mengelak kaki bengkak.
Persediaan beraya ibu hamil

5. Elakkan menempuh perjalanan ketika kesesakan jalan raya. Pilih waktu sesuai bertolak. Biar lambat asal selamat.

6. Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat sekiranya anda tidak berpuasa untuk mendapatkan tenaga.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,710 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen