7 Langkah Perlu Diambil Apabila Terlibat Dalam Keganasan Rumahtangga.

 

Menjadi seorang isteri yang taat itu tidak salah, tetapi anda juga perlu tahu had dan limitnya. Jangan biarkan diri anda ditindas sewenang-wenangnya, kerana anda manusia juga berhak untuk mencapai kebahagiaan. Selalunya isteri-isteri yang berdepan dengan keganasan rumahtangga ini takut untuk kedepan dan lebih memilih untuk mendiamkan diri.

Jangan begitu, dalam Islam tidak mengajar perkara sebegini. Jika anda dizalimi, anda perlu lindungi diri anda semula. Tidak kiralah ia suami anda atau bukan.

Suami yang ada untuk dilindungi bukan untuk disakiti. Bagi seorang suami, isteri adalah amanah yang wajib dijaga dengan baik. Segala tanggungjawab dan haknya wajib ditunaikan oleh seorang suami.



Jadi apabila anda berdepan dengan keganasan rumahtangga apa tindakan yang harus anda lakukan? Mari ikuti langkah demi langkah yang dikongsikan oleh saudara Akhtar Syamir ini.

Saya nak fokuskan mengenai apa yang BOLEH dilakukan oleh isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga ini.



Pergaduhan atau insiden kali pertama.

Ini detik yang paling penting. Apa langkah anda seterusnya pada ketika ini bakal menentukan masa depan anda dengan pasangan anda. Kali pertama dia tampar. BANGKIT ! Beritahu dia yang ini adalah satu kesalahan ! Jangan menangis sahaja. Dia perlu tahu yang anda benci apa yang dia lakukan, dia juga perlu tahu yang itu membuatkan anda sakit dan dia sedang menyakiti anda. Ada kemungkinan dia tersilap langkah dan akan terus nampak kekesalannya. Ini bermakna anda berjaya mengawal keadaan. Langkah seterusnya terpulang kepada anda.
Jika keganasan itu terus berlaku, apa yang anda perlu tahu dan boleh lakukan?

⚠️ Pertama.

Sedar. Sedarlah yang dia tiada hak untuk mencederakan dan melukakan anda. Sedar juga yang itu adalah satu kesalahan dari segi undang-undang. Sedarlah yang anda boleh dapatkan bantuan. Sedar yang anda bukan keseorangan. Sedar yang anda perlu berhenti menyeksa diri sendiri dan orang yang anda sayang. Sebagai contoh, anak-anak anda. Jangan jadikan mereka sebagai sebab anda tidak keluar dari kemelut ini. Kerana itu bukanlah tindakan yang bijak. Sebaliknya bakal mendatangkan trauma buat anak-anak anda.

⚠️ Kedua.

Kongsi masalah itu dengan ahli keluarga atau teman rapat. Ibu, bapa, adik beradik atau kawan karib. Mereka perlu tahu. Kenapa? Kerana dua kepala lebih baik dari satu. Jika anda tidak berkongsi, mereka tidak tahu dan anda akan terlepas dari nasihat serta pandangan mereka terutamanya ahli keluarga anda. Ini bukan lagi soal aib. Ini soal keselamatan diri, keluarga dan masa depan.

⚠️ Ketiga.

Hubungi WAO (Women's Aid Organization / Pertubuhan Pertolongan Wanita) di

▶️ 03 7956 3488. Isnin hingga Sabtu : 9am – 5pm. Hari Selasa, Rabu dan Jumaat, ada tambahan masa dari 7pm ke 10pm.

▶️ SMS/WhatsApp TINA: 018 988 8058 (24 jam)

Mereka boleh memberi nasihat, menerangkan pilihan anda, dan boleh bertemu secara berdepan. Anda juga boleh mengakses perkhidmatan WAO seperti sokongan perlindungan dan krisis.

⚠️ Keempat.

Dapatkan bantuan di One Stop Crisis Centre (OSCC) di Hospital kerajaan.

Pusat bantuan ini dibuka 24 jam sehari dan memenuhi semua kes yang berkaitan dengan penyalahgunaan, keganasan dan eksploitasi orang dewasa dan kanak-kanak.

Matlamat utama OSCC adalah untuk menawarkan anda tempat yang selamat untuk melindungi anda dari bahaya, untuk memeriksa kecederaan anda dan untuk merawat dengan sewajarnya, untuk membantu siasatan polis dan menjaga anda dengan selamat sehingga anda mendapat bantuan daripada jabatan kebajikan sosial jika diperlukan. Anda juga akan dinilai untuk krisis mental dan emosi.

⚠️ Kelima.

Dapatkan "Emergency Protection Order" (EPO) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Emergency Protection Order" (EPO) adalah perintah yang dikeluarkan oleh pegawai kebajikan masyarakat (JKM) yang memerintahkan pelaku untuk berhenti melakukan tindakan keganasan terhadap anda. EPO boleh didapati pada bila-bila masa dengan menghubungi Talian Nur (15999) yang boleh didapati 24 jam sehari, atau dengan mengunjungi pejabat JKM yang terdekat. Anda perlu membawa IC anda dan sijil kelahiran anak anda (jika berkenaan) dengan anda ke JKM. Anda tidak perlu membuat laporan polis untuk mendapatkan EPO. Ia akan sah selama 7 hari.

⚠️ Keenam.

Buat laporan polis dan memohon "Interim Protection Order" di Balai Polis.

Anda boleh melaporkan apa-apa perbuatan atau ancaman keganasan. Anda boleh membuat laporan polis sama ada dengan menaip sendiri di balai polis atau secara lisan kepada pegawai polis. Anda juga boleh membuat draf laporan anda terlebih dahulu. Dalam laporan polis anda, tulis butiran penyalahgunaan, seperti apa yang berlaku, apabila ia berlaku (tarikh dan anggaran masa), di mana ia berlaku, dan siapa yang terlibat. Jangan lupa untuk mendapatkan salinan laporan polis.

Minta Pegawai Polis untuk memulakan permohonan untuk Perintah Perlindungan Interim (IPO). IPO adalah dokumen mahkamah yang melarang pelaku daripada melakukan terus melakukan keganasan kepada anda dan sah sepanjang siasatan polis. Pasangan, bekas isteri atau ahli keluarga pelaku boleh memohon untuk IPO. (Walau bagaimanapun, IPO tidak meliputi pasangan yang tidak berkahwin.)

Dalam laporan polis anda, nyatakan bahawa anda mahukan IPO. IPO juga boleh merangkumi ahli keluarga lain, seperti anak-anak anda. Dapatkan surat rujukan dari polis, yang menyatakan bahawa pihak polis sedang menyiasat kes itu. Pergi ke Pejabat Kebajikan terdekat dengan laporan polis, surat rujukan, dan IC anda. Maklumkan kepada pegawai kebajikan yang anda mahukan IPO. Pegawai kebajikan akan menemani anda ke mahkamah untuk memohon IPO. IPO adalah sah semasa siasatan polis. Sebaik sahaja siasatan polis berakhir, dan kes itu dikenakan di mahkamah, anda perlu memohon Perintah Perlindungan (PO) pula.

⚠️ Ketujuh.

Jika keadaan memaksa, lari. Tetapi, perlu tahu yang keganasan itu boleh menjadi lebih buruk jika anda lari. Jadi, ada beberapa perkara yang anda perlu ambil kira sebelum meninggalkan keganasan rumah tangga ini.

1. Simpan bukti kecerderaan seperti gambar dan video.

2. Catat kelakuan ganas. Bila, di mana dan sehingga tahap mana kecerderaan yang anda alami.

3. Simpan nombor kecemasan seperti 999, WAO hotline dan Whatsapp Line dan nombor Talian Nur. Boleh simpan menggunakan nama lain supaya tidak dapat dihidu pasangan.

4. Maklumkan pada ahli keluarga terdekat.

5. Rancang ke mana anda akan tinggal sementara.

6. Simpan semua barangan peribadi seperti pakaian, duit dan dokumen peribadi di dalam satu beg kecemasan. Beri kepada ahli keluarga atau kawan karib untuk disimpan sementara.

7. Pastikan telefon sentiasa berada dengan anda dan bersedia untuk digunakan (boleh buat panggilan / whatsapp).

Semoga semua informasi ini dapat membantu anda yang sedang di dalam situasi ini. Jangan terus jadikan diri anda mangsa keganasan. Buatlah sesuatu demi diri anda dan anak-anak anda. Mereka juga menderita dengan keadaan yang sedang berlaku.

Kepada semua suami yang membaca. Hargailah isteri anda. Hormatilah mereka. Angkatlah mereka setinggi yang mampu kerana anda juga akan mendapat manfaatnya. Kemarahan, sifat amarah dan keganasan itu tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan, malah akan memburukkan keadaan. Ingatlah yang mereka itu adalah keluarga anda. Bayangkan kehidupan tanpa mereka. Jika anda rela hidup tanpa mereka, mungkin anda layak untuk tinggal di dalam penjara.

Kesedaran ini perlu dikongsi sebanyak yang boleh. Terlalu ramai yang sedang menderita dengan keganasan rumah tangga ini tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bukalah mata kita, bantulah sedaya yang boleh. Jadilah ahli keluarga dan kawan yang bertanggungjawab.

Rujukan : WAO, MyHEALTH, google.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 448,217 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen