Ibu-Ibu Yang Tidak Dapat Bertarawih Di Masjid Jangan Kecewa, Tapi Gunakan Peluang Itu Untuk Beribadah Bersama Anak-Anak.

 

Dalam bulan Ramadhan ini pasti banyak ibu-ibu yang mengenangkan saat-saat indah menunaikan ibadah tarawih ketika masih belum memiliki anak kecil. Kini, bukan tidak mahu pergi ke masjid untuk menunaikan ibadah ini tetapi anak-anak kecil ini siapa yang akan menjaga dan melayani kerenah mereka. Kalau dibawa ke masjid takut mengganggu serta ibu tidak boleh fokus kerana bimbangkan anak-anak. Inilah perasaan setiap ibu-ibu yang memiliki anak kecil.

Dugaan ibu-ibu yang anak kecil ini sememangnya sangat terasa apabila lihat orang lain sibuk pergi ke masjid untuk menunaikan tarawih. Namun begitu, sedikit perkongsian dari Puan Farhana Muhammad ini sendiri merasakan bahawa dalam kepayahan itu ada manisnya juga.



Ibu-ibu yang memiliki anak kecil.

Motivasi buat ibu-ibu anak kecil sempena Ramadan.

Setiap kali Ramadan tiba, pasti akan rindu pada kenangan menyambut Ramadan sewaktu masih bujang atau masih belum punya anak.

Sungguhlah menggamit memori teringatkan momen-momen pusing-pusing masjid di sekitar Bandar Baru Bangi dan sekitar Putrajaya untuk iftar dan bertarawih bersama-sama sahabat-sahabat.

Ataupun sewaktu mengandungkan anakanda sulung yang ketika Ramadan kandungan berada pada trimester ketiga kehamilan. Walaupun waktu itu kaki sudah lenguh-lenguh, diusahakan juga solat tarawih di surau berdekatan rumah sewa Kelana Jaya, kerana tahu selepas itu mungkin lama lagi untuk merasai kembali suasana bertarawih berjemaah di masjid.

Ternyata benar sekali. Bermula tahun 2016 sehingga kini, belum ada lagi kesempatan untuk bertarawih di masjid sejak ada anak-anak kecil ini. Alhamdulillah atas kehadiran anugerah terindah walaupun setiap kali Ramadan menjelang, hati sentiasa merindui momen-momen menyambut di Ramadan di masjid.

Tahun ini, melihatkan dua ketul Haura' sudah faham arahan, adalah juga hasrat untuk bertarawih di masjid pada tahun ini.

Tetapi, setelah seminggu menjalani tarawih di rumah, nampaknya diri sendiri belum lagi bersedia untuk membawa anak-anak bertarawih di masjid.

Lebih-lebih lagi, masjid di sini tiada nurseri seperti kebanyakan masjid-masjid besar di semenanjung, menjadi tidak yakin untuk bertarawih di masjid.

Bertarawih sendirian di rumah pun tidak terlepas daripada ujian dua beradik ini, apatah lagi bawa dua beradik ini bertarawih di masjid.

Dugaan bertarawih di rumah.

Setiap kali bertarawih sendirian, ada sahaja adegan dua beradik ni. Sewaktu solat, main lari-lari sambil pusing-pusing umminya solat. Atau sengaja landing atas sejadah sambil ketawa sendirian tanda mengumpan umminya. Itu belum lagi kedengaran suara dua beradik yang cukup nyaring apabila bergurau sesama mereka.

Perkara biasa ketika bertarawih, si kakak minta mahu ke tandas. Jadi perlu mengurus dia untuk memastikan kesucian tetap terjaga.

Adakalanya sewaktu membaca Al-Quran, datanglah salah seorang meminta perhatian sambil menangis akibat bergaduh sesama mereka.

Itu adalah momen-momen di bulan Ramadan ibu yang ada anak-anak kecil.

Bila Ramadan menjelang, tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan ibu ibu yang ada anak-anak kecil amat merindukan saat-saat Ramadan ketika masih bujang atau bersendiri.

Lebih-lebih lagi saat bertarawih atau saat membaca Al Quran. Begitu tenang dahulunya bertarawih sambil menghayati bacaan imam. Begitu tenang membaca Al Quran selama mana yang dimahukan.

Namun, apabila sudah ada anak-anak kecil, semuanya tidak menjadi begitu 'tenang' sepertimana menjalani Ramadan sewaktu masih sendiri.

Si ibu yang baru berniat menunaikan tarawih, terpaksa menunda hasratnya gara-gara ada si kecil yang suka mengempeng. Mengempeng bukannya sekejap, memakan masa sejam dua sehingga si ibu tertidur sama.

Ada juga si ibu yang baharu sahaja berdiri untuk menunaikan solat, anak kecil yang pandai merangkak menangis sekuatnya bagaikan terkena cubitan. Si anak dalam fasa 'Separation Anxiety' langsung tidak boleh melihat ibunya berdiri tanpa mendukungnya, terus meraung disangka si ibu mahu meninggalkannya.

Ada ibu yang berhasrat untuk membaca Al-Quran, tersekat-sekat bacaan gara-gara ada tangan kecil comel sibuk mahu membelek sama. Disuakan buku yang lain, Al-Quran tetap menjadi perhatian.

Suka saya berkongsi tips daripada Shaykh Nuh Keller, memotivasi dan memberi panduan kepada ibu-ibu yang punya anak kecil setiap kali Ramadan menjelang.

1 : Hapuskan perasaan sedih

Bawa jauh-jauh rasa sedih, sebaliknya ibu-ibu perlu menyedari bahawa mendidik anak-anak itu juga salah satu ibadah. Hadirkan rasa dalam diri bahawa anak-anak itu adalah amanah dari Allah. Dan sepatutnya ibu-ibu sentiasa memperbaharui niat membesarkan anak-anak bahawa mendidik anak-anak adalah kerana Allah.

2 : Tingkatkan ibadah

Barangkali ibu-ibu tidak sempat menghabiskan bacaan Al-Quran dan rakaat tarawih mengikut target yang si ibu sendiri tetapkan, akan tetapi lebih elok sekiranya amalan tersebut semakin meningkat walaupun sedikit.

Sesungguhnya Allah menyukai amalan yang konsisten walaupun sedikit. Lakukan ibadah secara konsisten, dan jika masih ada masa terluang, boleh ditingkatkan amalan tersebut daripada 'sedikit' kepada 'lebih daripada sedikit'.

Kerana.. cuaca anak-anak ini tidak sama sepanjang masa atau setiap hari, ada pasang surutnya. Berbanding melakukannya secara banyak dalam satu masa, dan apabila tidak mempunyai masa terluang, lantas kalah dengan diri kerana merasakan tidak berupaya untuk meneruskan.

3 : Ambil peluang dalam setiap keadaan

Bijak ambil peluang lebih-lebih lagi ketika anak tidur, ambillah peluang untuk membaca Al-Quran. Ambillah peluang untuk meneruskan tarawih. Tarawih boleh dilakukan secara sendirian, sepanjang malam usai waktu Isyak. Membaca Al-Quran juga boleh dilakukan ketika menyusukan anak, atau ketika mendodoikan anak.

4 : Berzikir

Tidak ada alasan untuk tidak boleh berzikir melainkan ketika berada di dalam tandas. Malahan, wanita uzur juga digalakkan berzikir supaya masa tidak terbuang begitu sahaja. Lebih bagus jika si ibu berzikir dengan anak-anak bersama-sama.

5 : Gandakan niat

Gandakan niat akan menggandakan ganjaran kebaikan. Ingatlah bahawa setiap perlakuan datang daripada niat. Jika setiap perlakuan itu tidak dapat diselesaikan, namun jika diiringi dengan niat yang ikhlas, ganjaran hadir sepertimana yang diniatkan.

Contohnya, menyediakan juadah berbuka kerana niat untuk menjamu keluarga, tetapi dalam masa yang sama niatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

6 : Tingkatkan amalan kebaikan

Meningkatkan amalan kebaikan tidak semestinya terhadap perkara-perkara yang merumitkan. Cukup sahaja dengan perkara yang ringkas tetapi bermakna seperti menyediakan hidangan berbuka dalam kuantiti yang banyak dan mengagihkan kepada jiran tetangga.

7 : Beribadah bersama anak-anak

Daripada melihat anak itu sebagai 'cabaran' untuk beribadah, sepatutnya si ibu ambil peluang di bulan mulia ini untuk beribadah bersama anak-anak. Kerana anak-anak adalah peniru yang terbaik! Anak-anak akan meniru setiap tingkah laku orang tuanya walaupun tanpa disuruh. Antara hal yang boleh dilakukan si ibu:

• Dudukkan anak di atas riba, dan berzikir bersama-sama
• Baca Al-Quran dengan nada yang boleh didengari anak-anak
• Ajak anak-anak bertarawih bersama

Yang paling penting, sentiasalah memeriksa dan memperbaharui niat kita. Semoga ibu-ibu diganjarkan dengan kebaikan berlipat kali ganda dalam mendidik anak-anak yang merupakan ummah dan masa depan Islam.

Allahumma 'afuwwun tuhibbul' afwa fa'fuanni.

Ummu Haura',
Motivasi Ramadan kepada diri sendiri.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 472,428 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen