Kemaafan Yang Tidak Diterima, Jadi Bagaimana?

 

Bila bercakap tentang kemaafan, memohon maaf, memaafkan, dimaafkan dan tidak dimaafkan adalah asam garam kehidupan insan yang dilumrahkan. Adakalanya alpa dan melakukan kesilapan.

Memohon maaf adalah memohon kepada insan tertentu untuk menghalalkan segala kelakuan yang telah kita lakukan kepadanya.

Memohon maaf kerana kesilapan berpunca daripada kita sendiri merupakan satu realiti perlakuan yang memerlukan sebanyaknya keberanian dan kesedaran.

Namun begitu, kemaafan itu lebih mudah untuk diucapkan berbanding memaafkan kesilapan seseorang. Ini kerana, apabila kesilapan itu telah mengguris hati, pasti sukar untuk membentuknya kembali. Jadi bagaimana jika kita telah memohon maaf tetapi pihak terbabit tidak memaafkan kita?

Jom ikuti penerangan dari Ustaz Farid Rashidi ini.



Sedang saya memandu, tiba-tiba ada orang hantar mesej bertanyakan soalan.

Begini bunyinya.

"Assalamualaikum ustaz.. nak tanya. Andai kita meminta maaf pada sahabat-sahabat terdekat tapi tiada respon atau dia orang tak memaafkan kita apa perlu buat? Adakah kita masih tersangkut atau macammana?"

Faham apa yang soalkan. Sebab pernah dulu saya alami benda yang sama. Cuba meminta maaf, tetapi dibuat tak tahu. Malah seperti tak lagi mahu melayan kita seperti dulu. Bersungguh-sungguh kita mahu perbaikan silaturrahim, tapi apakan daya. Ia runtuh sekelip mata.

Pun begitu, jangan berputus asa untuk meminta maaf darinya jika kesilapan yang kita lakukan itu tidaklah sebesar mana. Berusahalah dengan pelbagai cara untuk perkemaskan semula ukhuwwah itu.

Baik, berkenaan masalah itu. Al-Quran menyebutkan:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu perbaikilah hubungan antara kedua saudaramu itu.”
[Surah al-Hujurat: 10]

Bermakna, kita sesama muslim ini bersaudara. Sebesar apapun perseteruan (yang tak ada kaitan dengan hutang, melibatkan kezaliman besar yang perlu dihukum dll), hendaklah saling maaf memaafkan dan perbaiki hubungan kembali.

Bahkan Rasulullah SAW berpesan pada kita... apa pesanan Baginda?

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
“Tidak halal bagi seorang muslim untuk memboikot (tidak menyapa) saudaranya lebih dari 3 hari.”
[Hadis Riwayat Bukhari no. 6237 dan Muslim no. 2560]

Ha, jangan sampai lebih 3 hari tau. Ini tak, bertahun-tahun dendam. Masam muka. Kesnya apa? Kes kecil je pun. Kambingnya makan pokok bunga jiran. Maklumlah bunga pula jenis mahal. Harga RM2 juta. Amboi mahal bebenor. *Sarcasm*


Langsung lepas kes itu tak bertegur sapa walaupun dah minta maaf berkali-kali.

Jangan begitu kawan. Tak baiklah. Kes kecil begitu, maafkanlah.

Az-Zarqani dalam penjelasannya untuk al-Muwatho’ menukil perkataan Ibnu Ruslan:

ويظهر أنه لو صالح أحدهما الآخر فلم يقبل غفر للمصالح
“Yang boleh kita simpulkan, apabila salah satunya berusaha berdamai dengan yang lain tapi perdamaian itu tidak diterima, maka orang yang berusaha berdamai tersebut diampuni."
[Syarh az-Zarqani ‘ala al-Muwatho’, 4/335]

Jika dah minta maaf berkali-kali, tapi tak dimaafkan. Tak mengapa. Biarkan dia. Yang penting kita jangan putus asa untuk perbaiki hubungan.

Sebab kata ulama', kita InsyaAllah sudah diampuni dosa lalu.

Tapi seandainya melibatkan hutang, perlulah dilunaskan. Atau pernah merosakkan sesuatu dan dia tuntut, selesaikanlah dulu. Tidak pun hal melibatkan hukuman, itu juga perlu diselesaikan dengan pihak berwajib. Hal kesengajaan begitu, perlu selesaikan dulu barulah mudah urusan maafnya.

Apapun, berdamailah kawan. Tak perlu berdendam kesumat pada hal sekecil begitu. Kita ini bukan spesis hidup beribu tahun macam pokok. Kita manusia serba-serbi lemah.

Sharelah agar lebih ramai kembali berdamai ok.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 391,975 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen