Suami Tidak Hulur Walaupun RM10? Isteri-Isteri Kena Tahu Nafkah Bukan Hanya Berbentuk Wang Ringgit Sahaja.

 

Masalah yang selalu bermain difikiran isteri-isteri apabila berkaitan dengan nafkah yang diberikan oleh suami mereka. Ada isteri yang sangat bertuah, di mana suaminya menyediakan tempat tinggal, cukup serba serbi serta tiap-tiap bulan tidak pernah lalai berikan wang belanja. Ada juga yang isteri mendapat tempat pelindungan, makan pakai segalanya dipenuhi suami tetapi tiada wang bulanan, bahkan ada juga isteri yang terpaksa mencari tempat berteduh sendiri dan tiada wang bulanan. Lain orang lain jalan ceritanya.

Isteri-isteri kena tahu bahawa nafkah itu tidak hanya berbentuk wang ringgit sahaja. Kadang kala tanpa kita sedar bahawa, tempat tinggal, makan dan pakaian itu juga merupakan nafkah. Tidak hanya itu sahaja, puji-pujian dari suami, menjaga hati isteri, melayani isteri dengan baik, tidak kecilkan hati pasangan dan pelbagai lagi juga nafkah buat si isteri.

Nafkah itu bukan hanya berbentuk wang ringgit sahaja, tetapi besar skopnya yang anda perlu tahu. Jadi mari sama-sama kita fahami berkenaan nafkah dari perkongsian Puan Marliya Ramli ini.


"TAK BAGI WALAU RM10?

Salam puan. saya terbaca posting puan mengenai nafkah setiap bulan yang wajib suami beri. Jelous pulak saya tengok puan dapat nafkah tetiap bulan walaupun saya redha. Adakah syaitan menghasut saya supaya saya jelous?

Gaji suami memang tak mencukupi dan memang gaji saya digunakan sepenuhnya untuk menampung perbelanjaan dan keperluan bulanan, langsung tiada simpanan.

Boleh saya tanya pendapat puan. Saya pernah ingatkan suami tentang nafkah pada saya. Bukan saya nak sangat puan,tapi saya taknak suami terus berdosa. Saya cakap bagi RM10 pun jadi buat syarat. Pernah dia beri sekali, dua. Lepas tu tak beri dah.

Boleh ke saya share di whatsapp suami mengenai posting puan? Adakah nanti suami kecil hati? dan nanti dia fikir saya tak redha pula. Sedangkan bagi saya RM10 tu boleh dia tunaikan.

Adakah kalau saya sentiasa redha, maka suami terlepas dari dosanya tidak memberi nafkah?

Maaf puan saya WhatsApp malam-malam macam ini. Sebab saya risau lupa puan.

Puan boleh reply bila puan free ya. tqsm"



********************************
JAWAPAN YANG DIEDIT SERBA SEDIKIT BAGI MELINDUNGI PEMBACA:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Semoga Puan berada dalam keadaan baik-baik dan dilindungi. Hatta puan mengaku cemburu kepada saya, amatlah saya hargai kejujuran Puan. Tak apa... Kita manusia adakalanya kita sedikit cuai hatinya.

Tidaklah menjadi niat saya kongsikan untuk menjadikan rakan wanita cemburu. Namun niatnya adalah sebagai teguran secara halus buat semua arjuna.

Kerana...

Kita tidak tahu penulisan mana bakal menyentuh hati para suami. Atas permintaan Puan, silakan kongsi penulisan saya jika bermanfaat. Namun jika Puan fikir ianya bakal melukakan suami, jangan lakukan kerana adalah tidak baik sengaja melukakan hati pasangan yang dicintai.

Isu utama suami Puan bukanlah beliau tidak mahu memberikan nafkah tetapi gaji beliau terlalu kecil maka beliau tidak mampu.

Maka...

Perkara ini haruslah difahami oleh isteri. Redhalah agar Puan dan suami berbahagia.





Nafkah tidak semestinya dalam bentuk wang. Nafkah yang wajib disediakan suami adalah dalam bentuk:

1 - tempat tinggal yang selesa juga selamat untuk isteri membuka aurat

2 - peruntukan makanan dua kali sehari / barangan dapur mengikut kemampuan

3 - persalinan pakaian dua kali setahun

4 - peralatan mandian isteri yang jenamanya mengikut kemampuan

Selain perkara wajib di atas, jika nak bagi wang sebagai tambahan adalah baik juga mudah mudahan diberkati rezeki suami.

Setiap 1 dinar yang dinafkahkan kepada isteri adalah bersamaan dengan kebaikan 1 dinar yang dinafkahkan ke jalan jihad yang diredhai Allah.

Tetapi...

Bagaimana jika suami tak mampu?

Di sinilah redha isteri perlu. Mintalah hatta RM1 sebulan sebagai keberkatan namun jika suami cuai itu pilihan beliau. Janganlah kita sebagai isteri mendoakan keburukan suami namun doakan agar Allah buka pintu hatinya ke arah kebaikan. Doakan agar suami sentiasa setia dan dimurahkan rezeki.

Sebagai isteri... samada suami beri nafkah atau tidak, Puan berusahalah membina harta. Ini isu fokus yang sangat utama. Usahakan samada beli rumah pelaburan atau simpan emas pelaburan sebagai harta. Pengurusan kewangan bukan tentang pendapatan kecil atau besar namun tentang bagaimana pengagihan wang tersebut.

Jika isteri adalah surirumah, saya pernah tuliskan bagaimana wanita dapat menjana pendapatan dari rumah. Semoga ianya bermanfaat.

Saya berpendapat tidak kiralah suami malaikat atau sebaliknya, setiap wanita tidak perlu terlalu selesa. Menabunglah dan bina harta. Tidaklah menjadi kesalahan untuk wanita sedikit berusaha demi masa depan sendiri.

Dengan rendah diri, saya mohon ampun maaf jika penulisan saya buat Puan tidak selesa, kecewa, cemburu dan sebagainya. Mengenai soalan samada Puan dihasut syaitan, bukanlah tugas saya untuk melabel bahawa Puan termakan hasutan syaitan atau sebaliknya. Allah lebih mengetahui dan menilainya.

Niat penulisan saya adalah hanya untuk menegur dalam bentuk penceritaan santai agar diterima baik samada oleh pembaca wanita atau arjuna. Kerana saya bukan Tuhan maka penulisan saya bukanlah berbentuk hukuman.

Saya cuma penulis maka saya menulis dengan cara keibuan juga kewanitaan kerana ini adalah genre saya. Saya yakin untuk menyentuh hati hanyalah dengan penulisan dari hati.

Seikhlas hati, saya mendoakan rumahtangga Puan berbahagia dunia akhirat.

Sentiasalah ingat, cinta bukan tentang sebanyak mana harta yang kita ada. Namun cinta adalah bila kita berada di sisi pasangan dan hati redha untuk berbahagia.

Tidak ada rumahtangga yang sempurna.

Saya dan suami selama 14 tahun ini juga masih mentah dan perlu sama-sama memperbaiki diri. Apa yang penting adalah saling berfikiran terbuka untuk berbincang tentang kelebihan juga kekurangan masing-masing. Maka.. sama-samalah saling memperbaiki diri dan bersabar dengan serba sedikit ujian berumahtangga.

Nota ulangkaji: jika gaji kecil samada perlu kurangkan perbelanjaan atau tingkatkan pendapatan.

Salam sayang

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 383,722 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen