Adakah Doa Perempuan Hamil Itu Mustajab? Ikuti Penjelasan Ini.

 

Secara asasnya, sesiapa sahaja yang berdoa telah diberikan jaminan oleh Allah S.W.T akan kemustajaban doa tersebut. Ini seperti yang dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang berikut:

“Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan mustajab kan doa kamu semua” [Surah Ghafir (60)]

Ayat di atas menjelaskan bahawa berdoa itu merupakan suatu ibadah kepada Allah. Ini kerana, setiap suruhan daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya untuk melakukan sesuatu perkara itu menunjukkan bahawa ia merupakan perbuatan ibadah.

Selain daripada itu, Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan.

Kata Khalid Al-Rib’ie:

‘’Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka : Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan. Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya’’.

Meskipun begitu, seseorang yang berdoa itu hendaklah sentiasa optimis dan yakin dalam berdoa. Dari sudut dia berdoa dalam jiwa yang penuh hadir, khusyuk, serta tunduk kepada Allah SWT.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Berdoalah kamu semua kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memustajabkan doa dari jiwa yang lalai lagi alpa.” [Riwayat al-Tirmizi (3479)]

Namun sedemikian, tiada dalil atau mana-mana riwayat yang menyebutkan tentang kemustajaban doa wanita yang hamil secara khusus.

Meskipun begitu, secara umumnya Allah SWT menyatakan bahawa antara sebab kemustajaban doa seseorang itu adalah apabila dia berada dalam keadaan yang penuh kesukaran dan kesulitan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya (melainkan Allah). [Surah Al-Naml (62)]

Imam al-Hafiz Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Siapakah lagi yang menjadi fokus dan tumpuan bagi mereka yang berada dalam kesulitan melainkan kepada-Nya (Allah). Serta siapakah lagi yang menghilangkan kemudaratan dari mereka yang tertimpa mudarat selain Allah ?’’.

Beliau juga menukilkan sebuah kisah yang berlaku kepada para salafussoleh terdahulu seperti yang disebutkan oleh ‘Ubaidullah bin Abi Soleh beliau berkata:

‘’Suatu hari Thawus (Ibn Kaisan) datang menziarahi aku yang sedang sakit di rumahku. Lalu aku berkata kepadanya: Berdoalah kepada Allah untuk aku wahai Abu Abd al-Rahman. Maka beliau membalas: Berdoalah kamu sendiri untuk diri kamu, kerana Allah menjawab mereka yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya’’.

Oleh yang sedemikian, sudah menjadi lumrah wanita yang sedang hamil itu untuk berhadapan dengan kesukaran dan kesulitan, dari sudut kesakitan mengandungkan bayi selama beberapa bulan dan juga kesakitan dalam proses melahirkan bayi.

Maka doa wanita hamil yang sedang berada dalam kesukaran ini adalah mustajab kerana termasuk dalam kategori mereka yang berada dalam kesulitan.

Wallahua’alam. Semoga Bermanfaat!

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 465,940 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen