“Poligami Bukan Boleh Buat Main-Main…” Nasihat Lelaki Ini.

 

Pada masa kini, apabila mendengar sahaja poligami disebut, maka gembiralah para suami untuk berkahwin lebih daripada satu akan tetapi ia amat digeruni oleh para isteri. Isteri mana sahaja yang suka bermadu walaupun dalam keadaan redha sekalipun. Pasti ada sekelumit rasa cemburu melihat suami dengan wanita lain.

Bukan sahaja kasih sayang dibahagikan, nafkah pun suami perlu adil untuk memberi. Poligami bukan untuk suami hanya menurut hawa nafsu sahaja, dan ia bukanlah untuk dimain-mainkan seperti perkongsian dari saudara Firdaus Mokhtar ini…

********

Aku pernah dah tulis sebelum ni. Poligami ini bukan perkara kau boleh buat suka-suka.

Isteri yang kau ada sekarang, hati dia kau kena jaga sungguh. Ummi pernah pesan ke aku;

“Jangan permainkan hati perempuan.” (Dia merujuk kepada isteri)

Lagi pula isteri itu isteri pertama kau.

Baik, dia begini;

1. Poligami memerlukan keadilan daripada seorang suami.

Iya, Islam tidak mensyaratkan kau mesti mendapatkan izin isteri pertama untuk kau kahwin 1 lagi. Tapi mendahulukan hati seorang yang bernama isteri itu keadilan yang kau kena buat.

2. Poligami memerlukan toleransi suami dan isteri pertama.

Kalau berlaku dia tidak setuju, hormati keputusan itu. Berbincang habis-habis dulu. Fahamkan dia apa sebab kau nak berbuat begitu. Apa pula perancangan kau nak handle 2 hati lepas ini.

3. Poligami sebenarnya memang amat berat bagi isteri.

Kalau sampai masa dia setuju, kau buatlah. Andai sampai ke sudah dia masih belum bersetuju, dan dalam masa yang sama dia masih taat sebagai isteri, kau jagalah dia seorang sahaja. Percayalah, kau tak akan jumpa hati yang sama seperti itu di tempat lain.

4. Nak berpoligami sebab apa?

Menjaga dan mendidik 1 hati pun berat. Lebih lagi lah mendidik 2 hati. Kan? Keperluan 2 orang isteri ini kau mesti penuhi. Kau dah ukur kemampuan sendiri? Persoalan ini semua kau kena jawab dulu.

5. Jangan sebab poligami, suami menjadi tidak bertanggung jawab.

Menceraikan isteri pertama yang tidak setuju dengan kehendak kau nak berkahwin lain adalah 1 perbuatan yang cukup tidak bertanggungjawab. Lagi pula kau baru kahwin bang dengan dia. Ya ampun. Pesan aku, baca balik poin nombor 2 dan 3.

Kalian, rumahtangga ini dibina bersama. Suami dan isteri ibarat 2 sayap burung. Untuk terbang, keduanya perlu bergerak serentak. Ke atas ke bawahnya sama. Mesti sepakat dan sekata.

Kalau satu ke atas, satu ke bawah, percayalah kau akan menjunam ke bawah dengan cukup laju. Hah! Faham?

Termasuklah kalau kau rasa kau mampu untuk mengemudi 2 isteri, tetap kau kena pastikan isteri yang ada sekarang faham juga. Dia juga yakin dengan kemampuan kau.

Kawan-kawan, isteri itu anugerah Tuhan buat kita. Kenapa mudah sangat kita sia-siakan hati mereka?

Atas kapasiti apa aku bercakap semua ni? Aku poligami ke? Oh tidak tuan-tuan puan-puan.

Cuma aku anak sulong kepada isteri pertama ayah aku. Dan ummi aku ada 3 adik madu yang boleh hidup 1 bumbung bersama.

Sembahyang sama-sama, masak bergilir, buat kerja rumah sama-sama.

Ummi dengan adik madu yang lain memang macam adik beradik. Anak jaga sama-sama. Sekali pun anak daripada madu dia sendiri.

Namun begitu ingat ini, aku jadi mata yang menyaksikan poligami bukan mudah. Kau kena jadi manusia yang sangat sangat sangat sabar.

Wajib menjadi hamba yang hidup penuh dengan air mata. Merintih dan mengadu cuma pada Tuhan. Abah sebagai seorang suami yang tak pernah tinggal sembahyang malam sekali pun.

Sembahyang fardhu mesti berjemaah. Disiplin beragama sangat tinggi. Bukan Abah seorang diri. Semua isterinya juga diajak mendahulukan agama lebih daripada segalanya.

Abah sedia untuk sembahyang, isteri-isteri dah dalam saf di tikar sembahyang. Sampai tahap itu.

Dan aku berani cakap, gelaran PU bukanlah tanda kau dah cukup sabar untuk semua itu.

Sekian.

Firdaus Mokhtar,

Bukan siapa-siapa.

********

Semoga Bermanfaat!

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 466,027 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen