Bolehkah Akad Nikah Tanpa Menyebut Mahar? Ikuti Penjelasan Ini.

 

Pada asasnya, mahar adalah tidaklah termasuk daripada rukun nikah. Imam al-Nawawi berkata:

Al-Ashab berkata: Mahar itu bukanlah satu rukun dalam pernikahan, berbeza dengan barang dan harga dalam jual-beli.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir R.A, menyebut:

Bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada seorang lelaki:

“Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan wanita ini?”

Jawab dia: “Ya.”

Kemudian Baginda berkata pula kepada si wanita: “Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan lelaki itu?”

Wanita tersebut menjawab: “Ya.”

Kemudian Baginda pun menikahkan mereka berdua. Lelaki tersebut kemudian bercampur dengannya (menggaulinya) dalam keadaan belum menentukan mahar dan belum memberikan sesuatu pun kepadanya.

Lelaki ini termasuk orang yang menyaksikan peristiwa Hudaibiyah, dan orang yang sempat menyaksikan peristiwa Hudaibiyah mempunyai bahagian (tanah) di Khaibar.

Kemudian tatkala kematian hampir menjemputnya, dia berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW menikahkanku dengan fulanah, dan aku belum sebutkan maharnya, dan aku belum beri apa-apa pun (sebagai mahar).

Aku jadikan kamu semua sebagai saksi, bahawa aku telah memberi si fulanah tanahku di Khaibar sebagai mahar untuknya.” Wanita itu pun mengambil bahagian tanah suaminya di Khaibar dan menjualnya dengan harga 100,000.

[Riwayat Abu Daud (2117) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14110)]

Hadith di atas menjelaskan bahawa sah akad nikah tanpa menamakan jumlah mahar atau mas kahwin. Ia dikenali sebagai nikah tafwidh. Keharusan ini bukanlah membawa kepada makruh. Akan tetapi al-Mutawalli menyatakan hukumnya makruh.

Allah SWT berfirman:

“Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.”(Surah al-Baqarah: 236)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata bahawa dibolehkan akad nikah tanpa menentukan mahar. Ayat tersebut menunjukkan, Allah SWT menilai sah talak tanpa menentukan mahar.

Ia juga menjelaskan tentang lelaki Ansar yang menikahi wanita daripada Bani Hanifah dan tidak menyebut atau menentukan mahar ketika akad nikah. Kemudian lelaki tersebut menceraikannya sebelum terjadinya hubungan intim. Maka turunlah ayat ini.

Menurut Mazhab Syafi’e pula, menyebut kadar mahar ketika akad ialah sunat. Mereka berpendapat sedemikian kerana Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin atau mengahwinkan anaknya dan orang lain tanpa menyebutkan kadar mahar. Sebahagiannya pula berpendapat bahawa tidak menyebut jumlah mahar dalam akad adalah makruh.

Sekiranya mahar tidak disebutkan dalam akad, pernikahan tetap sah di sisi syarak.

Walaubagaimanapun mahar tetap wajib ditunaikan dan akan menjadi hutang suami.

KESIMPULANNYA:

Menyebut dan memperjelaskan mahar ketika akad bukanlah menjadi satu kewajipan, namun ia amat digalakkan dan amat baik supaya dapat mengelakkan pertikaian pada masa akan datang. Ini juga sebagai tanda memuliakan isteri.

Justeru, kami tegaskan di sini, sebutlah mahar sekalipun hukumnya sunat pada pendapat sebahagian ulama’.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang tepat kepada kita dalam mengamalkan titah perintah-Nya. Amin.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 473,917 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen