Atasi konflik Kewangan Dalam Rumahtangga Melalui 6 Langkah Ini.

 

Melalui alam rumahtangga ini sudah tentulah bukan satu perkara yang mudah. Ini kerana, di dalam sebuah rumahtangga itu terdapat pelbagai dugaan yang betul-betul dihadapi bersama-sama. Tidak boleh hanya membiarkan salah seorang sahaja yang berdepan dengannya. Namun begitu, tidak semestinya alam rumahtangga ini tiada manisnya.

Ia akan menjadi manis apabila pasangan suami isteri itu saling memahami, bertanggungjawab, penyayang, bertolak ansur dan pelbagai lagi. Tetapi perbalahan kecil biasanya mampu membuat hubungan sebegini mula goyang.

Perbalahan berkaitan kewangan misalnya, antara isu yang kerap terjadi dalam rumah tangga, ini termasuk gaji isteri lebih besar berbanding suami sehingga muncul konflik yang puncanya bukan kerana tidak cukup duit, tapi hanya kerana berbeza pemahaman.



Isteri bergaji lebih besar daripada suami bukan lagi luar biasa dalam kalangan masyarakat di negara ini. Jadi, bagaimana menangani keadaan rumah tangga seperti ini? Tercalarkah ego suami jika pendapatan isteri lebih besar daripada gajinya? Gaji isteri lebih besar sepatutnya tidak menjadi bencana dalam rumah tangga, sebaliknya perlu dianggap sebagai bonus kerana ia secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada seisi keluarga.

Bagaimanapun jika anda berada dalam kelompok ini, dikongsikan beberapa panduan mungkin dapat mengekalkan keharmonian dan persefahaman antara satu sama lain.



1. Komunikasi dua hala

Masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam perbualan sehala. Anda juga tidak boleh menganggap pembahagian kerja rumah, wang dan kuasa membuat keputusan akan berlaku sendiri. Isu ini penuh dengan emosi dan bukan perkara mudah.

Justeru, komunikasi yang baik dan saling menghormati antara pasangan adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah ini. Jika dari awal melangkah ke alam perkahwinan lagi kedua-duanya menyedari perkara ini maka masalah yang timbul akibat ketidaksamaan gaji ini dapat dihapuskan.

Cuba selesaikan dengan baik dari awal supaya keadaan kewangan dan rumah tangga lebih selesa dan pasangan terbiasa dengan perbezaan jumlah gaji. Pasangan tidak sepatutnya berasa canggung kerana mereka kini adalah satu unit.

2. Bekerjasama dalam tugasan rumah

Sikap yang paling penting untuk pasangan bertahan dalam situasi ini adalah sentiasa mengingatkan diri yang anda di dalamnya bersama-sama. Bukan masalah siapa yang bergaji lebih perlu mendominasi hubungan keluarga.

Bekerjasama untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan setiap minggu untuk memastikan anak gembira dan bahagia serta rumah tangga teratur dan berjalan lancar.

Tidak perlu fikirkan apa yang pasangan harus lakukan sebaliknya tumpukan pada bagaimana anda berdua dapat laksanakan semuanya dengan cara yang adil dan kedua-duanya berpuas hati.

3. Elakkan bercakap soal duit ketika bersantai

Tidak kira berapa pun gaji isteri, hakikatnya anda dan isteri sama-sama bekerja keras berjam-jam setiap minggu untuk memperolehnya. Justeru, ketika anda berdua menghabiskan masa bersama keluarga, jauhi topik kewangan agar tidak merosakkan mood pasangan dan membuat dia tidak gembira.



4. Bincang mengenai keputusan kewangan bersama

Jangan teragak-agak bercakap mengenai hal gaji dengan baik dari awal lagi. Secara umumnya pasangan akan membincangkan masalah kewangan mereka sebelum perkahwinan secara terbuka. Oleh itu, anda dan pasangan boleh mengenali satu sama lain dan bagaimana gaji akan digunakan.

Anda dan pasangan juga perlu merancang kewangan isi rumah bersama-sama supaya ia jelas menerangkan matlamat dan objektifnya pada masa akan datang. Sediakan pelbagai rancangan kewangan untuk dilaksanakan bersama, termasuk cara yang diambil bagi merealisasikan rancangan masa depan.

Jadi pasukan yang baik dalam menyusun belanjawan kewangan ini, supaya semua matlamat anda dan pasangan dalam kewangan dapat dipenuhi dengan baik. Pada mulanya, ini mungkin kelihatan janggal, tetapi jika dilakukan dengan baik dari awal, ia boleh mengelakkan pertikaian dalam hal ehwal kewangan.

5. Bincang segalanya bersama dan wujudkan rumah tangga sihat

Sebagai suami, andalah yang sepatutnya membuat keputusan membabitkan hal ehwal keluarga. Tidak salah meminta pandangan isteri tetapi akhirnya anda yang perlu membuat keputusan berdasarkan perbincangan bersama. Jangan lepaskan tanggungjawab ini kepada isteri. Jangan biasakan isteri membuat keputusan untuk rumah tangga dan keluarga untuk mengelakkan dia berasa dirinya sebagai ketua di rumah, apatah lagi sekiranya dia memang ketua di pejabat.

Bukan anda saja malah terdapat banyak pasangan lain di luar sana yang gaji isteri lebih besar daripada gaji suaminya. Ini bukan masalah besar yang perlu dibimbangkan dan membuat anda kecewa.

Bincangkan hal ini dengan baik bersama pasangan dan lakukan langkah yang betul supaya kewangan tidak menjadi masalah berasingan dan rumah tangga masih dapat dibina dengan baik dan mudah bagi kedua belah pihak.

6. Jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan profesional

Sekiranya mendapati diri anda dan pasangan sering terbabit dalam hujah berulang dan hangat tentang wang, keputusan dan tugas rumah tangga, jangan terus membuat kesimpulan bahawa ia berpunca daripada pasangan.

Anda mungkin memerlukan seorang kaunselor untuk membantu anda menangani perasaan, emosi, sikap, dan kelakuan yang anda bawa ke situasi itu.


Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 465,940 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen