Dilema Seorang Wanita: Bekerja Makan Gaji, Surirumah Atau Berniaga.

 

Dilema seorang wanita: Bekerja makan gaji, surirumah atau berniaga.

Assalamualaikum wbt.

Melihat status yang berlegar di facebook tentang kemuliaan seorang surirumah berbanding kemuliaan ibu yang bekerja. Terpanggil untuk saya untuk menulis sedikit perkongsiaan. Kemuliaan dan pahala itu bukan milik kita. Allah jua yang berhak menentukan. Kita tidak perlu menegakkan siapa yang lebih mulia, ibu bekerja, surirumah atau yang bekerja dari rumah. Pada zaman Rasulullah sudah ada wanita-wanita cemerlang didalam membantu Rasulullah dalam memperkembangkan Islam. Sebagai contoh Saiditina Khadijah yang hebat didalam perniagaannya disamping menjaga akhlaknya sebagai wanita. Sumayyah wanita pertama yang syahid membantu Rasulullah didalam peperangan, Saiditina Aisyah dalan bidang pendidikan dan ramai lagi contoh yang boleh kita ambil sebagai rujukan. Tugas utama wanita yang paling utama adalah melayan suami dan mendidik anak-anak, manakala menguruskan rumahtangga iaitu membuat kerja-kerja rumah adalah kerana sifat ihsan seorang isteri kepada suami, membantu suami memastikan keperluan rumahtangga diuruskan dengan baik. Inilah zaman dimana wanita berada dipersimpangan. Sebagai seorang isteri yang berkerjaya kita sering berada didalam perasaan serba salah, tanggungjawab banyak tetapi masa dan tenaga sangatlah terhad.



Okay..jom kita sembang-sembang sekiranya saya memilih:

Sekiranya seorang wanita itu memilih untuk bekerja apa yang perlu beliau lakukan?

1. Betulkan niat. Apakah niat sebenar kita hendak bekerja. Adakah kita membantu suami didalam keperluan seharian atau hanya untuk memenuhi nafsu hidup dengan kemewahan. Seorang suami tidak boleh memaksa seorang isteri untuk bekerja keras sama seperti beliau sedangkan tanggungjawab mencari nafkah adakah tugas suami.

2. Pandai menguruskan masa. Jangan abaikan tanggungjawab sebenar iaitu mendidik anak terutama mendidik mengikut acuan Islam. ini kerana anda hanya akan bersama dengan anak hanya beberapa jam sahaja. Anda akan sedar kebanyakan masa-masa emas bersama anak anda akan berlalu begitu sahaja.

3. Memilih kerja yang sesuai kita sebagai seorang ibu. Sekiranya niat kita benar dan usaha mencari kerja yang lokasinya lebih berdekatan dengan rumah dan sesuai kerana ingin mendahului keperluan keluarga, Insyallah Allah akan bantu.



4. Jagalah pergaulan dan keterampilan. Muhasabah diri adakah pergaulan kita dipejabat berlandaskan syariah yang digariskan. Sekiranya pekerjaan kita penuh maksiat kepada Allah dimanakah keberkatan rezeki itu?. Berpakaian lah dengan sederhana dan menutup aurat. Menjaga batas-batas sebagai seorang isteri.

5. Melaksanakan pekerjaan dengan tanggungjawab dan amanah. Ini agar rezeki yang dibawa balik benar-benar dapat membantu keperluan seperti yang dihendaki.

Sekiranya seorang isteri memilih untuk menjadi seorang surirumah.

1. Betulkan niat walaupun anda hanya duduk dirumah, jangan merungut, tetapi fikirkan pahala dalam membantu suami dan membesarkan anak-anak. Membesarkan anak-anak dengan tangan sendiri adalah satu ganjaran yang luar biasa.

2. Bersedia untuk tidak punya ramai kawan kerana masa yang kita ada hanya dirumah, workstation kita adalah seluas rumah kita, bercakap lah kita dengan anak-anak. Kadang-kadang membebel dengan vacuum, dengan peti ais, dengan pinggan mangkuk....Jangan stress bertasbihlah dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar dan la illaha ilallah.

3. Kena pandai berjimat menguruskan ekonomi, berbelanja mengikut apa yang suami berikan dan perlu berbincang dengan beliau sekiranya tidak mencukupi. Suami yang baik ialah memberi lebih dari apa yang sepatutnya ia adalah sifat ihsan. Suami kena tahu dan ingat tugas isteri hanya melayan suami dan mendidik anak-anak.

4. Berfikiran positif. Ini kerana menjadi surirumah ganjaran yang mereka dapat hanya nampak dari segi spiritual..bukan bonus setiap tahun seperti wanita yang bekerja....ganjarannya subhanallah.....anak-anak anda adalah produk hasil didikan anda sepenuhnya...anda bersama mereka 24 jam sehari 365 hari setahun.



5. Jangan sesekali bandingkan dengan kehidupan wanita yang bekerja...pakai cantik-cantik, ada dinner, meeting sana sini, lunch best-best dan happening dengan kawan-kawan. Percayalah setiap wanita fitrahnya ialah hati mereka juga ingin bersama anak-anak.

6. Pandai menguruskan masa, seorang surirumah kerjanya 24 jam tiada rehat. Dari menyediakan sarapan, menjaga anak, menguruskan anak, memasak tengah hari, melipat kain, menyapu sampah......dan banyak lagi. Atur masa agar anda mempunyai masa anda sendiri untuk recharge minda contoh: membaca, bersenam, berkebun atau yang suka memasak boleh layari resepi yang menarik.

Sekiranya wanita memilih untuk bekerja dari rumah.

1. Betulkan niat. Semuanya bergantung kepada niat. Carilah perniagaan yang sesuai sebagai seorang isteri. Buat perancangan apakah perniagaan yang boleh dilakukan dalam jangka masa yang panjang dan yang benar-benar kita minat dan enjoy. Contoh anda minat untuk membuat kek, terokailah bidang ini sehingga mahir dan pada satu masa nanti anda akan berasa senang, tibalah masanya untuk anda memberi dan megajar kepada yang lain.

2. Pengurusan masa, jangan abaikan masa anda dengan anak-anak anda kerana mereka memerlukan perhatian tak kira anak kecil atau besar.

3. Menjaga urusan-urusan perniagaan mengikut syariat yang dibenarkan. Laksanakan penuh amanah dan tanggungjawab. Jangan lakukan kerana ia trend atau ikut-ikutan.

4. Anda telah dedahkan anak-anak anda dengan dunia perniagaan sejak dari kecil lagi. Ini pengalaman yang sangat berharga buat mereka.

5. Permulaan memang sukar tetapi percayalah ia hanya sementara. Saya mempunyai sahabat yang membuka stesyen minyak, beliau berkongsi bahawa beliau merasa susah dalam tempoh 2 tahun pertama selepas itu beliau sudah boleh goyang kaki hanya bekerja 3 kali seminggu sahaja. Menarikan?

6. Cari pembantu jika perlu. Pembantu yang boleh dipercayai pembantu rumah atau pembantu dalam perniagaan anda. Pilihlah yang mana utama dan sesuai.



Kesimpulannya:

1. Kita tidak akan capai semua yang kita kehendaki kerana sesuatu pasti perlu dikorbankan. Apa yang dikorbankan itu pastikan ia berbaloi adakah anda korbankan wang ringgit, masa bersama dengan anak atau masa anda sendiri dalam mencapai apa yang anda inginkan. Buatlah senarai apakah yang benar-benar anda inginkan.

2. Walau apa pun yang anda pilih utamakan apa yang Islam mahukan. Layari kehidupan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Jika anda jauh dari Alquran dan sunnah anda tidak akan bahagia walau apa pun yang anda pilih. Tidak perlu ambil peduli kritikan orang atau sangkaan orang luar tentang profession apa yang anda pilih. Ia sangat tidak membantu sebab bukan mereka berada ditempat anda. Yang penting tepuk dada tanya iman yang manakah apabila kita lakukan kita lebih dekat dengan Allah itu yang lebih baik.

3. Support each other. Kita sama-sama seorang wanita kenapa kita perlu menunding sesama kita. Tak kira apa pun profession kita, kita ada tanggungjawab melaksanakan hak-hak sahabat kita dengan bertanya khabar. Memberikan kata-kata semangat dan sokongan. Zaman sekarang lagi mudah untuk bertanya khabar. Kadang-kadang lagi senang berhubung lagi jauh rupanya hati-hati kita....

4. Sekiranya anda masih muda buatlah sesuatu yang anda enjoy dan suka, bayangkan anda akan fokus perkara itu selama 10 tahun dan apabila sampai saat itu anda sudah bersedia untuk memberi dan berkhidmat didalam masyarakat.

5. Cari ilmu agama, ilmu kekeluargaan dan ilmu kewangan kerana ia sangat penting. Jangan sia-siakan masa anda dengan perkara yang tidak berfaedah terutama ketika anda muda dan masih banyak punya tenaga.

6. Sekiranya pilihan yang kita lakukan bukanlah kehendak kita dah terpaksa kita menghadapinya maka berdoalah, bertaqarrub lah dengan Allah agar Allah berikan kekuatan dan jalan keluar dari segala permasalahan. Sesungguhya kita amat lemah untuk mengetahui apa yang terbaik untuk diri, Allah maha mengetahui segalanya.

7. Saya melihat rata-rata wanita muda pada zaman ini yang berani menjalankan perniagaan dalam masa yang sama mendidik anak-anak sendiri. Mereka kaya dan kesana kesini berniaga dengan membawa anak-anak bersama. Ibu-ibu yang bekerja dimana anak-anak kebanyakan masa dibawah jagaan orang lain tetapi kita masih tidak kaya-kaya....masih terikat dengan rutin kerja yang membosankan. Betul rezeki itu bukan hanya pada duit semata-mata, rezeki itu luas tetapi kalau kita kaya, beriman dan beramal soleh itukan lebih baik.

8. Jangan lupa hak-hak kita terhadap masyarakat.

9. Apapun yang kita lakukanj agalah kesihatan. Jaga hak badan. Jaga keterampilan yang sederhana jangan berlebih-lebihan menghiasi diri sehingga mengundang fitnah.

Banyak lagi point-point penting yang anda sendiri boleh fikirkan berlandaskan kehidupan anda sendiri. Saya sendiri ada pilihan hati saya sendiri berdasarkan segala pengalaman yang saya lalui, saya pernah berhenti ketika saya megandung anak pertama kerana mabuk, saya tinggalkan kerja idaman saya, selepas mengandung 6 bulan saya mendapat kerja diswasta, saya pernah bekerja dan berniaga secara sambilan dan ketika ini saya bercuti tapa gaji untuk menjaga anak-anak saya yang berumur 15,12,9 dan 8 bulan yang pada ketika ini sangat memerlukan perhatian saya. Insyallah tidak lama lagi saya akan kembali semula ke pejabat. Bagi saya 10 bulan yang paling bermakna dalam hidup saya pengalaman yang terindah tidak dapat dibayar dengan apapun. Allah beri kesempatan kepada saya menjaga anak-anak, menjaga ibu dan juga nenek. Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah banyak sangat pengajaran dan hikmah yang boleh dijadikan pedoman.

Secara peribadi saya sendiri saya lebih bahagia dan tenang untuk memilih bekerja dirumah dan mendidik anak-anak saya sendiri walaupun saya menyukai pekerjaan saya ketika ini. Tetapi saya lebih suka untuk memilih sebagai seorang yang bekerja dari rumah. Faktor utama saya adalah masa lebih flexible kerana saya bahagia melihat anak-anak saya, saya bahagia apabila saya boleh bersarapan dengan ibu saya setiap pagi, saya memasak lauk kegemaran suami, anak-anak dan ibu saya. Saya dapat menghadiri kelas-kelas agama. Saya boleh lebih tumpukan kerja-kerja amal. Tapi itu saya..........anda mungkin berbeza.....tapi apakan daya setelah berfikir panjang saya belum mampu untuk berhenti kerja. Setelah berdoa memohon kepada Allah dalam membantu memberikan keputusan menyenaraikan segala apa yang terpenting. Keputusan juga dibuat berdasarkan galakan suami dan ibu saya. Saya redha agar meneruskan kerjaya saya pada ketika ini. Semoga pengorbanan ini mendapat redha Allah. Sesiapa pun boleh menilai dengan sangkaan-sangkaan mereka tetapi yang penting diri, keluarga dan Allah redha dengan apa yang kita lakukan.

Akhir kata saya doakan kita semua berjaya menjadi hamba dan khalifah yang terbaik amalannya, lurus jalannya didalam menuju Allah. Kehidupan ini adalah satu perjalanan yang menyeronokkan sekiranya kita tahu tujuannya. kehidupan ini bukan satu pertandingan siapa yang bagus dan berbangga aku yang lebih baik tetapi kehidupan ini adalah untuk menjadi hamba yang bertaqwa.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 490,613 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen