Suami Mengambil Wang Isteri Secara Diam-Diam, Adakah Dibolehkan?

 

Seperti yang kita tahu bahawa seorang suami itu wajib memberi nafkah kepada isterinya. Tidak kiralah isterinya itu bekerja ataupun tidak, tetap sahaja suaminya perlu memberi nafkah kepada isterinya itu. Namun begitu, suami juga manusia biasa, kadang kala mempunyai masalah kewangan tersendiri, mungkin sahaja wang yang ada tidak cukup hingga hujung bulan, maka si suami mengambil wang isteri secara senyap-senyap tanpa izin si isteri, jadi adakah tindakan tersebut wajar dilakukan? Mari ikuti penerangan ini.



Hakikat yang sebenar, suami wajib menafkahkan kepada isteri sekalipun isteri tersebut seorang yang kaya atau berkerjaya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.
(Surah al-Nisa’: 34)

Ayat ini menunjukkan bahawa suamilah yang bertanggungjawab untuk memberi dan menyediakan nafaqah.

Begitu juga firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
(Surah al-Baqarah: 233)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِى النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ. فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”
Riwayat Muslim (1218)

Berdasarkan kepada hujahan di atas, suami sepatutnya memberi nafkah kepada isteri. Kami nyatakan apabila isteri yang menafkahkan kepada suami atau tidak diberi haknya, maka di situ berlaku qiwamah yang berpindah dari lelaki kepada isterinya. Begitu juga, antara hikmah Allah memberi tanggungjawab kepada lelaki supaya memberi nafkah kepada isterinya adalah agar rasa kasih sayang, penghormatan dan cinta isteri menjadi subur sehingga melahirkan mahabbah, mawaddah dan sakinah dalam melayari bahtera kehidupan. Inilah yang kita dambakan.


Menjawab persoalan di atas, kami tegaskan, tidak sewajarnya suami mengambil harta isteri tanpa izinnya. Walaupun begitu, binalah rumahtangga dengan sifat toleransi, kasih sayang dan tolong-menolong agar kebahagiaan sentiasa menyinari kehidupan rumahtangga.

Kami memetik kenyataan guru kami yang menyebut: “Undang-undang ekonomi dan sosial menyatakan, sesiapa yang mengeluarkan belanja, maka dialah yang berkuasa.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/120) Justeru isu nafkah tidak boleh dipandang enteng oleh suami sekalipun isterinya mampu, kaya dan berkerjaya.
Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 630,155 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen