"Haram Bagi Suami Isteri Bersekedudukan Selepas Jatuh Talak Dan Tidak Rujuk Sebelum Tamat Edah."

 

Penceraian bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main. Walaupun kadang kala melafazkannya dengan hanya niat bergurau, kemungkinan besar terjatuh talak kepada isterinya. Itu semasa berlaku penceraian, belum lagi selepas bercerai. Ada sesetengah pasangan, walaupun telah bercerai talak 1 atau 2 masih lagi tinggal sebumbung seperti suami isteri yang sah.

Perceraian bermaksud menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan qadi. Perceraian dari segi bahasa bermaksud berpisah. Dari segi istilah pula bermaksud keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.

Apabila sudah tamat satu hubungan itu, walaupun ianya hanya talak 1 atau talak 2, pasangan yang telah bercerai tadi sudah tidak boleh tinggal sebumbung. Mari ikuti penerangan dari Ustaz Farid Rashidi, semoga ia membuka mata kita serta memperbaiki salah yang dilakukan.



Pernah dulu saya ada menulis tentang masalah Talak Ta’lik. Tak sangka, ramai yang bertanyakan masalah talak. Bermacam-macam jenis soalan. Saya jawab sekadar termampu.

Salah satu soalannya tentang masalah rujuk. Setelah bercerai, mereka tetap duduk serumah semacam sebelum perceraian. Makna kata, tiada batasan langsung.

Aduhai. Tersentak dengar.

Begini, mari sama-sama kita ulangkaji balik bab rujuk ini. Baca perlahan, dengan nafas yang tenang tanpa emosi ya.

Di dalam mazhab Syafie’, tak bolehlah bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam rumah edah berkenaan, sama ada talak raj’ie atau talak ba’in. Kalau talak raj’ie (talak 1 dan 2) hendaklah rujuk dahulu sebelum tamatnya eddah. Bagi talak ba’in (talak 3) lagilah tak boleh sebab tidak boleh lagi rujuk kembali.



Hukumnya HARAM bagi suami untuk masuk ke rumah ex-isterinya yang beredah kerana membawa kepada khalwat dan serta mengganggunya.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang menyebut:


وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: “...dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka.”
[Surah at-Talak: 6]


“Tapi ustaz, ex-suami saya ni merayu-rayu berdrama airmata depan pintu pagar nak masuk rumah. Saya jadi serba salah. Malu jirang sebelah.”

“Lah, kalau dah nak bersama semula. Rujuklah kembali. Menangis tak berlagu tu dah kenapa? Lainlah kalau pergi talak 3. Memang tak dapat nak menolongnya kecuali nikah lain dengan pasangan lainlah.” Balas saya.

Tapi kalau duduk bersama serumah yang di dalamnya terdapat mahram, kepada bekas isteri atau suami, sama ada lelaki dan wanita, atau wanita ajnabi, maka harus bekas suami itu masuk dan tinggal serumah bekas isterinya. Tinggal serumah sahaja bukan sebilik dan berjima’ ya.

Menurut mazhab Syafie’, hukumnya menjadi MAKRUH tinggal sebumbung (ketika ada mahram), kerana kemungkinan besar dapat melihat (auratnya) kepada bekas isteri itu, sedangkan ia sudah haram kerana talak. Begitu juga harus jika kediaman itu berbilik-bilik, atau bertingkat-tingkat di mana masing-masing tinggal di dalamnya.
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie’ (4/268)

Bagaimanakah cara merujuk kembali?

Menurut Kitab Fiqh Manhaji (Fikah Mazhab Syafie’), untuk kembali semula kepada ikatan nikah (rujuk) cukuplah suami berkata: “Aku rujuk engkau kembali kepada perlindungan dan akad nikahku.”

Pengakuan itu hendaklah disaksikan oleh dua orang saksi.

Dalilnya, firman Allah SWT:


فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا۟ ذَوَىْ عَدْلٍ مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا۟ ٱلشَّهَٰدَةَ لِلَّهِ
“Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh edahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.”
[Surah at-Talak: 2]


Di Malaysia, kita ada Qodhi, hakim dan mahkamah Syariah. Jadi perlu rujuk ke sana untuk urusan rujuk cerai sebagai tanda hitam putih. Jangan memandai sendiri tau.

Tapi, macammana kalau cinta kembali berbunga setelah musim sejuk winter sonata berlalu? Macammana?

Boleh bagi suami yang mentalakkan isterinya dengan satu dan dua talak untuk mengikat kembali pernikahan itu walaupun setelah tamat edah. Syaratnya kenalah akad nikah, ijab qabul dan berikan mas kahwin baru. Bolehlah hidup bersama kembali.

Yang penting, perlu follow syarat sah rujuk di antaranya sebagaimana berikut:

1. Rujuk setelah talak satu dan dua saja, baik talak tersebut terus dari suami atau dari hakim.

2. Rujuk dari isteri yang ditalak dalam keadaan pernah dijima’. Apabila isteri yang ditalak tersebut sama sekali belum pernah dijima’, maka tidak ada rujuk. Demikian menurut kesepakatan ulama’.

3. Rujuk dilakukan selama masa edah. Apabila telah tamat masa edah menurut kesepakatan ulama’, tidak ada rujuk lagi.

Alhamdulillah, selesai. Semoga sedikit sebanyak memberikan pencerahan, dan merungkaikan kekeliruan.



Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 398,087 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen