"Tindakan Membuli Rakan-Rakan Di Sekolah Adalah Reflek Dari Apa Yang Mereka Alami Di Rumah" - Cikgu Mohd Fadli Salleh.

 

Masalah buli membuli di sekolah ini sememangnya kerap terjadi, bahkan ada yang sehingga ke arah kematian. Pelbagai cara telah dilakukan untuk menangani masalah sebegini namun kejadian sebegini bagaikan tiada pengakhirannya. Ini kerana, mangsa biasa berasa takut untuk berkongsi masalah yang mereka hadapi dengan ibu bapa, rakan-rakan lain atau guru-guru.

Malah perkara sebegini sentiasa mengerunkan ibu bapa, mana tidaknya, mereka takut jika anak mereka ini menjadi mangsa buli atau pembuli tersebut. Bahkan ibu bapa mangsa buli biasanya sanggup melakukan apa sahaja demi keadilan anak mereka, walaupun terpaksa menggunakan kekerasan.

Menurut Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, tindakan seseorang remaja atau kanak-kanak membuli rakan-rakannya kadangkala bergantung kepada tindak balas yang mereka perolehi di rumah. Mari ikuti perkongsiannya ini.



"Kalau anak aku yang kena buli, siap la pembuli tu. Memang kena teruk dengan aku. Aku akan pastikan dia tak berani nak buli anak aku lagi.

Cikgu pun kalau jumpa kes buli, "rotan je teruk-teruk biar mereka serik," demikian bunyi satu komen yang disokong ramai.

Tindakan budak kecil yang membuli kawan-kawan mereka kadangkala adalah reflek dari apa yang mereka alami di rumah.

Bagaimana mereka dilayan di rumah, begitu mereka layan kawan-kawan di sekolah. Ada ibubapa atau penjaga yang mendidik anak dengan kekerasan.



Sedikit salah anak sekecil 5-8 tahun dilempang hingga terpelanting. Dirotan, ditengking dengan kasar, malah hampir hilang nyawa direndam kepala seperti diceritakan pada aku melalui mesej ini.

Emosi budak itu sendiri terjejas teruk. Apa yang dia lalui dan alami itu antara sebab utama dia bertindak kasar pada kawan-kawan hingga digelar pembuli. Dia melepaskan kesakitan dan tekanan emosi yang diterima di rumah pada kawan-kawan di sekolah.

Kerana dia masih seorang kanak-kanak yang belum cukup akalnya untuk berfikir secara matang. Kerana emosi dan perasaan dia telah teruk didera di rumah sebelum ini.

Dan kita orang dewasa yang matang terus galak hendak menghukum anak itu terus dengan kekerasan dan hukuman tegas pula? Terus sahaja begitu? Supaya kitaran kekerasan terus menerus berputar tanpa henti?

Apa betul tindakan kita itu? Kekerasan perlu dibalas kekerasan? Walau akal murid itu masih tidak matang?

Pernah kita terfikir nak tahu kenapa budak sekecil itu sudah pandai membuli? Pernah kita cuba selami perasaan mereka? Pernahkah kita bayangkan apa pengalaman perit dan menyakitkan sehingga budak itu bersikap begitu?

Majoriti kita takkan berfikir tentang orang lain. Majoriti kita masih pentingkan diri sendiri.

"Asal anak aku selamat. Asal anak aku gembira. Asal orang tak berani lagi sentuh anak aku. Anak orang lain lantakkan. Peduli apa aku."

Begitulah kebanyakannya. Begitulah kebanyakan kita...

Dan sebenarnya, bukan semua kekerasan perlu diselesaikan dengan kekerasan.

Kadangkala dengan satu pelukan kekerasan itu mampu ditundukkan.

Kadangkala pembuli boleh dipulihkan dengan memberi mereka kasih sayang.

Kasih sayang yang mereka tak pernah rasa. Kasih sayang yang mereka hilang dari ibubapa mereka. Kasih sayang yang mereka begitu damba.

Hidup ini bukan sekadar tentang kita. Bukan hanya nak lihat anak kita gembira.

Orang yang berjiwa besar akan melihat situasi dengan mata helang.

Menundukkan hati yang keras dengan kelembutan. Dan mengubah sikap yang kasar dengan kasih sayang.

Begitulah.


Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 471,823 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen