Bolehkah Kita Bertemu Dengan Kucing Kesayangan Di Syurga? Ikuti Soal Jawab Ini.

 

SOALAN:

Assalamualaikum tuan Mufti, bolehkah saya bertemu semula dengan kucing peliharaan kesayangan saya yang telah meninggal dunia di akhirat nanti ?

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan.

Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.” [Riwayat Muslim (1955)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan bolehkah seseorang itu bertemu dengan haiwan peliharaannya yang disayangi di akhirat kelak, berikut kami kongsikan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata:

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.”

Ini menunjukkan, keadaan haiwan di akhirat kelak tidaklah sama dengan keadaan umat manusia. Dari sudut amalan mereka tidak akan dihitung pada kebaikan dan keburukannya, begitu juga mereka tidak dimasukkan ke dalam syurga-syurga Allah seperti golongan manusia yang bertakwa. Sebaliknya, kesemua haiwan akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.

Meskipun begitu, seperti yang kita ketahui bahawa para penghuni syurga dijanjikan begitu banyak kebaikan dan kenikmatan yang tidak terhitung jumlahnya. Ini disebutkan di dalam begitu banyak nas, antaranya firman Allah SWT:

“Buat mereka (para penghuni syurga) apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat).” [Surah Qaf (35)]

Imam Ibn Jarir al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:

‘’Bagi golongan mereka ini yang bertakwa apa sahaja yang mereka mahukan di dalam syurga. Yang mana telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka’’.

Demikian juga firman Allah SWT:

“Buat mereka (para penghuni syurga) buah-buahan di dalam syurga dan buat mereka apa sahaja yang mereka minta.” [Surah Yasin (57)]

Kata Imam al-Baghawi: ‘’Bagi mereka (para penghuni syurga) itu apa sahaja yang mereka cita-citakan dan juga apa sahaja yang mereka mahukan’’.

KESIMPULAN:

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah SWT ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia.

Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.

Justeru, saat seseorang itu berada di syurga kelak sudah pastilah segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari Allah SWT buat dirinya. Inilah yang Allah SWT firmankan dengan kata-Nya:

“Di dalamnya (syurga) terdapat perkara-perkara yang menjadi syahwat (kehendak) kepada jiwa dan juga perkara-perkara yang melazatkan pemandangan mata.” [Surah Al-Zukhruf (71)]

Imam Al-Thabari apabila mensyarahkan ayat ini meletakkan sebuah riwayat bahawa seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah SAW:

‘’Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta ?’’ Lalu baginda berkata: ‘’Wahai arab badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga Insha Allah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Semoga Bermanfaat!

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 447,006 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen