Memohon Fasakh Selepas Suami Menghidap HIV, Boleh Atau Tidak?

 

Hubungan suami isteri ini adalah satu hubungan yang suci, di mana kalian berjanji untuk susah senang bersama bahkan untuk bersama-sama menuju ke syurga bersama-sama. Walaupun dalam perkahwinan ini, suami sebagai ketua keluarga dan mempunyai kuasa dalam mengawal keluarganya tapi itu tidak bermakna seorang isteri tidak boleh menutut apa-apa darinya.

Terutama jika perkara itu akan memberi kesan yang kurang baik kepada isteri, maka seorang isteri berhak membuat keputusan demi keselamatan dirinya.

Sebagai contoh, jika suaminya didapati dijangkiti HIV, adakah si isteri dibolehkan untuk menuntut fasakah atau sekadar menjauhkan diri dari suaminya sahaja?



Perkahwinan adalah suatu yang disyariatkan untuk merealisasikan kasih-sayang di antara lelaki dan perempuan. Ia bukan sahaja untuk kebahagian satu pihak iaitu pihak lelaki sahaja, namun Islam sesekali tidak melupakan hak wanita untuk menikmati kebahagian dalam perkahwinan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran :


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum: 21)


Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas. Begitu juga sekiranya kita melihat hukum asal bagi pernikahan yang terbahagi kepada beberapa hukum, yang antaranya adalah makruh untuk berkahwin sekiranya akan membawa kepada mafsadah atau keburukan kepada pasangan seperti mempunyai penyakit, keuzuran atau lanjut usia. Lihat kitab al-Mu’tamad (4/18).

Maka disebabkan hal ini, untuk orang lelaki dan perempuan yang sudah melangsungkan perkahwinan, Islam memberikan jalan keluar apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga.


Sebelum kita membincangkan hukum bagi soalan di atas, perlu untuk kita fahami terlebih dahulu beberapa persoalan penting berkenaan fasakh. Fasakh adalah jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak, dan ia memberi kesan kepada tujuan pernikahan itu. Antaranya ialah aib-aib yang menyebabkan terhalang untukistimta’ atau “berseronok” di antara suami dan isteri.

Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutan fasakh. Antaranya:


وَعُيُوبُ النِّكَاحِ سَبْعَةٌ وَهِيَ الجُنُونُ وَالجُذَامُ وَالبَرَصُ وَالرَّتْقُ وَالقَرْنُ وَالعُنَّةُ وَالجُبُّ
Maksudnya: Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, iaitu gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, Lihat al-Mu’tamad (4/96).


Dalam perbahasan ini Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan secara jelas lagi terang bahawa:


وَيُقَاسُ عَلَيْهَا الأمرض المُعَدِّيَةُ وَالمُنَفِّرَةُ كَمَرَضِ نَقْصِ المَنَاعَةِ المُكْتَسَبِ (الإِيدِزْ) وَغَيْرَهُ, لفوات الاِسْتِمْتَاعُ المَقْصُودُ مِنْ النِّكَاحِ
Maksudnya: Diqiyaskan ke atas hal-hal ini penyakit-penyakit berjangkit dan merebak seperti penyakit HIV/AIDS, dan lain-lain, kerana menghilangkan keseronokan dari maksud pernikahan. Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’ei (4/96).


Hal ini turut disebutkan di dalam al-Majmu’:


وَالقِيَاسُ أَنَّ كُلَّ عَيْبٍ يُنْفِرُ أَحَدَ الزَّوْجَيْنِ مِنْهُ وَلَا يُحَصِّلُ بِهِ مَقْصُودَ النِّكَاحُ مِنْ المَوَدَّةِ وَالرَّحْمَةِ يُوجِبُ الخِيَارَ
Maksudnya: Dan diqiyaskan bahawa setiap aib yang menimpa salah seorang dari pasangan sehingga tidak tercapai kerananya tujuan pernikahan untuk mencapai mawaddah dan kasih sayang, maka wajib khiyar. Lihat al-Majmu’ (16/271).


Kesimpulan

Berdasarkan nas dan penghujahan di atas, apabila suami terkena penyakit HIV/AIDS selepas pernikahan, maka boleh untuk perempuan menuntut fasakh kerana ia adalah hak bagi isteri untuk keluar daripada perkahwinan. Hal ini seperti yang disebutkan dalam perbincangan di atas, bahawa apabila telah terkena penyakit yang menghalang hubungan suami isteri, maka sudah hilanglah salah satu daripada tujuan pernikahan yang menghalalkan hubungan ranjang lelaki dan perempuan. Maka, tidaklah menjadi kesalahan kepada yang bertanya dan mereka di luar sana yang mempunyai masalah yang sama untuk menuntut fasakh.

Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dalam memahami dan mempraktikkan syariat-Nya.



Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 473,991 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen