Kewajiban Mengambil Vaksin Untuk Anak-Anak Mengikut Perspektif Islam.

 

Pada masa kini, tular tentang gerakan anti-vaksin dimana para ibu bapa tidak percaya dengan perubatan moden ini. Malahan bagi mereka perubatan moden ini hanya menyesatkan dan tidak berbaloi, namun sebaliknya terjadi. Terdapat banyak perkara yang terjadi sehingga anak-anak diserang dengan penyakit difteria.

Menurut Islam juga, kita perlu mencegah pelbagai penyakit dengan rawatan supaya tidak memudaratkan diri. Semakin kita menuju ke arah pemodenan dunia, individu sebenarnya perlu ikut dengan arus tersebut disamping untuk mencegah pelbagai penyakit dengan perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan ini…

********

Isu penolakan vaksin dalam kalangan ibu bapa sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan kerana secara tidak langsung perkara tersebut telah menyebabkan jumlah kes beberapa penyakit cegahan vaksin di Malaysia semakin meningkat.

Setelah kami meneliti dan mengkaji dengan lebih mendalam, di samping maklumat terkini yang kami perolehinya, serta pandangan pakar, ulama’ dan badan berautoriti dunia berkenaan dengan hukum pengambilan vaksin…

Maka kami dengan menginsafi realiti semasa dan keperluan yang amat mendesak terutamanya kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan dokongan pada tubuh masing-masing supaya berlaku tumbesaran dengan lebih selamat dari penyakit, kami katakan ketetapan berikut:

1. Pengambilan vaksin termasuk salah satu daripada rawatan pencegahan yang disebut sebagai:

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Ia diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ

Maksudnya: Sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudaratan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir. [Riwayat Muslim (2047)]

2. Pengambilan vaksin memenuhi Maqasid Syari’ah.

Ini kerana, dalam Islam, hifz al-nafs (penjagaan nyawa) termasuk dalam perkara yang dituntut. Dari sudut pengambilan vaksin telah terbukti boleh mencegah tubuh badan dari pelbagai penyakit yang telah diterima secara umum oleh pakar-pakar.

Ini bertepatan dengan kaedah Maqasid al-Syariah:

حِفْظُ المَصَالِحِ يَكُونُ مِنْ جَانِبِ الوُجُودِ وَمِنْ جَانِبِ العَدَمِ

Maksudnya: “Penjagaan maslahat-maslahat itu berlaku daripada sudut mewujudkan maslahat itu dan daripada menjaganya daripada hilang“ [Rujuk al-Muwafaqat (2/18-19)]

3. Menjadi tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam untuk memastikan persekitaran kita bebas daripada penyakit berjangkit.

4. Bahawa pengambilan vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan adalah wajib ke atas ibu bapa untuk anak-anak mereka.

Ibu bapa dan penjaga yang lalai daripada kewajiban ini adalah berdosa apabila anak-anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan. Sekiranya penyakit berkenaan membawa mudarat kepada orang lain kerana kecuaian ibu bapa, atau pejaga, tersebut, maka mereka mendapat dosa yang lain.

5. Kami mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan pengambilan vaksin bagi kanak-kanak pada peringkat Kerajaan Persekutuan.

6. Warga dewasa juga disarankan untuk mengambil vaksin-vaksin alternatif seperti kata Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC).

Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, vaksinasi memberi perlindungan daripada penyakit yang menyerang sistem imun manusia yang lemah. Individu yang berusia lebih 50 tahun dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza, pertusis, pneumokokal dan kayap.

Begitu juga dengan orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit paru-paru, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit hati kronik, mereka perlu lebih proaktif dalam mengurangkan risiko jangkitan. Vaksin influenza, pneumokokal, hepatitis A dan hepatitis B adalah penting untuk golongan ini. Rujuk Orang Dewasa Disaran Ambil Vaksin Sebelum Terlambat.

7. Dalam masa yang sama, Jadual Imunisasi Kebangsaan itu perlulah sentiasa disemak disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan, kandungan bahannya dan kesannya kepada kemampuan ekonomi negara.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang jelas kepada pembaca berkenaan hukum vaksin daripada sudut pandang Islam. Atas rasa syukur dengan nikmat kesihatan dan ilmu yang Allah SWT berikan, kami akhiri dengan doa:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي رَدَّ عَلَيّ رُوحِي وَعافانِي في جَسَدِي وأذِن لي بذكره

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang mengembalikan ke atas diriku ruhku dan memberikan kesihatan ke dalam jasadku dan yang mengizinkanku untuk mengingatimu.”

********

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 467,001 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen