Apabila Ibu Halang Berkahwin Dengan Gadis Pantai Timur, Apa Yang Perlu Dilakukan? Ikuti Penjelasan Ini

 

Mencari jodoh itu tidak mudah, begitu juga mendapatkan jodoh dari ibu bapa. Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Tidak kiralah, dalam rumahtangga, pasangan hidup dan pelbagai lagi. Pasti ibu bapa ada sebab yang tersendiri mengapa mereka menghalang anda memilih orang yang anda sukai, bahkan mungkin dirinya sudah ada pilihan yang terbaik untuk anda.

Jika anda berdepan masalah sebegini, adalah lebih baik jika berbincang bersama keluarga anda agar diberi restu dan persetujuan. Jangan hanya kerana anda terlalu cintakan gadis tersebut anda sanggup membelakangkan ibu bapa anda.

Buat anda yang berdepan dengan masalah sebegini, mari ketahui keterangan dari perkongsian artikel ini.



Soalan:

Salam saya ingin bertanya kepada Mufti tentang masalah saya dari utara tanah air. Saya ingin berkahwin dengan seorang gadis daripada negeri pantai timur, namun ibu bapa saya menghalang perkahwinan ini. Adik-beradik saya sebelum ini semuanya mengikuti kehendak ibu bapa saya. Saya pula sudah lama menjalinkan cinta. Bolehkah terangkan kepada saya dalam hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Perkahwinan adalah suatu perkara yang diharuskan di dalam syariat Islam sebagai memenuhi fitrah manusia yang ingin berpasangan. Lihat kitab al-Mu’tamad (4/16).

Pernikahan juga adalah suatu Sunnah Rasulullah SAW yang disebutkan di dalam banyak hadith. Antaranya yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:


النِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِي فَمَنْ لَمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: Pernikahan adalah dari sunnahku, sesiapa yang tidak beramal dengan Sunnah aku, bukanlah daripada kalanganku.
Riwayat Ibn Majah (1846)


Dalam menjawab persoalan ini, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami dengan baik agar dapat menyelesaikan kemelut ini.


Maqasid Pernikahan

Sesungguhnya setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam itu mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar. Tidak ada sesuatu yang disyariatkan oleh Allah SWT itu tidak mempunyai hikmah atau sekadar sia-sia. Antara perkara yang perlu difahami oleh semua umat Islam adalah maqasid atau tujuan pensyariatan perkahwinan di dalam Islam. Antara maqasid yang disebutkan para ulama’ di dalam pensyariatan perkahwinan adalah memelihara keturunan, mengeluarkan air (mani) yang membawa darurat apabila hanya terkandung dalam badan. Begitu juga dapat membantu membela nasib wanita dengan memberikan nafkah, mengelak daripada berlakunya zina dan memperbanyakkan umat Nabi SAW. Lihat al-Mausuah al-Kuwaitiyah (41/ 209).

Syeikh Abdullah Bin Bayyah pula menyebutkan bahawa antara maqasid pernikahan adalah untuk beranak-pinak, berkasih-sayang, dan bersilaturahim. Perbuatan yang menyebabkan terputusnya silaturahim adalah ditegah di dalam Islam. Lihat kitab Maqasid al-Muamalat wa Marasid al-Waqiat (53).

Maka, jelaslah bahawa pernikahan itu mempunyai maqasid dan hikmah yang sangat banyak dan mengangkat kepentingan mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Kesepadanan Dalam Perkahwinan

Selain itu, perlu untuk kita fahami salah satu bab dalam hal perkahwinan adalah, masalah kesepadanan. Kesepadanan atau asal perkataan di dalam bahasa arab ialah kafaah yang bermaksud persamaan. Dari sudut syarak, ia bermaksud perkara wajib yang ditinggalkan kerana aib.

Namun begitu, kesepadanan ini tidak menentukan sah atau tidak pernikahan, ia hanya hak untuk wali dan orang perempuan, maka kedua mereka berhak untuk menolak lelaki tersebut.

Salah satu perkara yang termasuk dalam hal kesepadanan ialah keturunan. Maka, perbezaan sesuatu puak dengan puak yang lain dianggap tidak setara atau sepadan, sepertimana dicontohkan bahawa orang arab quraish tidak sepadan dengan yang bukan quraish. Lihat al-Mu’tamad (4/82).

Maka, begitulah di negara ini, ada kalanya ada terdapat perbezaan di antara masyarakat di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Maka, Islam tetap meraikan hal ini bagi menjaga maruah dan budaya keluarga.

Yang terakhir, perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu. Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:


رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
Maksudnya: Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa
Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)


Justeru, meskipun kita sedang membincangkan hukum-hakam sekiranya perkahwinan itu terjadi, tetapi perlu untuk kita meraikan Islam itu secara syumul yang tidak pernah memisahkan akhlak dalam kehidupan penganutnya. Maka, sebolehnya untuk kita sentiasa menjaga hati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Kesimpulan

Berdasarkan nas serta hujah yang dibincangkan di atas, maka kami menasihatkan kepada yang bertanya dan mereka yang mempunyai masalah yang sama agar berhati-hati dalam hal ini. Secara hukumnya, memang seorang lelaki itu tidak memerlukan keizinan wali untuk bernikah. Pernikahan juga sah tanpa izin daripada kedua orang tuanya. Namun, kami juga ingin menasihati, agar perbincangan yang baik bersama dengan ibu bapa hendaklah dilakukan sebelum memilih calon.

Begitu juga nasihat kami kepada ibu bapa di luar sana agar lebih bersifat terbuka dan mementingkan calon yang lebih beragama daripada ciri-ciri lain. Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu hatim al-Muzani RA, bahawa Nabi SAW bersabda:


إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ
Maksudnya: jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia.
Riwayat Al-Tirmizi (1085)


Kami juga ingin menyeru agar memperbanyakkan doa-doa yang baik, dan salah satu doa yang boleh kita amalkan bersama, agar dikurniakan pasangan yang baik ialah seperti yang diajarkan al-Quran pada firman Allah SWT:


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
(Surah al-Furqan:74)

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 461,235 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen