Ibu Bapa Tolong Bantu Mudahkan Cara Untuk Anak Menikah.

 

Agak kerap kita mendengar rungutan daripada anak-anak muda bahawa mereka ingin berkahwin tetapi dilarang oleh ibu bapa. Larangan ini kemudiannya mengundang pelbagai masalah lain dalam keluarga tersebut seperti pergaduhan, kahwin lari, anak luar nikah dan permusuhan jangka panjang antara anak dan ibu bapa. Semua ini akhirnya menyebabkan ibu bapa menanggung malu dan kesedihan sementara anak-anak hidup dalam suasana tertekan dan kurang harmonis.



Wahai ibu bapa sekalian, sedarilah bahawa perkahwinan bukan sekadar kehendak dan pilihan anak-anak, akan tetapi merupakan sebahagian daripda tanggungjawab kalian sebagai ibubapa. Berdasarkan firman Allah kepada ibubapa sekalian:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu. [al-Nur 24:32]

Berikut kami kemukakan beberapa pertimbangan yang lazim bermain di fikiran ibu bapa.

Pertimbangan akhlak :

Ibu bapa tidak suka dengan akhlak calon pasangan yang diperkenalkan oleh anak mereka kerana ibu bapa tidak mahu mendapat menantu seperti itu. Pertimbangan akhlak memang sesuatu yang penting, namun mengharapkan akhlak yang mulia lagi sempurna daripada bakal menantu adalah sesuatu yang sukar pada masa kini. Ini kerana kebanyakan ibu bapa, mengabaikan pendidikan dan contoh akhlak yang baik kepada anak-anak. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa ialah memberi nasihat dan teguran kepada bakal menantu agar dia mengetahui apa dan dimana salah silap akhlaknya. Ukuran akhlak yang baik juga adalah berdasarkan tunjuk ajar Islam, yakni daripada Rasulullah.



Ini kerana Allah telah berfirman:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). [al-Ahzaab 33:21]

Oleh itu sebagai contoh, akhlak masyarakat Barat mungkin mengajar untuk makan dengan tangan kiri, namun akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah ialah makan dengan tangan kanan, meskipun makan dengan menggunakan garpu dan pisau.

Pertimbangan agama :

Mungkin ada segelintir ibu bapa tidak seberapa gemar dengan bakal menantu yang terlalu “beragama” dan inginkan menantu yang moden lagi selari dengan zaman terkini. Agama Islam bukan sekadar agama ritual ibadah, akan tetapi ia adalah agama yang menyusun kehidupan seseorang itu. Mendapatkan calon menantu yang bagus agamanya adalah penting kerana ia salah satu cara bagi menjamin anak kita hidup dalam keadaan yang terpelihara. Lebih dari itu, hendaklah disedari bahawa bahagia atau tidak, harmonis atau tidak sesebuah rumahtangga bergantung kepada Allah. Allah akan menaburi Rahmat-Nya (kasih sayang), Hidayah-Nya dan Rezeki-Nya kepada pasangan suami isteri yang sejak awal menghayati agama-Nya.

Oleh kerana itulah Rasulullah pernah berpesan:

“Jika seseorang datang melamar (anak perempuan) kalian, sedang kalian redha pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak kalian lakukan, niscaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan.” Para shahabat bertanya: “Meskipun dia tidak kaya?” Baginda menjawab dengan bersabda: “Jika seseorang datang melamar (anak perempuan) kalian, sedangkan kalian ridha pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia.” Baginda mengulanginya tiga kali. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1085]

Ketika para sahabat bertanya kepada Rasulullah berkenaan harta yang boleh diambil dan dimiliki, baginda tidak menjawab seperti yang kita sangkakan, iaitu emas dan perak. Namun baginda menjawab: Hendaknya salah seorang dari kalian menjadikan hati yang bersyukur, lisan yang berdzikir dan isteri beriman (mukminat) yang menolong salah seorang dari kalian dalam urusan akhiratnya. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 1505]

Oleh itu sebagai ibu bapa, kadar penghayatan agama bakal menantu adalah satu faktor pertimbangan yang penting. Agama yang dimaksudkan di sini bukan sekadar solat dan puasa, tetapi ilmunya, kefahamannya, aqidahnya, akhlaknya dan keprihatinannya kepada isu-isu umat Islam.



Pertimbangan kematangan:

Anda sebagai seorang anak dan pasangan anda masih belajar di Pusat Pengajian Tinggi. Ibu bapa perpendapat biarlah mereka habis belajar terlebih dahulu dan memperoleh kematangan yang lebih sebelum berkahwin. Belajar ialah satu proses yang berterusan. Tidak ada istilah “habis belajar” bagi orang-orang yang mengejar kecemerlangan dunia dan akhirat. Adapun kematangan, seseorang itu tidak akan memperoleh kematangan sehinggalah dia menceburi dan meniti cabaran-cabaran kehidupan. Oleh itu boleh saja berkahwin ketika sedang belajar, bahkan mungkin saja perkahwinan itu dapat membantu pembelajaran mereka. Kematangan pula diperolehi apabila meniti cabaran-cabaran kehidupan rumahtangga, tentu saja dengan sokongan, nasihat dan kefahaman ibu bapa yang dicintai.

Pertimbangan kewangan:

Kebiasaannya ibu bapa akan syaratkan menantu lelaki sudah bekerja, memiliki rumah, kereta dan memberikan wang hantaran kahwin banyak. Boleh berikan syarat-syarat tersebut. Bahkan boleh menambah lebih dari itu. Akan tetapi semua ini dengan syarat, ibu bapa yang menyediakannya. Ya, ibu bapalah yang menyediakan kerjaya, rumah, kereta dan belanja perkahwinan sebanyak yang diinginkan. Ini kerana perkahwinan anak-anak merupakan tanggungjawab ibu bapa berdasarkan perintah Allah dalam ayat 32 surah al-Nisa’. Justeru apa-apa syarat yang menjadi penghantar kepada perkahwinan tersebut, maka ia berada di atas tanggungjawab ibu bapa juga. Jika ibu bapa sendiri tidak mampu atau tidak sanggup melakukan sedemikian, maka kenapa pula dibebankan syarat-syarat tersebut ke atas bakal menantu? Kepada semua ibu bapa sekalian, jangan menjual anak dengan mensyaratkan sekian-sekian wang hantaran kahwin dan lain-lain beban kewangan. Nikahkanlah anak-anak kalian berdasarkan kadar kemampuan masing-masing. Anda sendiri, sebagai ibu bapa, yang mengeluarkan belanja perkahwinan tanpa meminta apa-apa daripada pihak bakal menantu.



Rasulullah menasihatkan:

Sesungguhnya di antara kebaikan wanita ialah mudah untuk meminangnya, mudah sedekahnya (mahar dan lain-lain belanja perkahwinan) dan mudah rahimnya (mudah untuk melahirkan anak demi anak). [Musnad Ahmad, no: 24478 dengan sanad hasan] Dalam sebuah hadis yang lain baginda menasihati: Sebak-baik pernikahan ialah yang paling mudah. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2117


Justeru permudahkan urusan pernikahan anak-anak, khasnya dalam bab kewangan. Seandainya anak-anak ada sedikit kemampuan kewangan, maka biarlah mereka menggunakannya untuk membina kehidupan rumahtangga kelak. Ini kerana Allah telah berjanji: Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. [al-Nur 24:32]

Pertimbangan “Apa Kata Orang?”

Ada ibu bapa yang bimbang, apa pula kata orang lain apabila anak kami bernikah dalam suasana majlis yang serba minimum? Perkahwinan ialah satu ibadah yang besar kepada Allah. Perhatikan saja betapa banyak tunjuk ajar, perintah larangan dan adab-adab perkahwinan daripada lamaran sehinggalah kepada kehidupan selepas pernikahan. Bahkan majlis perkahwinan itu sendiri adalah satu ibadah sehinggakan orang-orang yang telah dijemput wajib menghadirinya. Justeru jangan mencemari ibadah ini dengan “Apa kata orang lain?” Jadikanlah ibadah ini ikhlas kepada Allah dengan mengambil kira apa kata Allah dan apa kata Rasulullah.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 487,897 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen