“Semakin Banyak Suami Dan Isteri Saling Memberi, Semakin Menjadi Lebih Bahagia..” –Ustaz Pahrol Mohamad Juoi –

 

Dalam perkahwinan, suami isteri memang perlu saling memberi kasih sayang dan kebahagiaan. Bukan hanya menunggu suami menjadi romantik, baru lah isteri nak reda rajuknya. Bukan hanya menunggu isteri menjadi cantik, barulah si suami nak jadi romantik pula.

Seperti perkongsian dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ini…

********

Sesungguhnya bahagia itu bukan “harta” yang akan berkurang bila diberikan. Sebaliknya ia umpama “ilmu” yang semakin diberikan, akan bertambah.

Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Begitulah dengan kebahagiaan. Semakin kita memberikannya, kita akan menjadi lebih bahagia!

Bagi seorang lelaki, selain kedua-dua ibu bapanya, maka isterinyalah yang paling utama untuk dibahagiakan.

Selagi isteri sendiri (yang berada di sisi) tidak bahagia, jangan harap suami tersebut boleh membahagiakan orang lain. Tegasnya, jika isteri menderita, itu petanda yang suaminya juga sedang menderita.

APAKAH LANGKAH UNTUK MEMBAHAGIAKAN ISTERI?

  • Hargai kehadiran isteri dan suami perlu merasakan bahawa ia adalah anugerah Allah SWT yang paling berharga.
  • Jangan terlalu membandingkan isteri dengan kebendaan seperti telefon bimbit atau kereta sehinggakan jika isteri sakit, tidak dipedulikan.
  • Jangan biarkan isteri kesepian di rumah.
  • Hargailah isteri dengan tindakan. Bukan hanya dengan ucapan. Jika benar ingin membahagiakan isteri, luangkan masa, korbankan tenaga dan tumpukan seluruh perhatian untuk membahagiakannya.

APAKAH LANGKAH UNTUK MEMBAHAGIAKAN SUAMI PULA?

  • Jangan biarkan suami mendiamkan diri terlalu lama sehingga tidak mendengar luahan perasaannya.
  • Jangan biarkan suami menjadi workaholic sehingga keluarga dan anak-anak terabai.
  • Jangan biarkan suami berkejar-kejar mencari duit dan harta, tetapi kesihatan, isteri dan anak-anak terabai juga.

BAGAIMANA MAHU MENGHARGAI PASANGAN  DI TENGAH KESIBUKAN DUNIA MODEN YANG BEGITU HEBAT?

Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir.

Mulakan memandang pasangan dengan pandangan kasih. Mungkin wajah isteri kita sudah kedut tetapi insafilah mungkin separuh daripada kedutan di wajah itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita.

Uban telah memenuhi kepala pasangan kita tetapi itu bukan uban sebarang uban tetapi ubat yang tumbuh kerana kesusahan memikirkan kebahagiaan kita dan anak-anak.

Pandanglah wajah pasangan kita dengan pandangan mata hati (bukan semata-mata dengan mata biasa). Kalau dulu semasa bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini, biarlah pandangan kita lebih murni. Bukan lagi dari mata turun ke hati tetapi dari hati turun ke mata.

Dengan ini, yang kita lihat bukan bodynya lagi tetapi hati budinya. Yang kita pandang seharusnya bukan lagi urat, tulang dan daging tetapi suatu yang lebih murni dan hakiki, yakni kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaannya yang sekian lama telah dilalui bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah akan lahir sikap dan tindakan yang membuktikan rasa cinta. Justeru, cinta itu tindakan. Tindakan yang tidak mengenal jemu dan lelah.

Hargailah sesuatu yang dekat dengan kita.

Malangnya, kita selalu terlepas pandang kepada sesuatu yang “terlalu dekat”, ada kalanya jauh lebih sukar untuk dilihat berbanding yang jauh. Begitulah. Isteri di depan mata, keberadaannya ada kalanya kurang dihargai dan dirasai kerana ... sudah terlalu dekat.

Hargailah kehidupan dengan sayang dan cinta.

Hargai dan bahagiakanlah pasangan kita semasa nyawa masih ada. Ingat baik-baik ungkapan yang satu ini, “Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!”

********

Semoga Bermanfaat!

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 464,116 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen