Apa Terjadi Pada Solat Yang Tersasar Sedikit Kiblatnya? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

 

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Saya menggunakan google qiblafinder untuk tentukan kiblat di surau tempat saya. Saya dapati ia terlencong sedikit beberapa darjah (jika jarum minit pukul 12 adalah kedudukan sekarang, lencong kira 12.03).

Apabila saya utarakan kepada ajk masjid mereka kata "lencong sikit saja jadi x apa". Bolehkah saya meneruskan solat jemaah di surau itu atau solat jemaah saya tidak akan sah setelah mengetahui kiblatnya salah?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Kami huraikan dahulu kedudukan menghadap kiblat sebagai syarat sah solat. Kami memetik huraian para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:

"Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya." (Surah al-Baqarah: 150)

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

“Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.” [Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)]

Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah KAABAH...

Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat.

Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.”

Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang.

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah.

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas kami cenderung menyatakan bahawa tersasar sedikit ke kanan seperti mana yang disebut tidak memudaratkan kesahihan solat. Namun, kami berpendapat kaedah yang paling baik ialah dengan menggunakan perkhidmatan Unit Falak Jabatan dan Pejabat Mufti di negeri yang surau pejabat berkenaan berada.

Ini kerana penentuan kiblat menggunakan kompas mungkin mengalami sedikit perbezaan berbanding kaedah penetapan arah kiblat menggunakan arah matahari dengan bantuan alat-alat moden yang lebih tepat. Pastinya dengan penentuan Unit Falak dan sijil yang dikeluarkan akan menghilangkan keraguan dan kontroversi yang berlaku lalu Jemaah boleh solat dengan lebih tenang dan khusyuk.

Kami doakan agar masalah ini diselesaikan dengan sebaik mungkin:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin."

Wallahua’lam.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 473,968 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen