"Berbual Di Masjid Adalah Harus Selagi Ia Tidak Mengganggu Orang Lain Untuk Beribadah."

 

Seperti yang kita tahu bahawa masjid adalah tepat menunaikan ibadah, maka ketika berada di dalamnya kita perlu sentiasa beradab agar tidak mengganggu orang lain. Bukan itu sahaja, tempat seperti ini biasanya tempat seseorang mencari ketenangan memikirkan arah tuju hidup serta jalan hidupnya sebagai seorang Muslim.

Sebab itulah di dalam masjid ini kita digalakkan agar senyap dan kurangkan bercakap hingga tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah. Namun begitu, bagaimana jika ia satu perbualan yang singkat seperti bertanya khabar dan bersembang panjang dengan kawan yang kita lama tidak jumpa (kebetulan terjumpa selepas solat).



Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Samurah R.A, beliau berkata:


كَانَ لاَ يَقُومُ مِنْ مُصَلاَّهُ الَّذِى يُصَلِّى فِيهِ الصُّبْحَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ قَامَ وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِى أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ
Maksudnya: Rasulullah SAW tidak bangun dari tempat di mana Baginda lakukan solat Subuh sehinggalah terbit matahari. Apabila terbit matahari, Baginda bangun dan mereka bersembang tentang perkara Jahiliyyah sehingga ketawa sedangkan Nabi SAW hanya tersenyum.
Riwayat Muslim (6179)


Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas berkata: Padanya keharusan bercakap-cakap berkenaan khabar-khabar Jahiliyyah dan lain-lain daripada (sejarah) umat-umat serta keharusan ketawa. Namun, yang afdhalnya cukup sekadar tersenyum sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW pada kebanyakan masa. Para ulama berkata, makruh memperbanyakkan ketawa dan ia pada sisi ahli ilmu adalah sangat tercela. Wallahua’lam. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 15/79)

Di dalam kitab al-Majmu’, beliau berkata: Diharuskan bercakap berkaitan perkara-perkara yang mubah di dalam masjid dan juga berkenaan urusan-urusan dunia dan selainnya daripada perkara-perkara yang mubah. Ini sekalipun ada diselangi ketawa dan sebagainya selagimana masih dalam ruang lingkup yang harus. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/180)

Berkenaan persoalan di atas, kami berpandangan bahawa berbual di dalam masjid adalah harus selagimana tidak mengganggu orang yang beribadah di dalam masjid tersebut. Begitu juga hendaklah menjaga dan meraikan adab-adab di dalam masjid.


Namun, perlu diingatkan bahawa perbualan tersebut hendaklah dalam ruang lingkup perkara-perkara yang diharuskan dan ia bukan dalam perkara-perkara yang diharamkan seperti mengumpat, mencarut, mengadu domba dan sebagainya, atau perkara yang sia-sia yang tidak membawa sebarang manfaat bahkan lebih dekat kepada kelalaian. Hal ini bersandarkan hadis daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:


يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَتَحَلَّقُونَ فِي مَسَاجِدِهِمْ وَلَيْسَ هِمَّتُهُمْ إِلاَّ الدُّنْيَا لَيْسَ لِلَّهِ فِيهِمْ حَاجَةٌ فَلاَ تُجَالِسُوهُمْ
Maksudnya: “Akan tiba satu masa dimana manusia akan berkumpul di masjid dan keinginan mereka hanya dunia semata-mata. Allah tidak memerlukan kepada apa yang mereka lakukan dan janganlah kamu duduk bersama mereka.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7916)


Ibnu Qudamah Rahimahullah berkata:


وَيُكْرَهُ أَنْ يَخُوضَ فِي حَدِيثِ الدُّنْيَا
Maksudnya: “Makruh lalai dalam percakapan (berkaitan urusan) dunia.” (Lihat al-Mughni, 1/329)


Manakala dalam Surah al-Nur, Allah SWT berfirman:


فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Maksudnya: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.
Surah al-Nur (36)


Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia juga perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga pendapat Abdullah bin Abbas, Ikrimah, al-Dhahak, dan ramai lagi daripada kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/62)

Ini menunjukkan masjid mempunyai tujuan yang khas untuk mengabdikan diri kepada Allah sama ada dengan solat, zikrullah atau mengajar serta mempelajari ilmu.

Berkenaan dengan bercakap, ia termasuk dalam perkara yang diharuskan. Cumanya, hendaklah sentiasa menjaga kehormatan masjid dan bukan seperti di pasar.

Terdapat dakwaan sesetengah orang yang mengatakan ada sebuah hadis menyebut bahawa sesiapa bercakap dalam masjid, maka Allah batalkan amalannya selama 40 tahun. Ia sebenarnya adalah hadis palsu. Hadis yang mereka maksudkan ialah: Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:


مَنْ تَكَلَّمَ بِكَلامِ الدُّنْيَا فِي الْمَسَاجِدِ ، أَوْ فِي الْمَسْجِدِ ، أَحْبَطَ اللَّهُ تَعَالَى أَعْمَالَهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً
Maksudnya: “Barangsiapa yang bercakap berkaitan dunia di dalam masjid-masjid atau masjid maka Allah SWT akan membatalkan amalan-amalannya selama 40 tahun”. (Lihat al-Asrar al-Marfu’ah, 338)


Hadith ini adalah palsu sepertimana yang dikatakan oleh al-Shaghani dan juga dikatakan oleh al-Qari bahawa hadith ini bathil dari sudut mabna (binaan matan) dan juga makna. (Lihat al-Kasyf al-Khafa’, 2/240] Untuk itu, kami katakan bahawa hukum riwayat atau hadith ini adalah palsu. dan kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW ataupun menyebarkannya kepada orang lain.[1]

Kami sentiasa mengharapkan agar masjid sentiasa menjadi tempat penyatuan ummah, membina perpaduan, menambahkan ilmu, menguatkan silaturrahim, memarakkan mahabbah serta kasih sayang dan rahmat. Di samping itu, masjid menjadi pusat takaful islami untuk ummah.

Semoga Allah memberikan ilmu dan kefahaman kepada kita di dalam menjalankan setiap titah perintah-Nya serta menyebarkan syariat-Nya. Amin.

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 471,516 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen