Apabila Anak Anda Seorang Picky Eater, Mari Cuba Tips Yang Dikongsi Oleh Pakar Ini.

 

Ramai sahaja ibu bapa yang mempunyai masalah anak yang suka memilih makanan. Ada yang tidak mahu makan sayur bahkan ada yang tidak mahu makan nasi. Anak-anak yang memilih makanan ini biasanya lebih memilih susu mereka ataupun makanan yang membuka selera mereka sahaja.

Susah juga, jika anak-anak memilih makan ini. Mana tidaknya, ibu-ibu biasanya akan lebih mudah bimbang jika anak mereka ini membesar dengan zat yang tidak mencukupi. Ada yang bergaduh suami isteri kerana terlalu risau anak mereka ini menolak makanan yang diberi.



Ibu bapa yang mempunyai anak yang suka memilih makanan sahaja tahu bertapa susahnya untuk menarik perhatian anak-anak terhadap makanan. Kadang kala dah masak perlbagai jenis tetapi tetap sahaja mendapat penolakan dari anak.

Jika anda miliki anak-anak seperti ini, mari tiru seperti Puan Maryam Jamadi seorang Pediatric Occupational Therapy. Mana tahu ia membantu membuka selera anak anda untuk memakan sesuatu yang anda beri.



"Anak saya tak nak minum air kosong/ makan nasi atau semua makanan kecuali susu"

"Setiap kali waktu makan, mesti berperang nak suap anak makan"

"Anak tak nak berus gigi, mesti menangis setiap kali nak sentuh dalam mulut. Habis gigi semua rosak"

Menguruskan anak yang memilih makan bukannya mudah, kadang-kadang ada yang sampai bergaduh suami isteri menyalahkan diri masing-masing. Selalunya golongan mak mak yang akan dipersalahkan sebab dah biasa dengan norma masyarakat kita, perempuan duduk didapur menguruskan makan minum satu keluarga. Maka bila pulang ke kampung jumpa keluarga lain, bila anak memilih makan pasti golongan mak juga yang akan dipersalahkan dan dilabel "tak pandai jaga anak". Adakah salah anak ataupun salah mak ayah?

Jom baca

Apa punca anak memilih makan?

Ada banyak punca menyebabkan anak memilih makan, tetapi kebanyakan kes melibatkan isu terhadap 2 deria penting iaitu:

1. Deria bau (Olfactory)
2. Deria rasa (Gustatory)

Kedua-dua deria ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan pemilihan makanan anak. Apabila anak memilih makan, mak ayah perlu tahu adakah disebabkan deria bau atau deria rasa ataupun kedua-duanya yang terlebih sensitif (hypersensitif) atau terkurang sensitif (hyposensitif).

Jika terdapat hypersensitif atau hyposensitif terhadap mana-mana deria, ia dipanggil "Sensory Prosessing Disorder" atau bahasa mudah kecelaruan sensori yang mungkin menyebabkan penerimaan bau/rasa yang tidak normal, kesannya anak memilih makan.

Genetik juga memainkan peranan dalam pemilihan makanan. Kalau mak ayah suka makanan yang berbau dan rasa kuat, anak juga cenderung ke arah itu. Cuma perbezaannya, sensitiviti terhadap deria bau dan rasa telah di "normalize"kan mengikut masa. Sebab itu, ada yang masa kecil tak makan sayur dan buah tetapi makan apabila sudah dewasa.

Hanya mak ayah yang mempunyai anak memilih makan sahaja tahu betapa "struggle"nya nak beri anak makan. Saya juga salah seorang "picky eater" yang teruk semasa kecil, sampai mak saya kurung dalam stor 3 jam tunggu saya telan makanan sambil mak menangis dekat luar. Bila dah besar sedikit, pandai makan sendiri selalu saya sorok-sorok buang sayur. Sorry mak ayah.

Maka, bila ada anak sendiri sekarang saya harap dengan menggunakan ilmu yang ada, anak saya tidak ikut jejak langkah saya.

Jadi tips dibawah ini adalah berdasarkan beberapa rujukan dan pengalaman saya sebagai ibu + occupational therapist untuk mengelak anak memilih makan sejak bayi. Untuk yang mempunyai anak bawah 3 tahun yang memilih makan, boleh juga cuba sebab masih belum terlambat lagi untuk memperbaikinya cuma memang ianya mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi.



TIPS MENGELAK ANAK MEMILIH MAKAN SEAWAL BAYI

Tips ini dipecahkan beberapa bahagian:

1. Gigi dan gusi

2. Rasa makanan

3. Tekstur makanan

4. Bau makanan

5. Suhu makanan

1. Gigi dan gusi.

- Amalkan membersihkan dalam mulut bayi menggunakan kain basah yang bersih seawal baru lahir.

- Gunakan berus gigi mengikut peringkat umur. (Kain ➡ Finger brush ➡ Extra soft brush).

- Kerapkan menyentuh dalam mulut bayi untuk tujuan mengurangkan sensitiviti deria dalam mulut.

- Lewat memberus gigi / membersihkan mulut anak juga adalah salah satu faktor menyebabkan anak memilih makan. Maka, ayuhlah kita rajin-rajin bersihkan mulut anak ya.

- Jangan terlampau menghalang anak masukkan benda dalam mulut tapi tak ganti dengan benda yang selamat (teether, finger food) sebab skil ini penting untuk merangsang sensori dalam mulut.

2. Rasa makanan (6 bulan ke atas).

- Elakkan memberi makanan yang telah diproses sehingga anak mencapai umur 1 tahun.

- Kesilapan utama yang selalu dilakukan oleh mak ayah dalam memperkenalkan makanan awal pada anak adalah dengan memberi anak makan semua termasuklah makanan diproses dengan tanggapan:

"Bagus,beri anak makan semua benda untuk memberi rangsangan deria rasa"

"Kasihan anak tengok kita makan ais krim, kek, sosej, nugget atau fast food. Bagilah dia juga"

“Makan ais krim laju je, comelnya anak mummy”

Tak beri rasa bukan sebab tak sayang, tapi sebab sayangkan usus dan deria rasa anaklah kita perlu elakkan. Kalau kasihan juga, makanlah sorok-sorok jangan beri anak nampak. Tak lama pun, tunggu sampai anak umur 1 - 2 tahun. Bila kita dah awal-awal beri anak rasa makanan diproses yang mempunyai perisa tiruan dan manis secara tak langsung kita telah membiasakan dan mengajar deria rasa anak cenderung kepada perisa tiruan dan rasa manis seterusnya menyebabkan anak mengelak makan sayur-sayuran yang pahit.

Anak umur 6 bulan, tak reti pun lagi meminta kalau kita tak pernah beri. Banyak sangat buah dan sayur yang perlu dia belajar rasa berbanding makanan diproses sebab deria rasa anak sangatlah sensitif sejak lahir, sebab itu bubur kosong pun dah sedap bagi bayi. Maka, tak perlu pun letak perisa tambahan penyedap rasa untuk bayi 6 bulan.

Untuk ibu yang bekerja yang sibuk dan tiada masa untuk buat makanan bayi. Kini banyak sangat tips mudah di fb, buat stok sebulan sekali, bekukan dalam tempat ais krim seterusnya simpan dalam bag ziplock. Bubur nasi pun buat stok seminggu. Makanan bayi "homemade" pun sudah banyak dijual di pasaran. Mudah kan?

Pengalaman saya, saya memang tegas dalam pemakanan anak saya sebab tak nak anak jadi pemilih makan macam saya, kami makan juga fast food ataupun makanan diproses tapi tak pernah beri anak walaupun "sikit-sikit" dari anak umur 6 bulan hingga umur 1 tahun. Dalam beg memang sentiasa bawa bekal makanan dan "finger food" dan anak juga tak ada minta atau mengamuk nak rasa makanan kita sebab dia tahu makanan dia dalam bekal sahaja sehinggalah umur 1 tahun. Kasihan kan? Tapi sebab sayangkan usus dan deria rasa anaklah saya buat macam ini.

Anak saya juga memang menunjukkan tanda-tanda memilih makan masa umur 6 bulan, akan menangis dan kadang-kadang boleh sengaja memuntahkan semula makanan setiap kali cuba sayur dan buah yang baru. Saya pasti ramai ibu lain mengalami situasi ini, mungkin ada yang akan stop dan tak beri lagi. Tapi cara saya, saya akan beri juga selagi tidak memudaratkan sebab lebih mudah berperang dengan anak bawah 1 tahun berbanding apabila dah besar. Kesannya, peperangan menyuap anak tak lama pun sehingga anak umur 8 bulan dia sudah boleh menerima semua buah dan sayur.

- Setiap makanan baru perlu di perkenalkan selama 4 hari berterusan, ia juga dipanggil “4 Day Wait Rule” untuk melihat jika ada kesan alahan dan untuk tujuan "normalize"kan deria rasa anak.

- Beri anak rasa satu persatu jenis makanan sebelum mencampurkannya.

- Jangan putus asa dalam mencuba kerana corak pemakanan awal banyak mempengaruhi gaya pemakanan anak. Baik menangis sekarang dari menangis di kemudian hari.



3. Tekstur makanan.

- Pelbagaikan tekstur makanan (lembut, kasar, melekit, kering dan basah) yang boleh didapati dari pelbagai jenis buah dan sayur.

- Ajar anak untuk menguyah dan mengigit makanan seawal anak reti memasukkan benda/makanan ke dalam mulut dengan memberi "finger food".

- Menguyah makanan adalah salah satu latihan mulut untuk perkembangan skil bercakap anak juga.

- Jika sayang anak takut anak tercekik tapi jangan terlalu lama memberi makanan kisar sehingga umur 2 tahun ya.

- Kalau takut anak tercekik semasa pemberian “finger food” buah- buahan, mak ayah boleh beri “Food Feeder” untuk anak gigit-gigit.

- Kalau malas nak cari, boleh cuba cara orang dulu-dulu dengan masukkan buah dalam kain lepas itu ikat macam sup bunjut.

4. Bau makanan.

- Setiap kali pengenalan makanan baru, beri anak main-main dengan sayur/buah tersebut dahulu sambil kenalkan nama sebelum beri anak rasa.

- Jangan marah atau jerit kalau anak gigit sedikit kerana perbuatan ini akan buat anak takut untuk menyentuh buah dan sayur lagi sebaliknya hanya tolak tangan anak.

5. Suhu makanan.

- Pelbagaikan suhu setiap makanan, contohnya puree epal boleh beri sejuk dan suam tak perlu terikat pada 1 suhu sahaja.

Sebagai mak ayah, kita tak harap pun anak makan semua benda. Apa yang kita harapkan, anak makan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Contohnya buah dan sayur, ada bermacam macam jenis buah dah sayur. Kita tak harap pun anak makan semua, kalau dapat makan 1-2 jenis pun dah bersyukur asalkan anak dapat sumber serat.

Maka, abaikan sahaja pandangan dan kecaman orang lain bila anak kita memilih makan.

Siapa yang tak sayang anak kan?

Siapa yang tak nak anak makan semua makanan?

Siapa yang tak nak pastikan anak tidur dengan perut yang kenyang?

Maka, kita janganlah terlampau “judgemental” kerana kita tak tahu betapa sedihnya perasaan setiap kali anak menolak makanan yang diberi atau masak. Jadi, mak ayah sekalian boleh cuba tips di atas untuk mengelak anak menjadi “picky eater” seawal lepas lahir. Setiap tindak balas dan cara adalah berbeza setiap orang, kita hanya mencuba dan usaha dari awal. Usaha selepas itu barulah tawakal, jangan mengalah dan putus asa.

Ini baru cerita part punca dan cara mengelak anak memilih makan belum lagi tips menangani anak memilih makan sebab dah terlalu panjang. Kalau nak saya sambung “ANAK "PICKY EATER" II” taip “NAK” di ruangan komen. Kalau ada permintaan, insyaAllah saya cuba kongsikan di post yang lain.

Selamat mencuba, semoga bermanfaat. Terima kasih.


Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 345,397 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen