Bayar Hutang Atau Bayar Nafkah Dahulu? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

 

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya dalam dilema tatkala mendapat gaji yang tidak seberapa, mana yang lebih utama, membayar hutang atau membayar nafkah? Mohon pandangan.

JAWAPAN:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, perlu untuk kita memahami tentang kedua-dua perkara yang ditanya di atas. Sesungguhnya dalam hal ini penting untuk dicermati dan difahami oleh semua umat Islam, dek kerana kami melihat begitu ramai rakyat Malaysia terbelenggu dengan hutang. Maka, penting untuk kita tekuni bersama isu ini.

HUTANG.

Yang pertama, perlu untuk kita memahami konsep hutang di dalam Islam. Konsep ini telah kami sebutkan di dalam artikel kami yang bertajuk, Bayan Linnas Siri Ke-149: Status Pelangsaian Pinjaman PTPTN Menurut Perspektif Syarak[1] seperti berikut:

Dari segi bahasa (dayn) hutang ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.

Dari segi istilah, ulama membahagikan hutang kepada dua jenis:

1. Umum.

Iaitu hak/tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban di masa hadapan.

2. Khusus.

Menurut jumhur ulama, iaitu sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada pertukaran transaksi, kerosakan harta benda, kecederaan, ataupun untuk melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Sesungguhnya Islam telah menekankan tentang konsep berhutang menerusi Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 282:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya…..”

Begitulah betapa syariat yang dibawa Rasulullah SAW bukan sahaja datang untuk mengajarkan manusia beribadat dan menjaga hubungan dengan Allah, tetapi mengangkat hubungan muamalat sesama manusia sebagai suatu perkara yang tidak dipandang enteng di dalam Islam.

NAFKAH.

Yang kedua, dalam masalah nafkah ini perlu difahami dengan baik. Ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha’ membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah.

1. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat.

2. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat.

3. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa.

4. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh.

5. Sedarlah bahawa perkahwinan itu datang bersama dengan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Namun, yakinlah bahawa Allah SWT tidak sesekali membebankan para suami apatah lagi menzalimi. Yakinlah bahawa setiap yang Allah syariatkan itu mempunyai hikmah yang besar.

Hal ini sepertimana yang dijelaskan Allah SWT di dalam al-quran:

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq:7)

KESIMPULAN:

Berdasarkan nas dan penghujahan di atas, kami simpulkan persoalan ini bahawa hutang dan nafkah adalah dua tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Namun begitu, sekiranya yang bertanya ini mempunyai keadaan yang sangat mendesak, maka Islam telahpun menyediakan talian hayat melalui sistem zakat yang senarai penerimanya merangkumi orang yang berhutang.

Begitu juga nafkah, ia merupakan kewajipan ke atas seorang suami seperti yang kami terangkan. Maka, dalam keadaan ini, suami tetap wajib membayar nafkah sekalipun, mengikut kadar nafkah yang asas seperti di atas.

Ini kerana hutang terbahagi kepada hutang yang perlu untuk diselesaikan segera dan hutang yang boleh ditangguh pembayarannya. Maka, kami turut menasihatkan agar semua yang terlibat dalam masalah hutang mempelajari teknik menguruskan kewangan. Ini penting dalam menguruskan dan meletakkan apa yang perlu didahulukan ketika dalam keadaan berkemampuan, seperti nafkah yang asas perlu ditunaikan segera kepada isteri.

Kami akhiri dengan menitipkan sebuah doa untuk menjadi amalan dalam melaksanakan hutang dan meringankan bebanan kehidupan yang biasa berlaku kepada seseorang:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata:

“Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” [Riwayat Abu Daud (4/353)]

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada semua umat Islam untuk memahami dan mengamalkan syariat-Nya. Amin.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 398,249 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen