Apakah Hukum Memasang Love Lock Sebagai Doa Kekal Jodoh? Jom Ikuti Penjelasan Ini.

 

Love Lock atau turut disebut Love Padlock adalah mangga yang ditulis nama pasangan, kemudian diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti jambatan, pagar, monumen atau tempat yang dikatakan menjadi simbol cinta. Kebiasaanya ditulis nama pasangan sebagai harapan cinta mereka akan kekal.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mengajak umat Islam seluruhnya agar kita mentadabbur ayat yang sering kita bacakan di dalam solat lima waktu setiap hari. Selain membacanya, marilah kita memahami inti patinya:

"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan" (Surah al-Fatihah: 5)

Imam Ibn Kathir menerangkan bahawa lafaz “iyyaka” diletakkan di permulaan ayat dan diulang penggunaanya untuk menekankan bahawa hanya kepada Allah SWT kami menyembah, hanya kepada Allah kami bertawakkal menyerahkan segala urusan, dan tidak akan sesekali kami bertawakkal melainkan kepada Allah SWT. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (1/28).

Maka, jelaslah dalam kehidupan kita seharian, kita diajar untuk sentiasa memohon segalanya kepada Allah SWT dan bertawakkal dalam setiap urusan. Selain itu, terdapat begitu banyak dalil daripada al-Quran yang menunjukkan rahmat Allah SWT kepada hambanya yang memohon doa daripadanya, antaranya:

Firman Allah SWT:

“(Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya.” (Surah al-Nisa’: 32)

Jelaslah berdasarkan ayat di atas, bahawa Allah SWT Maha kaya, lagi Maha luas rahmatnya. Tidak ada yang lebih layak untuk diminta pertolongan, rezeki atau memohon untuk diselamatkan melainkan daripada Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA:

“Apabila kamu meminta, maka minta kepada Allah, dan apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan daripada Allah” Riwayat al-Tarmizi (2516)

Dalam membahaskan persoalan ini, perlu untuk kita berhati-hati agar tidak menjadi orang yang melakukan perbuatan khurafat.

Sesungguhnya, Allah SWT Maha berkuasa dalam menentukan segalanya. Tidak ada yang mampu menjamin kebahagiaan atau dapat lari daripada kesengsaraan melainkan semuanya dengan kehedendak Allah SWT. Ini jelas melalui firman Allah SWT:

“Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”(Surah Yunus: 107)

Umat Islam juga hendaklah menjauhi semua amalan khurafat, yang menyatakan apabila meletakkan kunci di pagar atau tempat-tempat tertentu akan mengekalkan perhubungan dan cinta. Ini jelas seperti mana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Al-Tiyarah adalah syirik, al-Tiyarah adalah syirik (Baginda menyebutnya tiga kali) dan setiap orang pasti (pernah terlintas dalam hatinya sesuatu dari hal ini). Hanya sahaja Allah SWT menghilangkannya dengan tawakkal.”

Riwayat Abu Daud (3910), Ibn Majah (3538) dan al-Tirmizi (1614)

Istilah tatayyur atau tiyarah berasal daripada perkataan al-tayr iaitu bermakna burung. Dalam kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyah, apabila mereka akan mengadakan perjalanan, mereka akan terlebih dahulu melepaskan burung.

Sekiranya burung itu terbang ke kanan, maka ia dikenali sebagai sa’ih, mereka akan gembira dan perjalanan dibolehkan. Sebaliknya, jika ke kiri barih, ia bermakna sial dan mereka akan bersedih kerana ia memberi petanda musibah akan menimpa lantas mereka akan menangguhkan pemergian.

Begitulah juga, apabila seseorang meletakkan harapan dan kepercayaan ke atas sesuatu yang sebenarnya tidak mampu memberi apa-apa jaminan untuk kebahagiaan.

Kesimpulan:

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat bahawa Love Lock apabila diletakkan untuk tujuan mengharapkan jodoh, atau minta dikekalkan jodoh dengan mengunci mangga, adalah haram. Ini kerana kami berpendapat konsepnya hampir sama dengan al-Tiyarah yang mengharap dan meletakkan kepercayaan ke atas sesuatu perkara yang hakikatnya tidak dapat memberi manfaat. Selain itu, sudah jelas daripada dalil-dalil di atas bahawa untuk meminta sesuatu hanyalah kepada Allah SWT.

Semoga Allah memberi kita taufiq untuk memahami dan mempratikkan syariat Islam. Amin.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 399,560 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen