Tip Menjadikan Anak Perempuan Lebih Berkeyakinan

 

Anak perempuan biasanya dikatakan lebih mudah matang dan juga mudah untuk tampil lebih yakin dalam memulakan kehidupannya berbanding anak lelaki. Di mana mereka dapat bercakap dengan lebih awal, bersosial dengan lebih baik dan menunjukkan prestasi memberangsangkan di sekolah.

Namun begitu, mereka ini boleh mengalami kekurangan keyakinan apabila mereka telah menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Di mana mereka ini akan mula rasai semua tekanan sosial, rasa ingin dipunyai dalam kelompok rakan-rakan (sense of belonging) malah harapan daripada keluarga dalam bidang akademik, keinginan berpenampilan menarik, membuatkan mereka cenderung rasa ketinggalan dan tidak berkeyakinan.

Buat ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, apakah langkah atau dorongan yang perlu anda ambil untuk pastikan anak perempuan anda sentiasa berkeyakinan untuk melangkah kea lam dewasa?



1. Tetap pendirian.

Galakkan anak perempuan anda untuk menyatakan hasrat dan keinginan kepada individu lebih dewasa dan berpegang teguh pendiriannya di hadapan rakan-rakan. Jika terdapat kanak-kanak lain yang mengejek atau mengganggunya, didiklah dia bagaimana untuk bersikap tegas dalam kesantunan menyatakan pendirian seperti “Saya rasa saya tidak suka dengan cara anda.”

2. Pujian tertentu.

Apabila anak anda berjaya memperoleh sesuatu contohnya mendapat tempat terbaik dalam kelasnya, jangan lokek untuk berikan pujian. Elakkan pujian yang terlalu umum dan biasa didengari seperti “Kerja yang baik”, sebaliknya, cuba masukkan sedikit elemen ‘personal’ supaya dia rasa lebih dihargai dan diraikan. Contoh, katakanlah “Awak memiliki ingatan yang hebat, sayang. Tidak sia-sia ibu teman awak buat matematik setiap malam”

3. Berikan pujian realistik.

Anak yang pintar semestinya mengetahui kenyataan bahawa dia tidak dilahirkan sebagai bintang atau primadona. Oleh itu berikan pujian yang bersesuaian dengan anak gadis di usianya. Jadilah ibu bapa yang jujur kerana kejujuran itu, apabila besar kelak, akan menjadi salah satu kualiti terbaiknya yang diwarisi daripada kedua ibubapanya.


                      

4. Bersedia menerima penolakan.

Jelaskan kepada anak anda bahawa bukan semua individu mempunyai persamaan dengan dia. Seandainya, jika dia tidak terpilih untuk bermain dalam sesebuah pasukan atau mewakili sekolah, tanamkan di dalam dirinya dengan kata-kata semangat seperti, “Tak mengapalah, mungkin bukan kali ini, tapi jangan putus asa kerana, jika awak percaya awak layak menyertai pasukan, maka ambillah peluang ini untuk terus berlatih dan jadi yang terbaik, bukan untuk ibu atau pasukan, tetapi untuk buktikan pada diri awak.” Katakan juga, ia bukanlah satu masalah besar atau satu penghinaan jika tidak terpilih, mungkin ada peluang untuk sertai aktiviti lain selepas ini.

Selain itu, jika ada antara kawan-kawannya yang mengatakan mereka tidak mahu berkawan dengan anak anda, terangkan kepadanya, mereka mungkin berada dalam keadaan emosi yang tidak baik. Jangan ambil hati, bukan semua masalah datang dari dirinya.

5. Menguasai kecekapan.

Jika anak anda berdepan masalah dalam kehidupan sehariannya, sama ada berkaitan kerja sekolah atau kerja-kerja membantu anda di rumah, jangan terus beri bantuan kepadanya. Sebaliknya, dorong dia untuk mencuba dengan pelbagai cara. Berikan dia masa untuk meneroka kebolehan dan potensi diri.

6. Tingkatkan semangat kesukanan.

Pada masa kini, terdapat pelbagai sukan yang sesuai untuk disertai oleh kanak-kanak perempuan, seperti sukan renang, gimnastik atau mungkin seni mempertahankan diri. Libatkan anak anda dengan sukan yang diminatinya. Dia boleh mencuba beberapa jenis sukan dan memilih sukan yang paling digemarinya. Paling penting, aktiviti sukan berpasukan bukannya bererti kemenangan semata-mata, sebaliknya galakkan dia memahami erti persahabatan, perjuangan dan kerjasama yang kuat dengan rakan-rakannya. Tidak mengapa jika kalah, namun mereka sudah berusaha sebagai satu pasukan yang hebat.

7. Elakkan membuat andaian.

Jangan membuat andaian tentang kebolehan dan kelemahan anak anda. Elakkan sikap sterotaip dengan menganggap kanak-kanak perempuan hanya sesuai dalam bidang sastera. Berikan dia peluang untuk membuat pilihan. Sebaik sahaja dia menyedari kelebihan dirinya, bantu untuk meningkatkan kebolehan diri dan memperbaiki kelemahannya. Pastikan anak perempuan anda tidak merasa sebarang kekurangan jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki, malah terapkan kepadanya, setiap daripada manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

8. Tunjukkan teladan.

Dedahkan kepada anak anda, figura wanita yang boleh dijadikan contoh suri-teladan sebanyak yang mungkin. Pelbagai cara untuk melakukannya. Anda boleh menggunakan program televisyen dengan watak-watak wanita ideal atau bacakan buku yang boleh memberi inspirasi kepadanya. Kadangkala, anda tidak perlu melihat terlalu jauh kerana mungkin suri-teladan yang harus dijadikan inspirasi adalah ibunya sendiri!


Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 473,991 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen