Antara Perkahwinan Dengan Ibadah Haji, Mana Yang Perlu Didahulukan? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

 

SOALAN:

Bagaimana jika seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan Haji tetapi dia juga ingin berkahwin?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.” (Surah al-Zariyaat: 49)

Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat dari sudut fizikal dan rohaninya sudah semestinya merasakan keinginan untuk berkahwin yang sangat tinggi disebabkan fitrah untuk saling memerlukan. Perkataan  “zawaj” yang digunakan di dalam Al-Quran bermaksud berpasangan dan mengikut konteks penggunaanya ia mambawa maksud perkahwinan.

Allah SWT menjadikan perkahwinan untuk menghalalkan perhubungan dan mengelakkan penzinaan kerana manusia itu fitrahnya ingin berpasangan.

Oleh sebab itu, adalah dituntut kepada manusia yang sudah berkemampuan untuk segera melaksanakan sunnah yang dituntut ini, ini juga berdasarkan hadis nabi :

Rasulullah SAW bersabda :

“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” [Riwayat Muslim (3386)]

HUKUM PERKAHWINAN

Jumhur ulama’ telah bersepakat bahawa hukum asal pernikahan adalah sunnah bukannya wajib. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama’ telah mambahagikan hukum nikah kepada 5 hukum mengikut kedudukan pelakunya :

  • Harus: Kepada orang yang tidak ada kepadanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  • Wajib: Sekiranya orang tersebut mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskannya kepada kemaksiatan sedangkan dia merupakan seorang yang berkemampuan.
  • Sunat: Bagi orang yang mampu namun masih mampu untuk mengawal nafusnya.
  • Makruh: Kepada orang yang tidak berkemampuan dari sudut nafkah batin dan juga zahir tetapi tidak mendatangkan kemudharatan kepada pasagannya tesebut.
  • Haram: Orang yang juga tidak berkemampuan memberi nafkah zahir dan batin serta tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin atau dia mempunyai niat yang buruk sehingga mampu membawa kemudharatan kepada pasangannya.

Oleh hal yang demikian, jika dilihat hukumnya bergantung kepada individu terbabit, sekiranya dia mampu untuk menahan dirinya dan dia tidak terburu-terburu untuk berkahwin maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu berdasarkan Firman Allah SWT:

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”  (Surah Ali Imran: 97)

Dan ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW :

“Islam dibangun di atas lima perkara: bersaksi tidak ada sembahan yang berhak disembah selain Allah dan mengaku Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berhaji dan berpuasa di bulan Ramadhan.” [Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)]

Walaubagaimanapun, sekiranya dia khuatir tidak mampu untuk menahan dirinya daripada melakukan kemaksiatan maka hendaklah dia mendahulukan perkahwinan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar.

Syeikh Ibn Qudamah Rahimulllah telah berkata:

“Jika dia perlu kepada pernikahan dan dikhuatiri dirinya menghadapi kesulitan (kerana belum bernikah), maka hendaklah dia mendahulukan perkahwinan terlebih dahulu. Hal ini kerana ia (pernikahan itu) wajib kepadanya sekiranya dia mampu  untuk  memberi nafkah dan sekiranya dia tidak khuatir tentang perkara tersebut maka hendaklah dia mendahulukan menunaikan haji. Hal ini disebabkan (ketika itu) pernikahan adalah sunnah, maka tidak perlu didahulukan daripada haji yang hukum asalnya adalah wajib”.

(Rujuk al-Mughni, 5/12)

Walaupun orang yang masih remaja, dan masih belum mempunyai keinginan untuk bernikah pada tahun ini atau selepasnya, maka hendaklah dia mendahulukan haji. Hal ini kerana dia tidak berada di dalam keadaan terdesak untuk mendahulukan haji daripada pernikahan.

(Rujuk Fatawa Manar al-Islam, 2/375)

KESIMPULAN:

Haji dan perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam agama. Walau bagaimanapun haji merupakan suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi golongan yang berkemampuan.

Dan sekiranya dia tidak berada di dalam keadaan yang terdesak untuk berkahwin dan tidak mempunyai masalah untuk berkahwin sesudah itu, maka hendaklah dia melaksanakan kewajipan haji terlebih dahulu. Sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran kebaikan sebagai gantinya kerana haji merupakan suatu seruan dan suruhan Allah yang agung kepada manusia.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 406,670 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen