Lelaki Ini Berkongsi Mengenai Suami Patut Utamakan Siapa Antara Isteri Dan Ibu? Jom Ikuti Kisahnya.

 

Perbandingan dan perbezaan pendapat berkenaan hal ini telah wujud sejak dahulu lagi.

Kenapa ia menjadi persoalan? Kenapa pula susah untuk berlaku adil? Sayangilah kedua - duanya. Utamakanlah kedua-duanya. Bagi sama rata. Barulah adil kan?

Di sini hadirnya masalah. Ini kerana, adil bukan bermaksud sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak dinafikan, suami hampir 100% akan merasa bersalah dan dipersalahkan jika tersilap percaturan.

Kedua - dua insan ini penting bagi si suami. Kedua - duanya menyayangi, kedua - duanya mengambil berat, kedua - duanya sanggup buat apa saja demi suami dan kedua - duanya memerlukan perhatian.

Perbandingan dan pemilihan ini wujud di dalam semua perkara. Dari pakaian, makanan, masa, minat dan lain - lain lagi.

Nak dengar cakap isteri atau ibu?

Nak sokong pendapat isteri atau ibu?

Siapa yang patut dipercayakan?

Siapa yang betul?

Soalan - soalan sebegini sememangnya memeningkan kepala suami.

Tidak dinafikan pengorbanan ibu tiada tolok bandingnya. Tanpanya kita tiada di dunia. Tetapi pengorbanan Isteri juga tidak boleh diperkecilkan. Isteri yang melahirkan zuriat buat suami. Apa yang ibu telah lakukan, isteri juga lakukan. Jika ibu menguruskan si suami semasa kecil, isteri pula menguruskan segala keperluan suami semasa sekarang.

Kita sekarang berada di dalam "infinite loop" di mana, kita pusinglah bagaimanapun, kedua - duanya mempunyai peranan masing - masing.

APA YANG BOLEH ISTERI DAN IBU LAKUKAN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH INI?

Di bahagian isteri;

Perlu faham betapa pentingnya ibu kepada seorang anak. Sama seperti isteri yang sayangkan ibunya sendiri, samalah juga suami menyayangi ibunya. Jadi, jika ada perkara yang boleh mengalah, mengalahlah. Anggaplah yang anda sebagai isteri, sama - sama membantu suami berbakti kepada ibunya sendiri.

Kepada si ibu pula:

Apabila anak sudah berkahwin, lepaskanlah. Tanggungjawab kepada anak itu sudah selesai. Mereka ada keluarganya sendiri dan arah tuju hidup yang sendiri. Berhentilah cuba untuk mengawal anak lagi.

Anak yang dikenali luar dan dalam semasa kecil tidak semestinya sama apabila sudah besar. Keperluannya dan minatnya juga kebarangkalian sudah berubah. Yang dikenali dahulu semasa kecil mungkin bukan orang yang sama lagi apabila sudah berkahwin.

Jangan pula menyalahkan isteri jika anak sudah berubah hati. Asam pedas ibu yang digilai anak suatu ketika dahulu mungkin telah diatasi oleh kesedapan masakan si isteri. Anak yang dahulunya manja kepada ibu mungkin telah menjadi manja kepada isteri.

Ini adalah perkara yang normal. Sama seperti si Ibu semasa menjadi isteri kepada suaminya. Iaitu memberikan segalanya buat suami dan suami membalas dengan memberikan seluruh jiwa raga kepada isteri.

Pokok pangkalnya redha. Perlu terima kenyataan yang tanggungjawab ibu telah selesai dan serahkanlah baton tanggungjawab itu kepada isterinya pula.

Ramai yang gagal terima kenyataan dan cuba memaksa anak supaya menjadi budak semula. Kata - kata Ibu wajib dipatuhi tanpa berbelah bagi.

Bila anak sudah berkahwin dan mula menggalas tanggungjawab kepada keluarganya sendiri, cara paksaan sebegitu sudah tidak relevan lagi. Berikan ruang kepada anak menyelesaikan urusan keluarganya sendiri. Jika diteruskan paksaan sebegini, kemungkinan hubungan anak dengan Ibu akan semakin jauh tanpa disedari.

Ini kerana tiada siapa di dalam dunia yang lebih memahami suami selain isteri yang setiap hari tidur sebantal ini. Tiada siapa yang akan menjaga anak - anak apabila suami sudah tiada nanti melainkan isteri dan tiada siapa yang akan bersama suami sehingga ke akhirnya melainkan isteri tercinta.

Namun, tanggungjawab anak kepada Ibu jangan pula dipandang ringan. Jika ayah masih ada, Alhamdulillah. Tetapi jika Ibu tinggal sendiri, si anak perlu menggalas tanggungjawab menjaga Ibunya dan di sini, si Isteri pula perlu redha dan memberi ruang secukupnya.

Saya tahu, sehingga ke perenggan ini pun masih tidak nampak siapa yang patut diutamakan. Ini kerana, kedua - duanya ada nilai tersendiri, keperluan tersendiri, kepentingan tersendiri dan manfaat tersendiri. Letaklah perhatian yang sepatutnya di tempatnya.

Pokok pangkalnya, toleransi, faham memahami dan kerjasama. Tidak perlu berebut, tidak perlu bermasam muka. Tidak juga perlu menidakkan hak yang satu lagi. Ibu dan isteri boleh menjadi pencetus kebahagiaan, tetapi ibu dan isteri juga boleh menjadi punca perbalahan.

Kepada orang di sekeliling pula, iaitu adik beradik sama ada di sebelah suami mahupun isteri, jangan sekali - kali menjadi batu api menabur minyak di atas api yang marak kerana itu satu perbuatan yang berdosa dan hina. Kamu mungkin rasa kamu faham akan keadaan keluarga orang lain, tetapi realitinya kamu tidak faham. Jangan turut sama menyusahkan dan memburukkan keadaan. Jadilah orang yang mengeratkan dan bukannya yang memutuskan.

Semoga keluarga kita sentiasa harmoni. Fahamilah peranan dan keperluan masing - masing. Jangan terlalu membebani akal dan fikiran anak atau suami kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam menjadi suami dan anak yang baik.

BroOhsem

Image may contain: 2 people, people smiling, people sitting and hat


Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 464,161 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen