Lepak Yang Produktif, Begini Caranya.

 

“Jom lepak?”

“Jom.”

“Jom.”

Lepak bersama rakan-rakan yang satu kepala dengan kita sememangnya menyeronokan. Banyak perkara yang boleh dilakukan bersama-sama. Dari ada masalah di tempat kerja mahupun di rumah, semuanya akan hilang apabila lepak bersama rakan-rakan ini.

Sesiapa sahaja suka lepak bersama rakan ini, tidak kiralah tua muda semuanya merasakan lepak ini adalah salah satu cara untuk menambah keseronokan pada hari yang begitu membebankan.

Cuba imbas kembali, berapa banyak masa yang telah kita habiskan dengan duduk bersama rakan-rakan kita dan melakukan perkara yang tidak berfaedah.



Saranan Rasulullah S.A.W

Rasulullah S.A.W bersabda dalam hadis di bawah;
Para sahabat bertanya :

“Wahai Rasulullah, bagi kami sesuatu yang tidak dapat kami tinggalkan. Dalam berkumpul itu kami berbincang-bincang.”

Nabi S.A.W menjawab:

“Kalau memang suatu keharusan, maka berilah jalan itu haknya.”

Mereka bertanya lagi:

“Apa yang dimaksudkan dengan haknya itu, wahai Rasulullah?”

Nabi S.A.W menjelaskan:

“Palingkan pandanganmu dan jangan menimbulkan gangguan. Jawablah tiap ucapan salam serta suruh kepada kebaikan dan cegah kemungkaran.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Subhanallah! Hebatnya cara Rasulullah S.A.W mendidik kita agar jangan sesekali mensia-siakan waktu lapang dengan perkara yang tidak berfaedah dan tidak sampai menganggu orang lain.

Kagum juga dengan keperibadian para sahabat yang sangat menjaga diri mereka daripada melakukan perkara yang sia-sia.



Sebelum Terlambat, Ayuh Bertaubat!

Saya terkesan dengan pengajaran yang boleh diambil daripada Surah Al-Sajadah. Dalam surah ini diceritakan bahawa manusia yang berdosa di akhirat nanti akan melutut di hadapan Allah dan meminta agar dikembalikan ke dunia.

Hanya untuk sebentar sahaja. Menurut ulama, cukup sekadar untuk menyebut satu kalimah iaitu “Subhanallah” (Maha Suci Allah).

Pahala menyebut sekali Subhanallah itu pun sudah cukup besar di akhirat nanti. Itulah harga masa yang selalu kita sia-siakan di dunia. Allahu.

Jom selalu zikir kepada Allah! Subhanallah wa Alhamdulillah wa La ila ha illallah wa Allahu akbar!

Alhamdulillah. Sahabat sekalian, marilah kita saling berpesan untuk diri kita. Di akhirat nanti, bukan sahaja orang yang mengisi masa dengan dosa yang akan menyesal.

Malah, orang yang tidak mengisi masa lapang dengan apa-apa pun turut menyesal. Maksudnya buat dosa tidak, buat pahala pun tidak. Rugi betul.

Ibarat Kotak Hadiah.

Saya yakin kita semua sangat gembira apabila menerima hadiah. Tidak kisahlah sebesar manapun hadiah itu. Sudah pasti hati kita terusik senang dengan pemberian itu.

Namun begitu, sudah pasti juga kita ingin menerima hadiah yang besar, hadiah yang cantik dan berharga di dalamnya bukan? Maka, nak diibaratkan orang yang mengisi masa dengan perbuatan dosa semestinya akan menyesal di akhirat nanti.

Keadaan ini diibaratkan oleh Imam Al-Ghazali seolah-olah kita menerima kotak hadiah. Ada yang menerima kotak hadiah yang mengandungi benda bernilai dan ada yang menerima kotak berisi benda busuk. Bahkan ada yang menerima kotak hadiah yang kosong.

Jadi, yang mana satu kategori lepak kita? Kotak yang berharga, kotak kosong atau kotak yang busuk?

Lepak Yang Produktif!

Saya ingin berkongsikan tips yang boleh diamalkan supaya lepak kita menjadi produktif!

1. Tahan Mata, Jaga Pandangan!

Jangan meliar. Jangan melihat perkara-perkara yang berdosa seperti melihat pendedahan aurat atau memandang orang lain dengan pandangan yang hina.

2. Tahan Mulut, Jaga Percakapan.

Jangan mengata atau mengejek orang lain. Jangan bercerita mengenai orang lain. Hal ini sangat memburukkan imej sebagai seorang Muslim. #JanganMembawang

3. Ringan Tulang.

Hulurkan pertolongan kepada yang memerlukan. Jika ada orang yang meminta pertolongan seperti minta tunjukkan jalan, kita bantu. Jika ada yang mengadu masalah yang dihadapi untuk tujuan mendapatkan pandangan atau solusi. Disinilah peranan kita.

4. Cegah Perbuatan Buruk.

Jika kita melihat perbuatan yang tidak baik berlaku depan mata. Di sinilah kita kena cuba cegah sekiranya mampu. Laksanakan amar makruf nahi mungkar. Jangan ketika ini kita buat tidak tahu pula.

5. Jangan Menghalang Jalan.

Jangan membuatkan orang lain ditimpa kesusahan akibat daripada perbuatan kita.

6. Hindari Topik Yang Sia-Sia.

Berbincanglah perkara yang mampu meningkatkan motivasi dalam diri kita dan semakin ingat kepada Allah S.W.T.
Jadikan lepak salah satu ruang muhasabah. Barulah jadi remaja lepak yang produktif!

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-sama kita tingkatkan motivasi dan perbaiki diri.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 461,218 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen