Kenapa Hati Masih Keras Ketika Membaca Al-Quran? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh Dato’ tafsirkan ayat 21 surah al-Hasyr? Iaitu berkenaan firman Allah SWT:

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.” (Surah al-Hasyr: 21)

Ibn Kathir berkata:

"Yakni, jika gunung yang kuat dan gagah, seandainya dia memahami makna al-Quran ini, lalu merenungkannya, nescaya ia akan tunduk terpecah belah kerana rasa takut kepada Allah. Lalu bagaimana patut bagi kamu, wahai sekalian umat manusia, apabila hati kamu tidak bersikap tunduk dan patuh kerana rasa takut kepada Allah, padahal kamu dapat memahami perintah Allah dan merenungkan Kitab-Nya?"

(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/125)

Imam al-Alusi berkata bahawa ayat ini merupakan perumpamaan Allah SWT terhadap keagungan al-Quran iaitu gunung yang dilihat begitu gagah tidak mampu menanggung dan akan pecah terbelah jika diturunkan al-Quran kepadanya.

Ia merupakan peringatan kepada manusia yang hatinya keras tidak mahu tunduk dan khusyuk dalam menerima kebenaran al-Quran. Allah SWT seterusnya membuktikan kebesarannya dengan menyebut beberapa nama-Nya yang merupakan Asma’ al-Husna.

(Lihat Ruh al-Ma’ani, 28/356)

Al-Maraghi berkata:

"Begitulah gambaran kehebatan al-Quran dan kekuatan pengaruhnya, di dalamnya mengandungi nasihat-nasihat dan larangan-larangan. Di sini juga terdapat celaan kepada manusia kerana keras hati dan tidak khusyu’ ketika membaca al-Quran dan memikirkan ketukan-ketukan yang menundukkan gunung-ganang yang berdiri kukuh itu."

(Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/6950)

Sayyid Qutb berkata:

Gambaran ini menerangkan satu hakikat yang benar, kerana al-Quran ini mempunyai berat, kekuatan dan kesan yang menggoncangkan siapa sahaja yang menerima hakikatnya.

Saidina Umar bin al-Khattab R.A telah mengalami kesan berat itu ketika beliau mendengar seseorang membaca ayat:

“Demi Gunung Tursina; Dan demi Kitab yang tertulis dengan rapi - Pada lembaran surat yang terbuka; Dan demi "Al-Baitul Makmur"; Dan demi bumbung yang tinggi; Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); - Sesungguhnya azab Tuhanmu tetap berlaku; - Tidak ada sesiapapun yang dapat menolaknya” (Surah al-Tur: 1-8)

Beliau terpaksa bersandar di dinding-dinding kemudian pulang menderita kesakitan hingga beliau dilawati orang selama sebulan.

Pada detik-detik terbukanya hati manusia menerima sesuatu dari hakikat al-Quran, ia akan menggigil dan gementar. Perubahan-perubahan akan berlaku di dalam hatinya samalah dengan perubahan-perubahan yang berlaku di alam benda apabila sesuatu jisim menerima kesan daya magnetik dan karan elektrik atau lebih lagi.

Orang-orang yang telah mengalami sesuatu dari kesan sentuhan al-Quran di dalam hati mereka tetap merasakan kebenaran hakikat ini, iaitu satu perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan tepat melainkan oleh ayat al-Quran yang terang dan menarik ini.

(Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/621-622)

Menariknya ayat ini sebagaimana yang dikeluarkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikhnya sebuah kisah yang panjang, antara lain menisbahkan kepada Nabi SAW, katanya:

“Sesungguhnya Jibril AS tatkala turun ayat ini kepadaku berkata: Letakkan tanganmu atas kepalamu kerana ia penyembuh daripada setiap penyakit kecuali samm iaitu kematian.”

Almarhum Dr Haron Din pernah menyebut:

“Untuk itu ayat-ayat ini sesuai digunakan bagi memecahkan sesuatu yang keras sama ada berbentuk jasmani atau sesuatu yang bersifat maknawi seperti kekerasan jiwa, kebuntuan masalah, gangguan makhluk halus dan sebagainya."

(Lihat Rawatan Penyakit Jasmani 1, hlm. 21)

Semoga Allah SWT jadikan kita mengambil iktibar daripada ayat al-Quran ini seterusnya beriman dan meyakini untuk menjadikannya sebagai petunjuk kepada kita. Amin.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 527,863 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen