Hukum Penggunaan Mata Wang Bitcoin, Ini Penjelasan Daripada Pakar.

 

Seperti yang kita tahu, penggunaan mata wang bitcoin ini semakin meluas di kalangan kita. Bitcoin ialah satu mata wang digital yang dicipta pada tahun 2009, di mana ia diselenggara oleh satu autoriti yang tidak berpusat, berbeza dengan mata wang biasa yang diselenggara oleh badan kewangan atau bank negara masing-masing. Transaksi bitcoin dijalankan secara terus melalui saluran kriptografi antara pengguna tanpa ada perantara atau orang tengah.

Namun begitu, sering kali menjadi kekeliruan orang ramai di mana, adakah ia boleh digunakan sebagai salah satu sumber pendapatan. Bahkan, adakah ia mata wang yang sah menurut kaca mata syarak. Berikut adalah penjelasannya.



Mutakhir ini, Bitcoin yang merupakan salah satu daripada jenis mata wang kripto menjadi satu fenomena baharu yang kian mendapat perhatian di seluruh pelusuk dunia. Kemunculan mata wang seumpama ini dianggap sebagai alternatif baharu kepada mata wang sedia ada dalam urus niaga di abad ini.

Justeru, jika dilihat secara saintifik, bitcoin ini merupakan mata wang digital yang dibangunkan di alam maya dengan menggunakan perkakasan komputer sepenuhnya. Ia bukanlah bersifat fizikal seperti wang kertas yang ada pada hari ini. Keghairahan orang ramai terhadap bitcoin ini telah melonjakkan harganya ke tahap yang tinggi di mana pada awalnya ditawarkan pada harga USD65 dan kini dikatakan harganya berada pada paras USD6,281.76 bersamaan dengan RM26,340 (setakat 13 November 2018).

Baru-baru ini juga, terdapat laporan yang menyatakan sistem emel Media Prima Bhd. telah diserang oleh sekumpulan penggodam siber, dan mereka meminta sebanyak 1000 unit bitcoin sebagai bayaran untuk sistem tersebut kembali kepada sediakala.[1] Ini menunjukkan bahawa bitcoin menjadi sasaran kumpulan penjenayah memandangkan sifatnya yang lebih sukar dikesan berbanding mata wang biasa.

Isu dan masalah.

Pada hari ini, urus niaga di alam maya cuba diperluaskan dengan menggunakan bitcoin sebagai alat pertukaran (medium of exchange). Kewujudan sesetengah premis yang kini menggunakan bitcoin membuatkan ramai pengguna cuba mendapatkan mata wang ini meskipun ia bukanlah mata wang yang diiktiraf di kebanyakan negara di peringkat antarabangsa.

Maka berikut dikemukakan beberapa persoalan yang timbul di sebalik penggunaan mata wang ini, antaranya:

1. Adakah bitcoin merupakan mata wang yang sah menurut kaca mata syarak?

2. Adakah bitcoin boleh diperdagangkan dan digunakan dalam transaksi urus niaga?

Konsep Mata Wang Dalam Islam.

Mata Wang dalam al-Quran dan al-Hadis.

Pada dasarnya, konsep umum mata wang yang disebut di dalam al-Quran adalah menjurus kepada mata wang dinar dan dirham. Ini adalah kerana, ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, mata wang yang beredar pada masa itu hanyalah dinar dan dirham.[9]

Antara ayat yang menggambarkan unit mata wang dinar dan dirham yang pernah digunakan pada zaman awal Islam ialah:

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”
(Surah Ali Imran: 75)

Selain itu, al-Quran juga ada menyebut tentang garis panduan berkenaan kepentingan menjaga keutuhan mata wang dan larangan daripada membuat sewenang-wenangnya sehingga merosakkan keseimbangan masyarakat. Allah SWT berfirman:


قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ

Maksudnya: “Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"
(Surah Hud: 87)


Imam al-Tabari menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan “supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami” membawa kepada pemecahan dan pemotongan dirham.[10]

Dapat difahami daripada ayat ini bahawa Islam mementingkan keutuhan mata wang. Apabila mata wang sudah tidak dipercayai lagi oleh masyarakat, maka akan terjadi masalah dalam transaksi mereka. Mereka saling tidak percaya antara satu sama lain dan meragui piawaian dinar mata wang yang digunakan.

Al-Quran juga ada menerangkan peranan wang sebagaimana ayat di dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu…”
(Surah al-Nisaa': 5)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perkataan al-qiyam dan al-qiwam bermaksud tiang dan sandaran kerana hal ini dijadikan sebagai tiang penumpang dan sandaran barang yang bersandar kepadanya.[11]

Ini menggambarkan ciri utama wang di mana ia merupakan satu alat yang sangat berkesan yang dijadikan oleh Allah untuk mengelola dan memelihara keseluruhan sistem dunia. Matlamat akhir wang adalah untuk menjaga dan menampung urusan dunia seseorang untuk keuntungannya di akhirat.

Sebagai kesimpulan, ciri-ciri atau bentuk mata wang tidak dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-duanya hanya merujuk kepada mata wang yang wujud dan tersebar luas pada masa tersebut iaitu dinar dan dirham. Akan tetapi, ia telah meletakkan dasar dan garis panduan secara umum berkait penggunaan mata wang di dalam urusan muamalah sesama manusia.


Kontrak Al-Sarf Dalam Islam.

Persoalan berkaitan mata wang dan pertukarannya di dalam Islam dibincangkan secara lebih terperinci di bawah tajuk kontrak al-Sarf. Kontrak al-Sarf secara jelasnya menyebut logam yang digunakan sebagai mata wang ialah logam emas dan perak. Walau bagaimanapun, ulama telah menjelaskan bahawa ia boleh diperluaskan kepada logam lain yang membawa ‘illah yang sama sebagaimana ‘illah emas dan perak.[17]

Dalam membahaskan perkara tersebut, Mazhab Syafie menggunakan harga atau mata wang terhadap perkataan emas dan perak. Justeru, apa-apa sahaja barang atau benda yang digunakan dan diterima sebagai wang dan harga akan tertakluk kepada peraturan pertukaran emas dan perak. Selain daripada itu, perbahasan ini juga menunjukkan keharusan penggunaan benda selain emas dan perak untuk digunakan sebagai harga atau mata wang.[18]

Dari segi definisinya, al-Sarf dari segi syarak bermaksud penjualan mata wang dengan mata wang yang sejenis atau tidak sejenis iaitu menjual emas dengan emas atau perak dengan perak sama ada dalam bentuk emas dan peraknya atau dalam bentuk wang.[19]

Antara syarat-syarat khusus bagi membolehkan tukaran mata wang dijalankan ialah:[20]

Wujud persamaan bagi dua barangan yang sama bahagian

Persamaan yang dimaksudkan di sini adalah sama timbangannya walaupun berlainan dari segi kecantikan dan pencanaian. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:


الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ مِثْلاً بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Emas dengan emas hendak sama jenis.”[21]
Maksudnya adalah sama dari segi kadar dan bukan dari segi sifat kerana berdasarkan kaedah syarak: “Yang baik dan buruknya adalah sama.”[22]


1. Penyerahan serta-merta

Kontrak sarf disyaratkan tidak ada penangguhan oleh dua pihak yang berkontrak atau salah seorangnya. Ini kerana penerimaan dua barang tukaran adalah perlu sebelum berpisah.

Hendaklah tidak wujud jarak masa bagi penyerahan kedua-dua atau salah satu barangan. Jika satu pihak berkata: “Tukarkan saya satu dinar dengan sepuluh dirham, cuma saya akan serahkan satu dinar tadi selepas satu jam.” Satu pihak lagi berkata: “Saya tukarkan untuk kamu.” Pihak pertama tadi membalas: “Saya setuju” maka akad ini tidak sah.

2. Penyerahan dalam majlis akad

Tukaran yang dilakukan mestilah diterima semuanya sebelum kedua pihak berpisah. Hal ini adalah bagi mengelakkan berlakunya riba nasi’ah. Ini menjunjung sabda Rasulullah SAW:


الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “(Penjualan/pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, apabila ia sama jenisnya, hendaklah sama kadar atau timbangannya dan hendaklah secara lani. Sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah mengikut kehendak kamu tetapi dengan syarat pertukaran dua barangan tersebut berlaku secara lani (serahan tangan ke tangan).”[23]

Demikian juga dengan sabda Rasulullah SAW:


ولاَ تَبِيعُوا مِنْهَا غَائِبًا بِنَاجِزٍ

Maksudnya: “Jangan kamu menjual barangan yang tidak ada dengan barangan yang ada.”[24]

3. Akad tersebut mestilah muktamad (tanpa syarat)

Tidak dibenarkan meletakkan syarat oleh dua pihak yang berkontrak atau salah satu daripadanya. Jika kedua-dua pihak yang bertukar-tukar mata wang menetapkan syarat kedua-dua atau salah satu pihak berhak menuntut khiyar dalam masa sehari atau dua hari, atau lebih atau kurang daripada itu, tukaran tersebut tidak sah. Ini kerana sepertimana yang diketahui, syarat sah akad ialah wujudnya proses bertukar-tukar barangan. Ini berlainan dengan khiyar ru’yah dan khiyar ‘aib. Kedua-duanya tidak menghalang berlakunya penerimaan yang sempurna. Jika dua pihak tersebut berpisah dan dalam kontrak tersebut terdapat khiyar ‘aib atau ru’yah maka kontrak itu adalah harus.

Sebagai kesimpulan, pertukaran mata wang adalah dibenarkan, akan tetapi ia mestilah berlandaskan syarat-syarat al-sarf. Urus niaga yang tidak mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan urus niaga tersebut tidak sah atau batal.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan seperti dalam konteks operasi perbankan masa kini, definisi majlis akad yang tertumpu kepada faktor “tempat yang sama” dilihat kurang relevan kerana kebanyakan pelaksanaan bai’ al-sarf tidak melibatkan pertemuan secara fizikal di tempat yang sama tetapi ia hanya berlaku dalam talian atau melalui platform elektronik. Justeru, perkara utama yang menjadi fokus dalam mendefinisikan majlis akad bagi amalan perbankan semasa ialah faktor “masa” berlakunya kontrak pertukaran mata wang.

Oleh itu, Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia ke-179 telah memutuskan bahawa majlis akad bai’ al-sarf adalah merujuk kepada “suatu tempoh masa” berlakunya pemeteraian kontrak pertukaran mata wang yang bermula dengan penawaran (ijab) dan diiringi dengan penerimaan (qabul) serta diakhiri dengan perpisahan (disengagement) pihak-pihak berkontrak secara fizikal atau konstruktif, atau pelepasan hak untuk membatalkan kontrak (takhayur). Serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf mestilah berlaku ketika majlis akad. [25]

Berdasarkan keputusan tersebut, amalan serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf, contohnya yang dilaksanakan pada hari kedua selepas tarikh transaksi (T+2) dianggap berlaku selepas majlis akad. Walau bagaimanapun, amalan tersebut boleh dibenarkan berdasarkan amalan pasaran (‘urf tijari) ekoran daripada kekangan operasi. Serah terima mata wang selepas majlis akad juga boleh dibenarkan sekiranya berlaku gangguan di luar jangkaan (unexpected disruption).[26]

Kedudukan Bitcoin Sebagai Mata Wang

Persoalan samada bitcoin adalah sejenis mata wang atau tidak masih lagi diperdebatkan. Menurut The Economist, Bitcoin menepati 3 ciri-ciri mata wang:

1. sukar diperoleh

2. bekalannya terhad

3. mudah untuk dipastikan (verify).
[31]

Analisis Pandangan Ulama Berkenaan Bitcoin

Setelah membentangkan padangan-pandangan ulama terhadap isu ini, maka didapati bahawa bitcoin merupakan satu alat baru yang telah diperkenalkan oleh pihak tertentu sebagai alternatif kepada sistem mata wang yang sedia ada dalam sesebuah negara.

Para ulama sendiri telah berbeza kepada 3 pandangan dalam menentukan hukum bagi isu ini. Perbezaan ini muncul apabila berlakunya perbezaan dari sudut pandang mereka. Bagi ulama yang mengharuskan, mereka lebih melihat dari sudut mikro bitcoin, ia merupakan mata wang yang menepati ciri-ciri mata wang dan tiada sebarang elemen gharar dan jahalah yang boleh merosakkan transaksi mata wang ini.

Namun, bagi ulama yang mengharamkan, didapati lebih melihat bitcoin dari sudut makro dan jangkaan skop yang lebih luas. Kewujudan mata wang ini boleh menggugat kestabilan mata wang sesebuah negara di samping ketiadaan pengawasan dan pengawalan oleh pihak berautoriti. Penggunaan bitcoin juga diramalkan akan melahirkan lebih banyak masalah dengan kemunculan skim-skim pelaburan penipuan serta jalan mudah bagi pengganas dan penjenayah siber.

Terdapat juga sebahagian kecil ulama yang lebih bersifat tawaqquf dalam isu ini. Ini kerana didapati mereka lebih mengambil langkah berhati-hati dengan mencari sebanyak mungkin gambaran terhadap penggunaan mata wang ini. Keputusan yang muktamad dikeluarkan setelah mereka benar-benar berpuas hati dengan maklumat yang diperolehi.

Ringkasnya, hukum penggunaan mata wang bitcoin dapat dilihat seperti jadual di bawah:

                 
Justeru, jika diukur daripada sudut kebaikan (maslahah) pada mata wang ini, maka antara kebaikannya ialah:

Bitcoin merupakan mata wang secara maya yang membolehkan perpidahan wang dilakukan lebih pantas dan menjimatkan kos jika berbanding dengan melalui sistem kewangan pada hari ini.

Ia dapat memberikan tahap keselamatan yang tinggi kepada pengguna berbanding mengggunakan wang fizikal.
Mempunyai kadar nilai yang tinggi pada hari ini, namun tetap terdedah kadar turun naik yang agak tidak stabil.

Namun begitu, bitcoin juga mempunyai beberapa sudut keburukan (mafsadah) antaranya:

i. Bitcoin tidak mempunyai sandaran nilai yang stabil dan tetap.

ii. Terdapat unsur-unsur gharar dalam transaksi bitcoin khususnya di peringkat bursa (exchange).

iii. Ia boleh dimanipulasi sebagai dana mudah bagi penjenayah untuk membiayai kegiatan keganasan dan penjenayah siber.

iv. Sistem keselamatan di bursa dagangan bitcoin juga boleh mengundang masalah apabila pernah beberapa kali digodam sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan dolar.

v. Bitcoin merupakan satu mata wang yang tidak diawasi oleh mana-mana badan berautoriti.

vi. Mampu memberi ancaman kepada sistem kewangan negara.

vii. Munculnya berbagai-bagai skim pelaburan bitcoin yang kebanyakannya berasakan skim cepat kaya (penipuan).

Kesimpulan.

Secara tuntasnya, setelah menilai pandangan ulama dan sarjana Islam berkenaan bitcoin, maka didapati mata wang ini tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten. Meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.

Selain itu, ketiadaan badan berautoriti yang mengawal selia mata wang ini juga boleh mengundang pelbagai perkara negatif seterusnya mampu mengganggu-gugat sistem mata wang rasmi dalam sesebuah negara.

Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.

Justeru, tindakan menyekat penggunaan mata wang ini adalah wajar berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai’ (menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan) agar ia tidak berlegar di kalangan masyarakat umum. Sesuatu yang asalnya harus boleh dicegah apabila ia ternyata boleh membawa kemudaratan yang lebih besar.

Pemerintah dan badan berautoriti juga berhak untuk menghalang sebarang transaksi bitcoin ini demi memelihara maslahah masyarakat umum. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: Tindakan seseorang pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah.

Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum. Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.

Wallahu a’lam.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 382,636 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen