Balaslah Kejahatan Dengan Kebaikan.

 

Sebagai manusia yang khilaf, kita sering merasakan apabila seseorang melakukan kejahatan ke atas kita, pasti mahu membalas dengan cara yang sama. Kerana dengan balasan yang sama akan membuatkan hati dan perasaan manusia puas setelah melihat insan tersebut menerima balasan yang setimpal. Namun, menurut Islam jangan la pula kita membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi balaslah dengan kebaikan.

Seperti firman Allah SWT:

“Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib…”(Surah Fussilat: 34)

Ibn Kathir berkata:

“Iaitu jika ada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, maka tolaklah dengan cara yang lebih baik.”

Sebagaimana Umar R.A berkata:

“Tolaklah menghukum orang yang melakukan maksiat kepada Allah dalam dirimu sepertimana bila engkau melakukan ketaatan kepada Allah dalam dirinya.”

Dan firman Allah SWT:

“Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib,” iaitu teman baik.

Yakni, jika engkau berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, nescaya kebaikan itu akan membuatkannya untuk bersikap baik kepadamu, mencintaimu dan merinduimu, sehingga dia seakan-akan menjadi teman setia, dalam maksud mendekatimu dengan rasa kasih sayang dan berbuat baik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/123)

Saidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata kepada bekas hambanya:

“Hai Qunbur, biarkan orang mencelamu dan lupakanlah. Pasti kamu akan diredai Allah sehingga menimbulkan kemarahan syaitan.”

Ada orang mengatakan hukuman paling setimpal bagi orang bodoh ialah mendiamkan diri.

Penyair pernah berkata: “Orang bodoh, dicaci jangan, dicela jangan. Diam sahaja baginya lebih menyeksakan.”

Penyair lain pula bermadah:

“Orang bodoh sukakan jawapan.

Melawannya bukan dengan ungkapan.

Diam sahaja itulah jawapan.”

Justeru, Syeikh al-Maraghi berkata:

“Hapuskanlah kejahilan dan kebodohan orang kafir itu dengan cara yang baik. Maksudnya, balaslah keburukan mereka dengan kebaikan; hadapilah kekasaran-kekasaran mereka dengan kemaafan, dan hadapilah kemarahan mereka dengan kesabaran. Ini disebabkan sesungguhnya jika kamu bersabar dan memperlakukan mereka seperti itu pasti mereka akan malu sendiri sehingga mereka akan berhenti melakukannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/6073)

Abu Bakr Ibn al-‘Arabi berkata:

“Ayat ini dikhususkan terhadap orang-orang kafir iaitu berkaitan membalas dendam terhadap mereka. Akan tetapi lafaz ayat ini yang berbentuk umum dan kekal untuk dilaksanakan dalam kalangan sesama orang Islam.

Berkaitan pandangan yang mengatakan ayat bermaksud:

“Tolaklah kejahatan kamu dengan melakukan kebaikan selepasnya,” maka ia juga memberikan isyarat tentang kelalaian, dan kebaikannya ialah zikir, sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

Maksudnya: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.” [Riwayat Muslim (7033)]

Golongan sufi berkata: “Termasuk dalam pengertian firman ini ialah tolaklah habuan keduniaan apabila ia mengganggu habuan akhirat dengan memilih habuan akhirat semata-mata.”

Ibn al-‘Arabi menyebut, Abu Bakar al-Fihri (gurunya) berkata kepada beliau:

“Apabila berkumpul dua urusan kepadamu, yang satunya untuk dunia dan yang satu lagi untuk Allah SWT, maka utamakan yang untuk Allah SWT, maka dengan sebab itu kedua-duanya sekali akan engkau peroleh. Jika engkau utamakan dunia, mungkin kedua-duanya terlepas, dan boleh jadi engkau mendapat habuan dunia tetapi tidak diberkati.”

Ibn al-‘Arabi telah mengamalkan apa yang dipesan dan dia mendapati ia benar. Tidak syak lagi bahawa termasuk juga dalam pengertian ayat ini ialah menghindarkan sikap keras dan kasar. Demikianlah yang disifatkan melalui sabda (doa) Nabi SAW:

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” [Riwayat Muslim (4747)]

Kefahaman yang dipetik daripada ayat ini ialah:

Susurilah cara hidup pemurah (dermawan), dan jangan engkau mengharapkan ganjaran, tolaklah tanpa tukar ganti. Jangan rentasi cara hidup perniagaan.

Termasuklah dalam pengertian ayat ini: Ucapkan salam kepada orang yang tidak mengucapkan salam kepadamu. Banyak lagi contoh-contoh yang lain, tetapi motifnya telah sedia dimaklumi (oleh semua), maka rentasilah cara itu. (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/593-595)

Semoga Bermanfaat!

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 332,905 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen