Menjelang Tahun Baru, Apa Amalan Yang Harus Anda Tinggalkan?

 

Lagi beberapa hari lagi tahun baru akan menjelang tiba menggantikan tahun 2018 ini. Sudah pasti banyak perkara yang manis, sedih dan juga pahit berlaku dalam hidup anda. Bukan itu sahaja, kebanyakkan daripada kita ini sudah tentulah sudah berubah status, mungkin dari yang bujang menjadi suami atau isteri, dari berdua kini menjadi ibu bapa dan ada juga yang bertambah cahaya matanya.

Setiap kenangan yang baik dan perkara yang manis pasti akan menjadi simpanan di dalam salah satu kotak ingatan, manakala yang buruk pastilah harus dibuang agar ia tidak menghantui diri selamanya. Bahkan setiap perkara yang datang sepanjang tahun ini juga pasti memberi pengajaran ke dalam hidup anda, malah mampu membuatkan anda terus berani untuk maju ke hadapan.

Selain daripada kenangan, terdapat juga amalan-amalan yang sudah sebati dalam diri kita untuk sepanjang tahun ini. Jika amalan itu baik, maka teruskan bawa ia ke tahun hadapan tapi jika ia sebaliknya, adalah lebih baik jika ia dibuang dan jangan diamalkan semula.



Namun begitu, amalan yang bagaimana harus dibuang?

1. Membandingkan Diri Dengan Orang Lain.

Kita lihat kehidupan orang lain dan kita rasa kagum. Perlahan-lahan rasa kesal mula terbit di hati apabila melihat perkembangan diri sendiri.

Selalunya kita akan melihat yang baik-baik sahaja dalam kehidupan orang lain, dan memandang yang buruk dalam kehidupan sendiri. Membandingkan diri dengan orang lain tidak akan membawa kita ke mana jika kita tidak mula bertindak untuk melakukan perubahan. Perubahan yang dilakukan pula bukan untuk mengatasi orang lain tetapi untuk mengatasi diri kita yang semalam.

2. Takut Mengambil Peluang.

“Ni dah tahun 2019 kot”

Kata-kata seumpama itu yang selalu disebut di media sosial apabila ada yang masih dengan cara fikir negatif dan lama. Kata Buya Hamka, peluang tidak datang apabila kita telah bersedia. Ia datang pada waktu yang tak terjangka, dan kita harus bijak dan cepat membuat pilihan.

Peluang hanya akan menatijahkan dua perkara. Pertama, jika hasilnya menggembirakan, kita akan merasai satu lagi nikmat pemberian Tuhan dalam hidup. Kedua, jika hasilnya tidak seperti yang kita inginkan, kita akan memperoleh pengalaman dan kematangan.


3. Membiarkan Diri Terganggu Dengan Teknologi.

Ada banyak perkara yang akan menggangu produktiviti kita dalam kehidupan seharian, dan teknologi merupakan salah satunya. Dalam artikel yang lalu saya ada berkongsi tentang kesan buruk jika terlalu lama menggunakan media sosial. Stres akan meningkat dan proses berfikir secara kreatif tidak berjalan dengan baik.

Jadikan 2019 sebagai tahun di mana kita lebih bijak menguruskan masa dengan media sosial.

4. Berlengah-lengah.

Tugas dan kerja yang perlu kita lakukan bukanlah gunung yang tidak dapat diangkat atau dialihkan. Ia menjadi besar dan terasa berat apabila kita menumpukan kepada halangan dan kesukaran yang ada. Pecahkan tugasan tersebut kepada bahagian yang lebih kecil. Usah berfikir terlalu lama, mulakan sahaja!

5. Masih Terkesan Dengan Kesilapan Lampau.

Tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan dalam hidup. Jangan terlalu keras dengan diri sendiri. Jika kita boleh memaafkan orang apabila mereka melakukan kesilapan yang sama, mengapa tidak kepada diri sendiri.

Kita akan hidup dengan diri sendiri lebih lama daripada kita hidup dengan orang lain. Bergembiralah dengan kehidupan sekarang, usah lagi hidup di masa lampau.

Semoga kenangan dan pengalaman yang kita perolehi pada tahun 2018 membuatkan kita menjadi seorang yang lebih matang dan lebih banyak melakukan kebaikan.



Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 332,929 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen