“Telah Berkahwin Dengan Tempoh Yang Lama Tapi Tiada Usaha Untuk Memiliki Zuriat”, Ikuti Soal Jawab Ini.

 

Setelah menjadi suami dan isteri, pasti kebanyakan daripada kita ini ingin memiliki anak dengan kadar segera. Ataupun ada juga di antara kita ini akan membuat perancangan terlebih dahulu, bila waktu yang sesuai untuk mempunyai anak. Namun begitu, bagi mereka yang mempunyai masalah ketidaksuburan, lalu tidak mahu berusaha untuk mendapatkan anak pula bagaimana? Dan apa hukumnya? Mari ketahui berdasarkan penjelasan ini.



Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah berkahwin hampir 3 tahun dan masih belum mempunyai anak. Saya dan suami mempunyai masalah untuk mendapatkan anak. Tidak perlu saya ceritakan lebih lanjut mengenai itu. Hubungan saya dan suami baik dan kami bahagia. Saya ingin bertanya, adakah kami berdosa jika kami tidak berusaha untuk mendapatkan anak kerana merasakan kami belum bersedia untuk mendapatkan khidmat nasihat pakar atau mendapatkan rawatan. Mungkin juga kami sebenarnya belum bersedia untuk mendapatkan anak. Berdosakah jika kami tiada usaha ke arah mendapatkan zuriat? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Anak adalah satu anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-hambanya. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT berikut:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “… dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.
(Surah al-Syura : 49)

Demikian juga seterusnya

أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki Nya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
(Surah al-Syura: 50)

Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa Allah SWT menganugerahkan anak-anak perempuan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, dan menganugerahkan anak-anak lelaki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Allah SWT mempu menganugerahkan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki serta mampu tidak mengurniakan keturunan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 13/6174)


Menjawab kepada persoalan di atas, pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak adalah tidak berdosa di sisi syarak. Hal ini kerana, hanya Allah SWT sahaja berkuasa untuk mengurniakan keturunan kepada hamba yang dikehendakiNya. Demikian juga, sekiranya mereka tidak berusaha untuk mendapatkan anak juga adalah tidak berdosa. Namun begitu, mereka perlu mengetahui kelebihan yang diperolehi melalui anak-anak mereka. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan, maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”
Riwayat Muslim (1631)

Kesimpulan.

Islam amat menggalakkan agar setiap pasangan suami isteri berazam dan berusaha untuk mempunyai anak. Bagi mereka yang tidak mempunyai anak setelah berusaha atau tidak berusaha mendapatkan anak dengan kaedah-kaedah alternatif adalah tidak dikira sebagai satu kesalahan dan berdosa di sisi syarak. Hal ini kerana, Allah SWT sahaja yang berhak dan berkuasa untuk menciptakan setiap nyawa di muka bumi ini. Ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا

Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.
Riwayat al-Bukhari (7409) dan Muslim (1438)

Semoga dengan penjelasan ini memberikan kepada kita semua untuk lebih memahami ajaran agama Islam dengan lebih baik. Amin.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,507 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen