Bagaimana Menjadi Seorang Anak Yang Menyejukkan Hati Ibu Bapanya?

 

Ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa dalam hidup kita. Sejak kita berada dalam kandungan hinggalah kita tahu membezakan yang baik serta yang buruk. Tak hanya itu, mereka ini sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak mereka. Tanpa mereka, kita ini belum tentu dapat melihat dunia yang indah ini.

Jangan kerana kita ini sudah meningkat dewasa, mempunyai kerja yang bagus, mempunyai keluarga yang baik dan mempunyai pelajaran yang hebat dari mereka, menyebabkan kita ini mula meninggi diri serta mengabaikan mereka.

Bagaimana kita ingin mengembirakan mereka ini? Bagaimana kita mahu memenangi hati mereka ini? Ini cara-caranya.




1. Speak Softly, Son.

Ibu bapa merupakan insan yang lebih makan garam dari kita, sudah pastinya hati mereka lebih mudah sensitif.

Saya yakin bahawa semua orang akan lebih senang dengan kita apabila bicara kita lembut, sopan dan tidak meninggikan suara.

Maka, sama jugalah apabila kita berhadapan dengan kedua ibu bapa kita. Jangan bercakap dengan mereka seperti kita bercakap dengan kawan-kawan kita. Mereka insan yang wajib kita hormati.


Jika mereka membuat kesilapan tegurlah secara lembut dan merendahkan suara. Bukankah salah satu metode dakwah adalah dengan berlemah lembut?


Maka, begitu jugalah dengan ibu bapa kita. Berlemah-lembutlah, nescaya hati mereka lebih dekat dengan kita.


2. Tidak Mengalihkan Pandangan Dan Wajah.


Interaksi dua mata sangat penting dalam komunikasi yang berkesan. Apabila ibu bapa kita sedang berbual dengan kita janganlah memalingkan wajah atau pandangan kita.


Pandanglah wajah mereka dengan pandangan penuh kasih sayang. Allah SWT juga tidak suka hamba-Nya yang sombong. Diriwayatkan daripada Zura’h bin Ibrahim, bahawa seorang lelaki datang kepada Umar, kemudian berkata;


“Sesungguhnya aku mempunyai seorang ibu yang sudah tua. Dia tidak dapat memenuhi keperluannya, kecuali belakangku menjadi tunggangannya. Aku selalu menjadi petunjuk jalan baginya, namun aku sering memalingkan mukaku daripadanya. Adakah aku telah menunaikan haknya?”


Dia menjawab;


”Tidak.”


Lelaki itu berkata;


“Bukankah aku sudah menggendongnya di atas belakangku dan mengekang keinginanku kerana dirinya?”


Umar menjawab;


“Dahulu dia pun pernah melakukan itu kepadamu, dan dia mengharap kamu tetap bersamanya, sementara engkau mengharap dia berpisah daripadamu.”


Birrul Waalidain, Ibn al-Jauzi


3. Meminta Izin Ketika Lalu Di Hadapan Ibu Bapa.


Sikap ini selalu dipandang remeh oleh anak-anak. Kita harus ingat bahawa ini adalah sebahagian daripada tanda hormat kita kepada ibu bapa dan memuliakan mereka.


Inilah sikap yang baik yang harus diikuti agar kita sentiasa menjaga adab terhadap ibu bapa. Mereka juga rasa dihargai dan dihormati.


Apabila sikap ini sudah dididik sejak kecil terhadap anak-anak maka apabila tetamu datang ke rumah sekaligus dapat menjaga nama baik keluarga.



4. Be A Second, Parents First!


Saya teringat sesuatu apabila saya mendengar kisah ibu saya sewaktu kecil. Ibu saya dididik agar sentiasa mendahulukan ibu bapa dalam apa jua pekerjaan.


Kesannya anak-anak menjadi seorang yang beradab dan sangat menghormati orang tua. Sebagai anak, kita mestilah tetap peka mendahulukan ibu bapa walaupun mereka tidak kisah.


5. Menjadi Penyejuk Mata.


Rasulullah SAW memberi jaminan kepada kita dalam sebuah hadis Riwayat al-Tabrani, iaitu:


“Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anakmu akan berbuat baik kepada kamu.”


Subhanallah, kalau kita ingin mempunyai anak-anak yang menjadi penyejuk hati kita maka jadilah penyejuk mata buat kedua ibu bapa kita.


Muhammad bin Munkadir termasuk orang yang berbakti kepada orang tuanya menurut para ulama. Apa yang beliau lakukan? Dalam Kitab al-Zuhd, Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Muhammad bin Munkadir, dia berkata;


“Aku melewati malamku sambil memicit kaki ibuku, sementara Umar (saudaranya yang suka beribadah) melewati malamnya sambil solat. (Aku tetap melakukan itu) meski malamku tak menyenangkan apabila dibandingkan malamnya. (Semoga Allah merahmati beliau).”


6. Tidak Merendahkan Atau Menghina.


Suka saya ingatkan bahawa meskipun suatu hari nanti kita sudah bekerjaya, memiliki keluarga, mewah dan berharta jangan sekali-kali menghina dan melupakan kedua ibu bapa kita.


Sentiasa ingat bahawa kita bermula dari mereka. Apabila Allah SWT memberi nikmat-Nya buat kita maka inilah peluang untuk kita membalas jasa mereka.


Kenanglah segala penat lelah mereka yang membesarkan kita sehingga berjaya. Sentiasa berterima kasih kepada mereka agar mereka rasa dihargai.


7. Jangan Terlalu Berkira.


Ibu bapa adalah insan yang tidak pernah mendahulukan kepentingan diri mereka. Sudah pasti anak-anak menjadi keutamaan dalam hidup mereka.


Sebagai seorang anak, bermurah hatilah dalam berkongsi nikmat yang Allah sudah berikan kepada kita. Bukankah rezeki datang daripada-Nya?


Dengan bersedekah dan tidak berkira dengan kedua ibu bapa boleh menjadi sebab rezeki kita sentiasa dimurahkan. Ingatlah, rezeki kita Allah dah susun baik-baik. Hanya menunggu masa yang tepat untuk dilepaskan satu-persatu.


8. Penuhi Hajat Ibu Bapa.


Tunaikanlah hajat ibu bapa selagi mana ia berada dalam batas syariat. Sewaktu kita kecil ibu bapa kitalah yang sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan kita.


Maka, tidak salahnya kita pula yang berusaha memenuhi hajat dan keperluan mereka sewaktu kita dewasa.


Tambahan lagi jika Allah SWT memberikan kita kemampuan untuk memenuhi hajat mereka. Itulah peluang keemasan yang harus kita dapatkan selagi mana hayat mereka masih ada.


9. Segerakan Permintaan Mereka.


Jika ibu bapa memerlukan khidmat bakti kita sebagai anak, perlulah kita segerakan tanpa sebarang alasan dan penangguhan.


Walaupun kita sedang bersolat sunat sekalipun, kita wajib mendahulukan panggilan ibu.


Berbaktilah kepada ibu bapa dengan berbuat baik kepada mereka, mengerjakan hak-hak mereka, sentiasa mengikut segala perintah mereka selagi tidak bertentangan dengan syarak.


Menjauhi sebarang perkara yang menyakiti hati mereka dan mengerjakan apa yang menggembirakan mereka.


10. Segera Menyahut Panggilan.


Perintah menyahut panggilan ibu bapa ini tidak terbatas kepada anak yang beribu bapa seorang Islam namun ia merangkumi ibu bapa yang bukan beragama Islam.


Perintah menyahut panggilan kedua ibu bapa adalah wajib. Saya suka mengingatkan semua agar sentiasa peka dengan panggilan ibu bapa kita.


Ada anak-anak yang mengambil perkara ini sebagai hal yang remeh tanpa disedari perbuatannya itu menyebabkan ibu bapanya terguris hati.


Sama-samalah kita memperbaiki sikap dan adab kita kepada ibu bapa agar menjadi penyejuk mata kedua orang tua kita.


11. Lakukan Sesuatu Yang Menggembirakan Ibu Bapa.


Sebagai seorang anak, kita sewajarnya paling mengenali ibu bapa kita. Kita seharusnya mengetahui perkara yang mereka suka dan tidak suka.


Maka, usahalah sebaik mungkin agar kita dapat menggembirakan hati mereka walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Bahagikanlah masa yang sebaiknya agar dapat memenuhi keperluan ibu bapa disamping kesibukan kita dalam bekerja mahupun berkeluarga.


Jadilah anak yang bijak dalam memenangi hati orang tua agar hidup kita lebih mendapat keberkatan.


Banyak kisah tauladan yang dapat kita jadikan contoh dalam perkara berbakti kepada kedua ibu bapa.


Sama-samalah kita perbaiki hubungan kita dengan ibu bapa agar hidup kita sentiasa mendapat keberkatan dan keredaan-Nya di dunia dan akhirat. Insya-Allah.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 464,130 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen