Apakah Hukum Menamakan Anak Dengan Nama Selain Arab? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

 

Soalan:

Apa hukum menamakan anak dengan nama orang ‘Ajam (bukan Arab) seperti Richard, Bunga, Kuntum, Cheng Ho, Ramasamy?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, maka hendaklah ibubapa menamakan anaknya dengan nama yang baik dan nama yang tidak dihambakan selain kepada Allah SWT. Begitu juga, nama yang tidak ada unsur takabbur, bongkak dan yang buruk.

Justeru menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ianya merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak.

Daripada Abi al-Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏"Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu."[Riwayat Abu Daud (4948)]

Berdasarkan persoalan di atas, selama mana nama tidak diertikan dengan sebarang bentuk syirik atau seperti yang dinyatakan di atas, maka hukumnya adalah dibolehkan. Inilah pendapat kebanyakan fuqaha’ sekalipun nama yang afdhal dengan dihambakan kepada Allah atau yang dipuji.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: "Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman".

[Riwayat Muslim (6/169), Abu Daud (2/307), al-Tirmizi (4/29), al-Nasa’ie (2/119), Ibn Majah (2/404), al-Darimi (2/294), Ahmad (4774) dan al-Hakim (4/274)]

Bagi melengkapkan jawapan ini, kami nukilkan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: “Ahli fiqh tidak melarang perihal apa yang saya ketahui sebagai menamakan anak dengan nama-nama bukan Arab selagi maknanya adalah baik dari segi bahasa.

  • Ramai Muslim yang mengekalkan nama orang bukan Arab untuk kaum lelaki dan wanita selepas keislaman mereka walaupun mereka berada dalam kehidupan dan budaya orang Arab.
  • Nama-nama yang menyerupai nama sedemikian adalah Mariyyah al-Qibtiyyah, ibu kepada Ibrahim, putera kepada Nabi SAW yang dikenali sebagai nama al-Qibti al-Misri.
  • Ada juga para sahabat dan tabi’in yang nama mereka berasal daripada nama tumbuh-tumbuhan. Contohnya Talhah (pohon Talha), Salmah (pohon Salma), dan Handzalah (pohon yang buahnya begitu pahit).
  • Ataupun nama haiwan dan burung seperi asad (singa), fahd (harimau bintang), haitham (singa padang pasir), dan saqr (burung helang).
  • Ataupun nama ciptaan yang keras atau benda semula jadi seperti bahr (laut), jabal (bukit) dan sakhar (batu besar).
  • Ataupun nama yang berbentuk sifat yang diambil daripada makna asal. Contohnya ‘Amir (yang panjang umur), Salim (yang sejahtera), Umar (yang mempunyai umur yang panjang), Said (yang bahagia), Fatimah (yang dipisahkan daripada susuan), Aisyah (yang hidup), Safiyyah (yang bersih), dan Maimunah (yang dipercayai).
  • Ataupun nama orang terdahulu yang antara mereka menjadi ikutan berdasarkan jejak hidup mereka daripada kalangan Nabi, orang-orang soleh dan solehah seperti Ibrahim, Ismail, Yusuf, Musa dan Maryam.

Berdasarkan rangkuman panduan-panduan ini, seorang Muslim dibenarkan menamakan anak lelaki ataupun anak perempuan, sama ada dengan nama Arab ataupun nama bukan Arab. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/404-405)

Walaupun begitu, kami cadangkan berilah nama yang baik dan tiada sebarang unsur syirik serta ada harapan dan doa untuk anak yang kita namakan itu. Kami juga sarankan agar nama-nama yang diberikan perlu terbeza daripada nama yang bukan Islam.

Begitu juga dengan penggunaan bin atau binti amat patut dikekalkan. Ini sesuai dengan budaya yang telah kita fahami sejak sekian lama. Tujuannya supaya tidak menimbulkan sebarang persoalan dan pertanyaan adakah seseorang ini Islam atau tidak, tetapi dengan hanya disebut nama maka akan diketahui seseorang itu Islam atau sebaliknya.

Semoga Allah jadikan zuriat kita penuh dengan ketakwaan dan juga zuriat yang soleh dan solehah.

Amin.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,532 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen