Apakah Hukum Akad Nikah Bagi Lelaki Yang Ber’bin’kan Bapa Angkat? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

 

Soalan.

Bapa angkat suami saya telah mem'bin'kan suami saya kepada namanya. Ketika akad nikah, lafaz nikah menyebut namanya yang berbinkan bapa angkat. Adakah lafaz nikah itu sah?

Jawapan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat Nabi SAW, ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat baginda, seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Persoalan ini mengandungi dua permasalahan iaitu:

  • Hukum berkaitan anak angkat
  • Hukum berkaitan akad nikah

Berikut permasalahan yang perlu difahami bagi merungkai pertanyaan ini:

Hukum Anak Angkat Berbinkan Bapa Angkat.

Anak angkat tidak boleh berbinkan bapa angkat menerusi firman Allah SWT:

"Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul."

"Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(Surah al-Ahzab: 4-5)

Syarat al-Ta’yyin Atau Penentuan Ketika Akad.

Disyaratkan ketika akad nikah, untuk ditentukan lelaki yang berkahwin itu sama ada dengan menyebut nama atau dengan isyarat atau dengan mensifatkan ciri-ciri lelaki yang akan diakadkan itu. Tidak sah akad nikah dengan melafaz secara umum seperti “aku nikahkan kamu dengan sesiapa di antara kamu”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/143 dan al-Majmu’, 17/300).

Sighah Atau Bentuk Lafaz Akad Nikah.

Sighah adalah ijab dan qabul yang merupakan salah satu rukun nikah yang diwajibkan ketika akad nikah. Disebutkan bahawa:

“Sesungguhnya sahnya nikah dengan Ijab iaitu aku kahwinkan kamu atau aku nikahkan kamu”. (Lihat Minhaj al-Thalibin, 3/1229).

Berdasarkan di atas, tidak disyaratkan untuk disebutkan nama pengantin lelaki sekiranya sudah jelas dhamir atau kata ganti nama ‘kamu’ ditujukan kepada siapa.

Kesimpulannya, berdasarkan hujah dan dalil di atas, kami berpendapat seperti berikut:

Hukum anak angkat berbinkan bapa angkat adalah haram.

Permasalahan nama yang berbinkan bapa angkat tidak memberi kesan kepada sah atau batal akad nikah kerana akad nikah sudah sah jika nama lelaki itu sudah disebutkan.

Tambahan pula, sekiranya wali itu memegang tangan lelaki tersebut ketika melafazkan akad, secara tidak langsung menzahirkan al-taa’yin atau penentuan.

Semoga Allah memberikan kita hidayah dan petunjuk dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 629,252 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen