Kenali Hukum Hakam Berkaitan Talak.

 

Bagi sesiapa yang ingin mendirikan rumahtangga, sudah pasti banyak perkara yang perlu dipelajari. Bukan sekadar mengambil tahu mengenai hukum nikah sahaja. Di dalam sebuah perkahwinan itu banyak perkara yang perlu ambil tahu dan dipelajari terlebih dahulu. Jika tidak, sudah pastilah ia akan menjadi satu masalah apabila kalian hanya semberno sahaja. Kali ini mari ambil sedikit ilmu mengenai hukum hakam berkaitan talak dahulu.



Soalan :

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan lafaz cerai. Suami saya telah berkata "saya rasa saya dah tak mampu untuk menyara awak". Jadi saya bertanya untuk kepastian "awak nak ceraikan saya sebab ada masalah kewangan?". Dan dia menjawab "lebih kurang macam tu la". Adakah kata-kata tersebut dikira sebagai lafaz cerai?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Suka kami ingatkan tentang firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah :229)

Sheikh al-Maraghi ketika berkomentar mengenai ayat ini, beliau memberikan satu komentar yang agak menarik yang perlu direnung dan dimuhasabah oleh para suami. Kata beliau :

“Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.”
Rujuk Tafsir al-Maraghi (2/169)

Ini secara tidak langsung memberi satu kefahaman bahawa para suami jangan memperlakukan isteri sesuka hatinya. Setiap perlakuan ada hukum hakamnya. Janganlah dilanggari.


Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas. Kata Imam al-Baijuri :

“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.”
Rujuk Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’(2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi :

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.”
Rujuk Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja(2/264)

Jika seseorang ingin mentalakkan isterinya pada masa akan datang, maka ianya dianggap sebagai satu janji (الوعد). Ia tidak langsung menjatuhkan talak selagi mana tidak diikat dengan perkara-perkara lain. Sebagai contoh, perkataan “jika engkau masuk dalam rumah maka jatuhlah talak”. Inilah yang dinyatakan oleh al-Baijuri di dalam hasyiahnya kepada syarah Ibn Qasim.

Kami melihat bahawa perkataan yang diucapkan oleh suami puan adalah di dalam kategori kinayah iaitu ada kesamaran. Ini kerana lafaz yang diucapkan tiada tanda-tanda ataupun perkataan yang jelas yang menunjukkan bahawa suami puan ingin menceraikan puan. Ia bergantung kepada niat suami puan.

Nasihat kami, di dalam isu ini agar merujuk kepada mahkamah syariah bagi mengesahkan lafaz tersebut. Kami juga telah mengulas isu ini di dalam ruangan al-Kafi siri ke 773[1].

Kami juga menasihatkan agar berbincanglah secara baik. Segala perkara atau permasalahan yang berlaku boleh diselesaikan. Cubalah untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina. Hiasilah rumah dengan amalan-amalan soleh seperti solat berjemaah, bacaan al-Quran dan lain-lain amalan. Ini adalah sebagai cara menarik rahmat dan berkat daripada Allah SWT. Bila rumah tangga berkat, InsyaAllah akan menjadikan hubungan aman dan tenang.



Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 461,557 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen