Selain Nak Pikat Suami, Ada 10 Alasan Lain Kenapa Isteri Kena Rajin Memasak.

 

Orang kata kalau ingin memenangi dan menambat hati suami, haruslah bermula dari perutnya dahulu. Kena kenyangkan suami dengan masakan daripada air tangan isteri. Walaupun tak semua wanita dilahirkan dengan bakat memasak, namun percayalah jika ada kemahuan untuk belajar pasti masakan anda akan bertambah baik dari sehari ke sehari. Zaman serba canggih ni nak memasak pun dah cukup mudah. Hanya buka Youtube dan ikut sahaja cara-caranya, selain tersedia pelbagai pilihan resipi yang boleh anda ikuti. Oleh itu para isteri jangan jadikan alasan untuk anda tidak memasak. Selain boleh mengikat kasih sayang suami, ada 10 lagi alasan kenapa anda harus pandai memasak.



1. Suami rasa tenang berada di rumah.

Isteri yang pandai memasak akan membuatkan suami rasa lebih tenang dan suka duduk di rumah. Malah suami juga akan rasa seronok apabila isteri sering menghidangkan masakan kegemarannya.

2. Suami merindui masakan isteri.

Jika isteri selalu menyediakan masakan dengan air tangannya gerenti suami akan merindui masakan isterinya. Jika satu hari isteri tidak memasak atau suami berjauhan dengan isteri pasti suami akan teringat-ingatkan tentang kelazatan masakan isteri yang dimasak dengan penuh kasih sayang.



3. Suami kurang keinginan makan di luar.

Saat suami pulang dari tempat kerja dan melihat isteri menghidangkan masakan kegemarannya sudah pasti suami tiada alasan untuk makan di luar rumah. Suami tentu rasa bersalah jika tidak menjamah masakan isteri setelah isteri berhempas pulas memasak untuk suaminya.

4. Suami lebih menghormati usaha isteri.

Masakan boleh mengeratkan jalinan kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak. Saat isteri melihat suami berselera menjamah masakannya pasti timbul rasa gembira dan bersyukur kerana suami menyukai masakan isteri. Walaupun mungkin masakannya itu biasa-biasa sahaja namun itulah tanda pengikat kasih sayang dan kebahagiaan sesama suami isteri. Suami juga akan lebih menghormati usaha isteri untuk menjadi isteri yang lebih sempurna kerana mempersiapkan masakan untuknya.

5. Isteri jadi kesayangan mertua.

Mertua mana yang tidak rasa bangga apabila mendapat menantu perempuan yang pandai dan rajin memasak. Dengan memasak memberi anda peluang untuk membuktikan yang anda seorang menantu yang baik kerana mampu membahagiakan anaknya. Jadi tak hairanlah jika mertua datang ke rumah anda secara tiba-tiba, anda tidak gusar untuk menghidangkan makanan buat mereka. Malah saat mertua datang ke rumah, inilah peluang untuk anda mencungkil dan mempelajari rahsia masakan kegemaran suami daripada ibu mertua.



6. Peluang makan bersama.

Kebahagiaan sesebuah rumah tangga akan jadi lebih bermakna apabila anda sering melakukan kerja bersama. Setelah isteri memasak untuk suami pasti seronok apabila anda berdua duduk semeja dan makan bersama sambil bersuap-suapan serta memuji masakan isteri untuk menambahkan romantis dalam rumah tangga.

7. Memasak lebih menjimatkan.

Apabila isteri memasak di rumah tentu sahaja ia lebih menjimatkan daripada membeli makanan di luar yang jauh lebih mahal. Malah belanja makan di luar tidak memadai jika dibandingkan dengan anda membeli bahan dan memasak sendiri di rumah. Ada juga makanan yang dibeli tidak menepati cita rasa tekak anda yang akhirnya merugikan.



8. Makanan lebih sihat dan bersih.

Memasak makanan sendiri di rumah lebih terjamin kebersihannya dan menyihatkan kerana anda boleh menyukat bahan-bahan perencah yang anda gunakan dalam masakan. Malah anda juga menggunakan bahan masakan yang lebih segar dan terjamin mutunya dengan gizi yang seimbang.

9. Isteri boleh terokai banyak ilmu.

Apabila isteri rajin memasak pasti isteri berusaha untuk mencari resipi baharu untuk hidangan orang tersayang. Malah dengan memasak isteri dapat menerokai pelbagai ilmu masakan termasuk tip memasak, jenis-jenis bahan masakan dan sebagainya.

10. Keluar banyak peluh.

Memasak pastinya memerlukan banyak pergerakan badan. Secara tidak langsung akan membuatkan tubuh anda berpeluh dan lebih menyihatkan seperti anda melakukan senaman.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 455,765 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen